Lesen TV Pembangkang: Satu Retorika BN Saja

Oleh Hassan Karim

Ketua Penerangan PRM

Satu kelucuan muncul di Dewan Rakyat hari ini Rabu 21 Julai apabila
Timbalan Menteri Penerangan, Dr Suleiman Mohamad berkata bahawa
parti-parti pembangkang boleh membuat permohonan untuk mendapatkan lesen
bagi menjalankan stesyen televisyen. Kelucuan ini disebabkan bebarapa
perkara. Pertama, memohon dengan mengisi borang dan mengemukakan kertas
kerja itu mudah saja. Tetapi  adakah diluluskan? Yang meluluskan nanti
siapa?  Suleiman Mohamad kah?

Kedua, pengumuman bahawa parti-parti pembangkang boleh ada stesyen tv
dibuat ketika pilihanraya hendak tiba, mungkin seminggu dua ini Parlimen
bubar. Belum sempat hendak buat permohonan, pilihanraya pun sampai. Bila
masanya parti-parti pembangkang hendak berkempen dalam stesyen tv
mereka? Lucu! Mungkin kalau BN kalah, dia jadi pembangkang.Dia boleh ada
tv sendiri. Mahu menyediakan payung sebelum hujan, agaknya!

Ketiga, kalau stesyen tv boleh mudah dipohon lesennya, jadi tentulah
radio dan surat khabar lebih mudah lagi diberi lesen dan permit
menerbitkannya. Dengar khabar Kerajaan PAS  Kelantan ada memohon lesen
menerbitkan siaran radionya sendiri. Dengar khabar tidak diluluskan oleh
kerajaan Pusat BN. Betulkah begitu? Kalau lesen radio tak diluluskan
permohonan oleh sebuah kerajaan negeri yang memerintah, bagaimana pula
dengan parti pembangkang yang tidak memerintah?

Keempat, kalau lesen tv boleh diberikan, tentulah lesen akhbar lebih
mudah dan fleksibel? Tetapi kenapa akhbar-akhbar parti-parti pembangkang
hanya boleh dijual kepada ahlinya saja. Tidak boleh dijualkan kepada
umum? Contohnya akhbar Harakah hanya untuk ahli-ahli PAS saja. Bolehkah
stesyen tv terbitan Parti PAS, sebagai misalan, hanya ditonton oleh
ahli-ahli PAS saja? Apa jadi kalau ahli-ahli PRM, KeADILan, DAP, UMNO,
MCA., MIC, Gerakan dan orang-orang tak berparti menonton sama? Siapa nak
kawal?

Kelima, kalau parti-parti pembangkang belum ada wang hendak memohon
lesen menjalankan stesyen tv sendiri, bolehkah RTM, TV3, MetroVision,
NT7 beri peluang parti-parti pembangkang itu menerangkan dasar-dasar
mereka, katakanlah pada pukul 3 pagi? Sebab waktu perdana UMNO dan BN
hendak pakai sendiri. Di Indonesia yang belum ada projek canggih seperti
koridoraya multimedia MSC, tetapi kempen pilihanrayanya cukup menarik
dan terbuka, terutama perbincangan dan perdebatan politik antara parti
kerajaan ( Golkar) dan Pembangkang (PDI-P,PKB,PAN,PPP dsbnya) di kaca tv
mereka. Penonton di Johor, Malaysia dapat menyaksikan dengan mata mereka
sendiri. Jadi, bersediakan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN berdebat dengan
pemimpin-pemimpin pembangkang mengenai dasar-dasar negara melalui TV
Kerajaan (RTM) dan TV swasta yang ada sekarang. Tak perlu rasanya
perdebatan di CNBC. Kita mahu perbincangan dan perdebatan di TV Malaysia
sendiri, biar rakyat yang jadi juri dan hakimnya.