Rakyat Mahu Pilihanraya Yang Bersih

Oleh Hassan Karim 

Perdana Menteri, merangkap Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr
Mahathir  Mohamad berkata baru-baru ini bahawa pilihanraya umum kali ini
adalah yang terkotor dalam sejarah. Beliau telah mengandaikan sesuatu
yang negatif.

Tetapi Barisan Alternatif yang merupakan pakatan parti-parti PAS, PRM,
KeADILan dan DAP mengharapkan pilihanraya kali ini merupakan pilihanraya
umum yang terbersih dalam sejarah Malaysia. Barisan Alternatif percaya
rakyat tentulah mahu pilihanraya yang bersih dan adil. Pilihanraya yang
kotor perlu dihindarkan.

Bersih atau kotor sesuatu pilihanraya di sesebuah negara itu bergantung
besar antaranya atas sikap parti-parti politik yang bertanding. Kalau
parti-parti pembangkang dan parti kerajaan yang sedang memerintah
mahukan pilihanraya yang bersih, maka akan bersihlah pilihanraya itu
nanti. Begitulah sebaliknya.

Pilihanraya di Malaysia dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang.
Undang-undang utama yang jadi rujukan ialah  Akta Pilihanraya 1958 (Akta
19) dan Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Akta 5). Untuk menjadikan
pilihanraya umum kali ini bersih dan adil, Barisan Nasional yang
memerintah sekarang perlulah menghadapi Barisan Alternatif atas sifat
parti politik bersaing dengan parti politik. Ini bermakna BN tidak boleh
menggunakan jentera kerajaan dan kemudahan kerajaan semasa berkempen.

BN tidak boleh gunakan RTM (TV dan Radio milik kerajaan) untuk
berkempen. BN tidak boleh menjanjikan apa-apa peruntukan atau projek
pembangunan semasa berkempen dengan tujuan memancing undi kerana
perbuatan sedemikian boleh dianggap sebagai rasuah, iaitu satu kesalahan
besar dalam Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Bahagian III:
Perbuatan-Perbuatan Rasuah);

Menteri-menteri BN tidak boleh berkempen sambil menjalankan tugas-tugas
rasmi kerajaan. Perbuatan itu merupakan satu penyalahgunaan kuasa. Di
Indonesia, Akhbar Tanjung, Ketua Umum Golkar yang memerintah terpaksa
meletakkan jawatan menteri kerajaan kerana beliau terlibat cergas
berkempen untuk Golkar partinya. Jadi Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi BN
perlu berbuat hal yang sama.

Perdana Menteri dan Menteri-Menteri BN juga tidak boleh menggunakan
kemudahan kerajaan seperti helikopter, jet kerajaan atau
kenderaan-kenderaan kerajaan semasa berkempen. Puan Indira Ghandi, bekas
Perdana Menteri India pernah dihukum penjara kerana didapati bersalah
menggunakan helikopter milik kerajaan India semasa pilihanraya umum
negeri itu;

Seterusnya BN tidak boleh melancarkan sabotaj semasa pilihanraya untuk
tujuan mengalahkan parti lawan. Di Amerika Syarikat, Presiden Nixon
telah dipecat dari jawatannya dan dihukum penjara kerana cuba melindungi
perbuatan jenayah mensabotaj parti lawan dalam Peristiwa Watergate.