Ulasan berita - Dr. M undur jika Nik Aziz buktikan tuhan mencarut
 

JITRA, 19 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menawar untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang jika Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat dapat membuktikan bahawa dalam Al-Quran tuhan mencarut.
 

Ulasan

Mahathir minta supaya Tn Guru Nik Aziz membuktikan Tuhan membenarkan mencarut di dalam Al-Quran. Inilah dia sikap Mahathir yang sekular. Dia hanya mahu merujuk kepada Al-Quran apabila perbuatan itu dirasakan menguntungkan dirinya. Mengapakah sebelum ini Mahathir tidak mahu merujuk segala tindakannya dengan apa yang diperintahkan di dalam al-Quran. Sebagai
perbandingan sikap hipokrit Mahathir, di bawah ini kita senaraikan beberapa tindakan Mahathir sebelum ini (termasuk konco-konconya) yang secara terang-terangan telah membelakangkan al-Quran tanpa merasa bersalah sedikitpun.

1. Dalam perlaksanaan hukum hudud. Mahathir secara jelas menolak hukum hudud dengan alasan ianya tidak sesuai dijalankan di negara ini. Bahkan Mahathir memberi amaran keras kepada kerajaan negeri Kelantan sekiranya mereka berhasrat untuk melaksanakan hukum hudud seperti yang diwajibkan oleh al-Quran.

2. Mahathir tanpa segan silu telah mempersoalkan amalan penutupan aurat dengan mengatakan bahawa perempuan yang bertudung itu tidak semestinya berkelakuan baik. Kenyataannya jelas bercanggah dengan al-Quran yang menganjurkan perempuan muslimah supaya menutup aurat mereka.

3. Mahathir telah mempersendakan sunnah nabi apabila dia mengatakan nabi tidak bercukur kerana tidak ada pisau cukur. Mempersoalkan sunnah Nabi bererti menolak apa yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w. sedangkan tidak ada tindakan/amalan Rasulullah yang menyalahi al-Quran. Kesimpulannya menolak ajaran Nabi membawa natijah menolak ajaran al-Quran.

4. Mahathir mengatakan bahawa peruntukan syariat yang memerlukan didatangkan empat orang saksi bagi menthabitkan tuduhan zina (dan yang sebangsa dengannya) tidak boleh dilaksanakan kerana mustahil untuk menemui orang Islam yang tidak berdosa. Hujah ini bukan sahaja sangat dangkal ianya adalah bertentangan dengan tuntutan al-Quran.

5. Hanif Omar yang menjadi konco Mahathir mengatakan bahawa dia tidak terjumpa ayat melarang judi di dalam al-Quran sedangkan ayat larangan judi ini dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran.

Berbalik kepada cabaran Mahathir kepada Tuan Guru, kita sarankan agar Mahathir melakukan dua perkara:

1. Mempelajari Islam secara syumul. Islam bukanlah satu agama yang boleh diambil sebahagian dan ditolak sebahagian yang lain. Menolak mana-mana bahagian dari al-Quran, samada yang berbentuk suruhan atau tegahan bererti menolak keseluruhan ajaran Islam. Segala tindakan Mahathir selama ini jelas menunjukkan bahawa dia hanya bersedia mengambil dari ajaran Islam (Al-Quran dan sunnah) sekiranya ia boleh mendatangkan keuntungan ekonomi dan menguatkan kedudukannya. Mana-mana tuntutan Al-Quran yang dirasakan tidak sesuai dengan kefahamannya serta tidak menguntungkan negara menurut akal logik yang tidak berpandukan kepada wahyu dipersoal dan diketepikan.

2. Membaca, memahami makna dan mempelajari isi kandungan Al-Quran dengan ulama' yang sebenar (bukan dengan ulama pengampu di dalam UMNO). Kefahaman yang mendalam tentang al-Quran akan memberikan kita satu pandangan hidup Islam yang memungkinkan kita melihat setiap sesuatu kejadian itu berdasarkan neraca pertimbangan al-Quran. Dengan kefahaman ini sahajalah
persoalan yang dibangkitkan oleh Mahathir iaitu isu 'Tuhan membenarkan mencarut di dalam al-Quran' dapat dibahaskan.

Dalam isu yang juga berkait dengan kalimah-kalimah 'mencarut' yang digunakan oleh Prof Emeritus SN Shahnon Ahmad di dalam bukunya 'shit', Tn Guru Nik Aziz telahpun menjelaskan dalam beberapa banyak kesempatan. Antara lain beliau mengatakan bahawa Islam adalah agama yang menitik beratkan kemurniaan akhlak dan sangat menganjurkan supaya umatnya memelihara lidah dari sebarang bentuk keceluparan. Namun dalam situasi-situasi yang tertentu, Islam membenarkan penggunaan kalimah-kalimah yang dianggap kasar/kesat. Ini boleh dilakukan terutama apabila segala nasihat dan teguran tidak lagi mendatangkan kesan, malahan 'orang itu' semakin liar dan
ganas. Dalam keadaan sedemikian, maka tidak ada cara lain melainkan dengan menggunakan perkataan-perkataan yang kasar. Tujuannya ialah untuk memberi kejutan kepada orang yang ditegur supaya berhenti dari kejahatannya.

Seterusnya Tn Guru mengatakan bahawa manusia dibekalkan dengan beberapa kecenderungan (naluri). Naluri ini termasuklah yang negatif seperti membunuh, mengumpat dan termasuk mencarut. Islam datang bukan untuk menghapuskan naluri ini tetapi membendung dan menyalurkannya menurut saluran yang betul. Membunuh, hukum asalnya haram tetapi dalam keadaan tertentu seperti menyelamatkan diri dan anak isteri atau bertempur di medan
perang/jihad, maka membunuh bertukar menjadi tuntutan. Begitu juga mengumpat, hukum asalnya haram tetapi dalam proses undang-undang contohnya mengumpat dibenarkan untuk menguatkan pertuduhan dan sebagainya. Begitulah halnya dengan mencarut. Mencarut sama sekali tidak dibenarkan di dalam Islam tetapi di dalam keadaan seperti yang kita hadapi hari ini, maka
tindakan Prof SN Shahnon Ahmad adalah satu tindakan yang boleh diterima di dalam Islam. Sandarannya ada di dalam Al-Quran. Di dalam banyak tempat Allah menempelak orang-orang kafir, munafiq dan mereka-mereka yang tersangat celaka, jauh dari petunjuk dan hidayah Allah dengan
gelaran-gelaran yang tersangat buruk. Antaranya Allah mengatakan 'Celakalah Abu Jahal! dan Allah lagi mengatakan 'Mereka itu umpama binatang malah lebih hina lagi'. Maka apakah kalimah-kalimah yang lebih rendah dan buruk dari ini.

Kesimpulannya, untuk menyahut cabaran Mahathir, bagi pehak Tn Guru, maka jawapannya ialah 'ya, di dalam Al-Quran memang ada Allah menggunakan perkataan-perkataan yang mengherdik dan menghina' tetapi ianya ditujukan kepada orang-orang yang memiliki perangai dan kelakuan seperti Mahathir...

Pensyarah UPM