Isnin, 7 Rabi'ul Awal 1420
 
Monday, 21 June 1999


Persidangan Memperkemaskan Fitnah

Persidangan UMNO yang terakhir di abad ini ternyata merupakan persidangan memperkemaskan fitnah terhadap Anwar Ibrahim dan Parti alternatif. Ada satu perumpamaan Parsi yang berbunyai: "Ikan busuk bermula daripada kepalanya". Ternyata sekali persidangan itu telah memenuhi perumpamaan ini.

Alangkah aibnya pada bangsa Melayu apabila sebuah parti bangsa Melayu yang merupakan tunjang ketuanan Melayu buat sekian lama ini sanggup membenarkan presiden partinya menggunakan persidangan sebegitu besar untuk menabur fitnah lagi. Di manakah letaknya martabat bangsa Melayu itu di mata dunia? Apakah gahnya UMNO menjemput wakil negara luar hanya untuk mendengar kesinambungan fitnah yang sungguh menjijikkan itu?

Mahathir sudah hilang pedoman untuk memimpin Malaysia di abad yang mendatang. Disebabkan ucapan perdananya berkisar dengan tuduhan fitnah terhadap Anwar dan PAS sebagai tema ucapan dan terhadap Parti Alternatif sebagai isu sampingan, persidangan tahunan yang besar itu menjadi pincang dan memualkan. Kerana itu, semua wakil yang berucap telah memainkan rekod lama dan memuji presidennya dengan sikap keangkohannya itu. Inikah dia sebuah parti yang sanggup merelakan dirinya dilangkah oleh sesiapa yang mahu menjatuhkan maruah bangsa? Di manakah terletaknya maruah bangsa Melayu itu, di kacamata UMNO?

Adalah amat sayang sekali apabila pemimpin UMNO yang lainnya sanggup bersekongkol dengan Mahathir. Apa jadi dengan pilihanraya yang mendatang? Kenapakah tidak ada seorang pun yang mahu menenangkan keadaan dan memetik sedikit peristiwa pilihanraya di Indonesia yang berlansung dengan aman damai, sedangkan Mahathir sendiri telah lantang bersuara di Jepun dan meramalkan pilihanraya itu akan mencetuskan huru-hara di Indonesia?

Nampak sangat betapa rakusnya para pemimpin UMNO yang lain yang sanggup mengenepikan masalah ekonomi Bangsa Melayu dan negara yang sungguh menghimpit jiwa sekarang ini. Kenapakah tidak dibincangkan bagaimana kita harus menyelamatkan nasib para petani, penoreh getah, nelayan dan para pekerja tingkatan rendah yang sedang dihimpit oleh tekanan harga barang yang semakin meninggi? Kita tidak pernah mendengar para perwakilan yang mahu menyoal kenapa harga gula terus tinggi sedangkan bekalan dunia semakin bertambah. Kenapakah pengimpotan gula masih dimonopoli oleh seorang taikun sejak  negara Merdeka?

Kenapakah tidak dibincang masalah pegawai Bank Bumiputra yang masih tertekan disebabkan kerugian yang berpanjangan di bank tersebut? Apakah benar PWTC masih belum membayar hutang BBMB sehingga hari ini? Dan kalau benar, bukankah hutang itu sudah mencecah setengah billlion?

Para perwakilan berikrar untuk mempertahankan maruah Bangsa Melayu. Maruah jenis apakah yang akan dipertahankan itu?

Kenapakah tidak dibincangkan perkara penyelewengan PULAREK sedangkan perkara itu merupakan simbol segala korupsi dan kollusi? Kenapakah tidak seorang pun ahli perwakilan yang sanggup menyangkal Mahathir apabila beliau mempertahankan projek MEGAnya dengan megah? Ibrahim Ali telah memuji Mahathir dengan projek MEGA itu. Tetapi beliau tidak pun terfikir betapa sengsaranya anak luar bandar yang mahu melanjutkan pelajaran di universiti dan IPT. Apakah faedahnya Litar Sepang sedangkan wang sebanyak itu boleh digunakan untuk membiayai pelajaran anak bangsa yang kesempitan hidup keluarganya amat merunsingkan?

Kenapakah tidak dibincangkan masalah para kontraktor Melayu Kelas F yang ketandusan projek kerana semua projek yang mampu mereka laksanakan diagehkan di bawah konsep payung yang dimonopoli oleh para jerung UMNO?

Kenapakah tidak dibayangkan betapa wang peruntukan untuk projek MEGA itu mampu membasmikan segala rumah setinggan yang mewarnai projek MEGA itu sendiri?

Semua wakil yang berucap telah memuji Mahathir tinggi melangit sehinggakan mereka lupa betapa wang rakyat sekitar DUA BILLION telah digunakannya untuk menyelamatkan bisnes anaknya. Kenapakah tidak diungkit akan segala projek Mirzan yang disabkontrekkannya balik kepada orang asing, sedangkan beratus lagi anak Bumiputra yang berkelayakan untuk mengambil sabkontrak itu? Apakah keistimewaannya Tongkah Holding dan anak Mahathir yang mempunyai saham besar dalam syarikat itu sehinggakan semua kontrak besar hospital kerajaan dapat dibolotnya. Kalau kontrak mengutip sampah pun perlu diberikan kepadanya apakah jadinya kepada tuanpunya lesen F di pelusuk negara yang kebanyakannya terdiri daripada bekas tentera, polis dan bekas kakitangan kerajaan?

Kalau anak-anak Mahathir boleh diselamatkan daripada kerugian besar di pasaran saham dengan menggunakan wang rakyat, apalah nasib  rakyat biasa yang kerugian di pasaran saham sedangkan mereka melabur dengan wang pencarian yang halal?

Salah satu sebab kejatuhan pasaran saham ialah reaksi pelabur CLOB yang kehilangan berjuta ringgit di pasaran KLSE. Tetapi, sebahagian besar peserta CLOB ialah para tauke dan orang koperat UMNO yang berselindung di sebalik syarikat nominees. Kenapakah tidak ada seorang ahli perwakilan yang meminta Mahathir mendedahkan nama para  korperat yang menggunakan nominees itu. Apakah tidak mungkin pada satu hari nanti kerajaan Singapura akan mendedahkan nama-nama itu?

Di sepanjang perhimpunan itu, kita dapati rusuhan berlaku di beberapa pusat serenti di negara ini. Peristiwa itu menunjukkan kelemahan dan kepincangan  polisi kerajaan pimpinan UMNO mengendalikan masalah dadah di negara ini. Kenapakah perkara ini tidak dibincangkan secara terperinci sedangkan yang berkarat di pusat serenti itu majoritinya adalah anak bangsa Melayu juga?

Di manakah kewibawaan para pemuda UMNO yang sanggup merelakan diri mereka tergadai kalau UMNO dimusuhi? Apakah masalah dadah dan kahwin olok-olok bukan sesuatu yang meruntunkan maruah bangsa?

Nampaknya seluruh  perwakilan telah dipukau oleh Mahathir. Sudah ramai yang pandai mengeluarkan airmata semata-mata untuk mengabui khalayak ramai. Inilah perkara yang mereka pelajari daripada diktator Melayu terulung itu.

Mahathir sudah nyanyok. Jika tidak beliau tidak akan menggunakan forum persidangan untuk membelasah Anwar, sedangkan  mahkamah belum lagi menjatuhkan hukuman keatasnya. Untuk membiarkan beliau berterusan dengan perangai begitu menunjukkan betapa rendahnya maruah para perwakilan sehinggakan tidak ada seorang pun yang berani menegur Mahathir dari kacamata Islam.

Apakah dosa Anwar sebenarnya sedangkan segala bukti konkrit belum lagi dapat ditonjolkan? Kenapakah tidak ada seorang pun para ilmuan dalam UMNO yang  berani meminta Mahathir mengambil sikap maaf bermaafan?

Di sinilah letaknya kuasa pukau Mahathir sehinggakan para perwakilan tidak berani bersuara songsang untuk memperbetulkan nyanyoknya itu. Jika perkara ini berterusan, UMNO pasti akan terkubur. Bukan disebabkan orang Melayu tidak sayangkan UMNO tetapi disebabkan para pemimpin UMNO itu sendiri yang tidak tahu menyanjungi kasih sayang orang Melayu terhadap pergerakan itu.

Mahathir telah berjaya menipu para perwakilan dan berjaya menyorokkan segala kebusukan pentadbirannya. Kerakusan para perwakilan untuk diperedayakan itu amat mengaibkan sekali.  Inilah pengikut yang Mahathir mahu. Pengikut yang berilmu pun tidak mampu untuk berfikir dengan waras.

Semua kontradiksi yang dotonjolkan oleh Mahathir telah disokong dengan gahnya oleh para pemimpin UMNO. Apakah lagi yang boleh diharapkan orang Melayu kepada parti itu? Apakah pemimpin UMNO benar-benar mampu menggadaikan nyawa mereka untuk mempertahankan maruah bangsa? Jauh panggang dari api, kerana api semangat bangsa pun malu untuk mendekati ikan yang sudah busuk dari kepalanya itu.

Marhain Tua