Ibrahim Ali: Brunei ambil perhatian berat

KUALA LUMPUR: Kedutaan Brunei memberikan perhatian berat mengenai tuduhan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Ibrahim Ali yang didakwa menghina Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dalam ceramahnya di Shah Alam Jun lepas. 

Harakah sebelum ini, menyiarkan surat daripada Ketua Umno Cawangan Taman Bukit Sri Andalas, Shah Alam Tengku Kamaruddin Raja Ab. Wahid yang dihantar kepada Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Abu Hassan Omar mengenai ceramah itu. 

Berikutan itu, Isnin lepas, pegawai kedutaan Brunei menghubungi Harakah untuk mendapatkan pengesahan berita itu dan meminta satu salinan surat berkenaan dan nombor telefon Raja Kamaruddin yang kemudiannya dihantar oleh Harakah ke kedutaan tersebut. 

Harakah juga difahamkan oleh pegawai kedutaan itu bahawa laporan akan diserahkan kepada kerajaan Brunei dan terpulanglah kepada pihak kerajaan Brunei untuk mengambil apa-apa tindakan dalam kes itu. 

Sementara itu, Harakah dimaklumkan pada hari yang sama, Raja Kamaruddin dipanggil oleh pihak istana Selangor untuk memberikan keterangan mengenai dakwaannya itu. 

Raja Kamaruddin ketika dihubungi berkata, beliau sedia membuktikan apa yang dinyatakannya dalam surat itu adalah benar dan beliau boleh memanggil saksi-saksi untuk membuktikannya. 

Menurutnya, surat itu bukan satu rekaan kerana beliau sendiri yang mendengar kata-kata Ibrahim itu dan beliau hadir di majlis itu dengan jemputan pihak tertentu.