Kegagalan Mahathir Dalam Dasar Pendidikan Negara

Oleh Hassan Karim

Ketua Penerangan PRM

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan sedih dan
sebak dan hampir menitiskan air mata ketika berucap di Alor Setar pada
20 Julai kerana mengenangkan pencapaian pelajar-pelajar Melayu dan
bumiputera di negara ini yang jauh ketinggalan berbanding pelajar bukan
bumiputera.

Tetapi Mahathir tidak menangis ketika dia mengkorporatkan
universiti-universiti awam. Mahathir menganggap pendidikan juga satu
bentuk perkhidmatan yang boleh dijadikan barang komoditi yang boleh
dikomersialkan. Seperti air, elektrik dan telefon atau tol lebuhraya,
pendidikan juga perlu dibayar . Itulah falsafah pembangunan Mahathir,
termasuk dalam soal pendidikan.

Mereka yang menangis sejak universiti-universiti kerajaan (IPTA)
dikorporatkan ialah para ibu bapa dan pelajar dari golongan miskin dan
berpendapatan rendah, tidak kira Melayu, Cina ataupun India. Mahathir
tidak menangis melihat para ibu bapa dari golongan miskin dari pelbagai
kaum yang menangis mengenangkan anak-anak mereka yang pandai, bijak
tetapi tidak ada wang untuk belajar ke universiti?

Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang bertaraf kolej dan kolej
universiti yang sedang beroperasi di negara ini bukan bertaraf
pengkorporatan tetapi bertaraf penswastaan 100%. Berapa ramai pelajar
Melayu miskin dapat belajar di IPTS itu? Mahathir tidak menangis
mengenangkan hal ini?

Dr Mahathir Mohamad juga tidak menangis ketika dia melanggar Dasar
Pendidikan Kebangsaan  yang diperjuangkan oleh para pedidik, ahli bahasa
dan tokoh masyarakat dan politik sebelum ini yang mahu menegakkan satu
dasar pendidikan nasional untuk membentuk satu rupa Bangsa Malaysia yang
bersatu dengan berteraskan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan
perantaraan di peringkat sekolah dan pengajian tinggi. Sekarang, di
bawah Mahathir, Malaysia tidak ada satu dasar pendidikan nasionalnya
lagi. Semuanya kacau bilau dan tidak jelas.

Universiti asing juga sekarang dibenarkan bertapak di Malaysia ini.
Mula-mula secara berkembar. Kemudian tubuh badan dan kampusnya sekali
akan tercokok di bumi Malaysia ini. Mahathir tidak menangis kerana itu.
Sebaliknya, beliau akan beranggapan itu satu pencapaian bertaraf dunia
bagi Malaysia di peringkat pendidikan.  Kerana apa? Kerana sudah ada
universiti terkenal di dunia, terutama dari Barat yang sanggup berkampus
di negeri ini.

Mahathir juga tidak menangis selama ini kerana para pelajar sekolah
beratur di tepi-tepi jalan  di tengah panas sambil memegang bunga
manggar menyambut kedatangannya ke sesuatu majlis. Dr Mahathir juga
tidak menangis ketika para pelajar universiti senyap sunyi tidak
berdetik di kampus selama hampir 20 tahun ini kerana takut bergerak.
Mereka takutkan ancaman Akta Universiti yang Mahathir sendiri bawa ke
Parlimen. Tetapi apabila pelajar-pelajar itu sekarang tidak lagi boleh
tahan dengan angkara Mahathir, lalu bangun menentang kerajaan pimpinan
Mahathir, tiba-tiba Mahathir baru sedar para pelajar Melayu lemah dan
ketinggalan. Ketika mereka dulu sokong Mahathir, UMNO dan BN, Perdana
Menteri tidak nampak kelemahan pencapaian akademik mereka?

Kalau benar pelajar Melayu itu lemah dan ketinggalan, bagaimana mungkin
ada beberapa kerat anak Melayu seperti Mirzan Mahathir, Mokhzani
Mahathir. Mukhriz Mahathir yang muda-muda belaka dalam umur lingkungan
awal 30-an boleh begitu maju menguasai syarikat perkapalan, syarikat
pembinaan, syarikat telekomunikasi, juga syarikat besar yang menguasai
perkhidmatan kesihatan, termasuk hospital pakar? Tidakkah ini kejayaan
anak Melayu? Cukup hebat mereka ini. Tiga anak Melayu ini yang tidak
tinggal di kampung atau di kawasan setinggan tetapi tinggal di Seri
Perdana adalah contoh dan model pelajar-pelajar Melayu yang berjaya di
bawah Pentadbiran Mahathir. Mereka telah dilaporkan ke BPR kerana
menguasai lebih 200 buah syarikat-syarikat besar. Apakah kunci kejayaan
mereka? Dedikasi atau “daddy kasi”!

Mahathir menghina kemampuan pelajar Melayu dengan membuat tanggapan umum
yang negatif dan meleset. Memang ada para pelajar Melayu yang lemah
dalam pencapaian akademik. Hal ini bukan kes khusus bagi pelajar Melayu
saja. Pelajar-pelajar bukan Melayu juga ada yang lemah. Tetapi bagaimana
dengan kejayaan-kejayaan cemerlang sekian ramai pelajar Melayu selama
ini? Apakah Dr Mahathir mahu kembali menggunakan Doktrin Malay
Dilemmanya?

Apabila pelajar-pelajar Melayu sekarang menjadi satu kelompok yang
bangun menentang Mahathir, UMNO dan BN, maka senjata Mahathir ialah
menangis dan memperlekehkan pelajar-pelajar itu. ISA, Akta Polis dan
Akta Universiti telah gagal untuk menakut-nakutkan para pelajar
universiti.Mereka mempunyai kesedaran politik yang tinggi sekarang. Ini
yang Mahathir bimbangkan!

Dr Mahathir menangis dan sebak, kerana pilihanraya sudah dekat. Mahathir
mahukan undi orang Melayu. Bukannya undi dari pelajar-pelajar itu (yang
kebanyakannya masih belum boleh mengundi). Tetapi undi dari ibu bapa
Melayu yang akan berasa simpati dengan Mahahtir yang menangis. Dengan
tangisan dan sebak itu, diharapkan ibu bapa Melayu akan menganggap
Mahathirlah pemimpin politik Melayu yang akan menjaga kepentingan
masyarakat Melayu. Mungkin inilah yang cuba diketengahkan oleh
akhbarakhbar pro-Mahathir. Mahathir mungkin benar-benar sebak dan
menangis. Mungkin ketika berucap di Alor Setar pada hari Selasa itu, Dr
Mahathir benar-benar insaf akan kesalahannya kepada orang-orang Melayu.
Siapa tahu?

Kerana Mahathir orang politik. Tangisan Mahathir juga mungkin tangisan
politik.Tak henti-henti nampaknya Mahathir menggunakan politik
pecah-pecah dan perintah. Mahathir kelihatan mahu meneruskan politik
menwujudkan rasa tidak selamat bagi orang Melayu untuk mendapatkan
kembali sokongan masyarakat Melayu. Lee Kuan Yew juga menggunakan
pendekatan politk “ terancam” untuk mendapatkan sokongan rakyat
Singapura, khususnya dari etnik Cina.

Jika secar objektifnya memang benar pencapaian pelajar-pelajar Melayu
itu lemah, maka Mahathir tidak boleh menyalahkan hal itu semata-mata
kepada para pelajar Melayu itu saja, atau ibu bapa mereka ataupun
masyarakat Melayu umumnya. Mahathir yang memimpin kerajaan selama 18
tahun sebagai Perdana Menteri mewakili parti Melayu (UMNO) perlu
bertanggungjawab. Apakah yang telah dilakukannya untuk mengatasi
kelemahan itu?

Mahathir yang mengutamakan projek-projek mewah dan mega patut memikul
tanggungjawab. Para pelajar Melayu yang dikatakan lemah itu tinggal di
luar bandar dan juga di kawasan-kawasan mundur di bandar seperti di
kawasan-kawasan setinggan. Mereka ini memerlukan guru-guru yang
terlatih, mahir dan berpengalaman dalam semua bidang matapelajaran,
kususnya sains, matematik, dan Bahasa Inggeris.

Daripada menghabiskan dana dan kewangan negara untuk membina
projek-projek infrastrukur mega dan mewah yang berbilion ringgit
nilainya, sepatutnya Mahathir dan UMNO serta BN membelanjakan ke bidang
pendidikan yang juga merupakan infrastruktur bagi pembangunan manusia.
Aspek ini tidak diberi perhatian berat oleh Mahathir.

Pada setiap tahun keluar keputusan-keputusan yang mengumukan
beribur-ribu pelajar Melayu yang lulus UPSR, PMR, SPM, STPM dengan
keputusan cemerlang. Datuk Najib Tun Razak sendiri yang selalu
mengumumkan. Apakah Dr Mahathir hendak memberitahu rakyat bahawa Datuk
Najib patut berundur kerana gagal sebagai Menteri Pendidikan sebab
pelajar-pelajar Melayu lemah dan tercicir?  Adakah Dr Mahathir
menggunakan politik “sindir menantu”?

Adakah pelajar-pelajar Melayu tercicir dan lemah apabila tiba di
universiti? Bagaimana dengan lepasan graduan Melayu beratus ribu orang
dari pelbagai kolej dan universiti, dalam dan luar negeri. Tidak
cemerlangkah mereka? Para arkitek dan jujutera Melayu yang membina
Putrajaya kebanggaan Mahathir itu, tidak cemerlangkah mereka? Para
ekonomis dan akauntan Melayu yang terlibat dalam sektor ekonomi dan
kewangan negara, tidak cemerlangkah mereka? Para doktor Melayu dan guru
Melayu yang berkhidmat di hospital dan sekolah, tidak cemerlangkah
mereka?

Dr Mahathir dinasihatkan supaya jangan  menangih simpati orang-orang
Melayu dengan sengaja menimbulkan isu seperti ini. Ada bahaya tersirat.
Sebak dan tangisan Mahathir itu boleh disalahertikan oleh segolongan
pihak iaitu golongan Melayu yang fanatik dan ekstremis. Golongan
fanatik, ekstremis dan cauvanis Melayu ini mungkin membaca bahawa
pelajar-pelajar bukan Melayu, khusunya Cina adalah menjadi pencabar dan
ancaman kepada pelajar-pelajar Melayu dan generasi Melayu masa depan.
Kalau betul prestasi pelajar Melayu itu seperti yang Mahathir dakwakan,
punca sebenarnya ialah kegagalan dasar Mahathir sendiri untuk membela
orang Melayu. Ia bukan kerana ancaman atau saingan masyarakat bukan
Melayui, baik Cina ataupun India.
Nasib pelajar-pelajar bukan Melayu di sesetengah tempat juga buruk.
Sekolah-sekolah Cina di luar bandar (kampung-kampung baru) dan
pekan-pekan kecil juga banyak masalah. Mereka perlukan bantuan. Begitu
juga sekolah-sekolah Tamil di estet-estet. Keadaannya lebih buruk. Lebih
buruk dan daif daripada sesetengah sekolah Melayu di kampung-kampung
terpencil. Pelajar-pelajar miskin dari keluarga Cina dan India ini juga
perlukan perhatian. Mahathir juga patut sebak dan menangis kerana
pencapaian akademik mereka juga lemah. Seperti orang Melayu, bukan semua
anak-anak Cina dan India yang berjaya sampai ke universiti. Banyak
ketidakadilan sedang berlaku di negara kita sekarang. Mahathir perlu
sebak dan menangis mengenangkan hal ini.