PERBEZAAN UMNO-PAS
AHLI BIASA PAS JAWAB PRESIDEN UMNO



Dr Mahathir Mohamad Iskandar ketika berucap menggulung perbahasan perwakilan pada perhimpunan agung Umno Ahad lalu (20/6/99) menggariskan 19 perbezaan antara Umno dan Pas yang kununnya boleh dijadikan senjata untuk para penyokongnya berhujah dengan ahli-ahli PAS. Sayangnya, Presiden PAS ketika berucap di ibu kota pada malam hari yang sama  enggan menjawab hujah-hujah Dr Mahathir yang dianggap kebudak-budakan itu. Baginya hujah-hujah Dr Mahathir itu begitu dangkal sehingga tidak membayangkan kematangan politik beliau.

Sebagai  ahli PAS, saya ingin menasihati penyokong-penyokong Dr Mahathir supaya tidak menggunakan hujah-hujah tersebut kerana ia pasti mendedahkan pekung di dada Umno sendiri. Adakah hujah-hujah basi Dr Mahathir itu menggambarkan kebangkrapan idea dan kemuflisan isu Umno untuk berhadapan  dengan PAS. Oleh kerana pemimpin-pemimpin PAS enggan mengulas igauan-igauan Dr Mahathir  itu, sebagai ahli biasa, saya mempunyai kewajipan untuk menjelaskan kekeliruan yang cuba ditaburkan Dr Mahathir paling kurang untuk memberikan sedikit info kepada penyokong fanatik dan ekstrim Dr Mahathir.

Hujah 1: 
Umno mahukan perpaduan, PAS mahukan perpecahan.

Sepanjang sejarahnya, Umno tidak pernah bersatu. Kerana kepentingan diri dan kelompok, ahli-ahli Umno berpecah dari peringkat cawangan hingga ke peringkat pusat. Kita biasa mendengar istilah-istilah seperti "orang mahathir", "orang Musa", "orang Ku Li", team A dan Team B dalam Umno. Semua ini membuktikan Umno adalah parti yang berpecah belah. Di kampung-kampung yang mempunyai cawangan Umno, masyarakatnya berpecah belah kerana politik wang dan nepotisme.  Di mana ada Umno di situ masyarakat Melayunya berpecah belah. PAS sebaliknya  menyeru kepada perpaduan. Dan asas perpaduan itu adalah Islam. Pemimpin PAS sendiri beberapa kali menyarankan supaya Umno kembali kepada landasan Islam. PAS tidak perlu wujud jika Umno menerima  konsep Islam yang syumul.

Hujah 2: 
Umno berjuang untuk capai kemerdekaan, sedangkan PAS tidak.

Ini satu pembohongan Dr Mahathir yang memang pintar memutar-belitkan fakta sejarah. Sejarah membuktikan bagaimana PAS bergiat aktif dalam usaha mencapai kemerdekaan. PAS mengemukakan tuntutan-tuntutannya tentang hak keistimewaan bangsa Melayu dan kedudukan Islam sebagai elemen penting sebuah negara merdeka kepada penjajah British. PAS menentang Jus Soli yang merugikan orang Melayu tetapi diterima akhirnya oleh Umno. Semua dokumen sejarah ini dibukukan oleh Pusat Penyelidikan PAS dan ia pastinya dapat menjawab segala fitnah, pembohongan dan tuduhan palsu Dr Mahathir kepada PAS. Sebaliknya Umnolah yang sanggup bersekongkol dengan British dan menerima syarat-syarat British untuk merdeka – walaupun syarat-syarat itu merugikan bangsa Melayu. Pemimpin Umno berbangga kerana kununnya berjaya meranapkan Malayan Union. Tapi sejarah merakamkan ucapan Datuk Onn – pengasas Umno – yang berkata bahawa PERSEKUTUAN TANAH MELAYU ADALAH HANTU MALAYAN UNION YANG BANGKIT DARI KUBUR. Dan konsep persekutuan ala British inilah yang terus dipertahankan  oleh Umno hingga sekarang. Hantu Malayan Union inilah juga yang terus menjadikan orang Melayu dagang di negaranya sendiri. Adakah pemimpin Umno enggan mengakui hakikat ini?

Hujah 3: 
Umno menganggap semua Melayu adalah Islam, PAS berkata hanya ahli PAS sahaja Islam.

Inilah enigma yang melanda Umno. Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Adakah ini benar? Adakah Aisyah Bukhari dan Hartina Kamarudin yang masing-masing menganut Kristian dan Hindu masih Islam kerana berbangsa Melayu. Islam tidak boleh ditegakkan di atas sentimen. Ia diasaskan dari aqidah. Adalah janggal untuk mengatakan Melayu itu Islam sedangkan puluhan ribu Melayu telah murtad dari agamanya. Hamid Othman, ulama Umno yang menguasai Pusat Islam menganggap gejala murtad ini belum sampai ke tahap serius. Itulah Umno yang sanggup memperkecilkan persoalan aqidah! Mengatakan PAS hanya menganggap ahlinya sahaja sebagai Islam adalah tuduhan lapuk yang berniat jahat. Ratusan ribu ahli Umno yang menyertai PAS tidak diminta mengucapkan dua kalimah syahadah sekali lagi apabila menyertai PAS! Ia hanyalah modal Umno untuk terus menyisihkan rakyat daripada PAS.

Hujah 4: 
Umno adalah parti yang sederhana, PAS parti yang keterlaluan.

Umnolah parti perkauman sempit yang memberikan gambaran buruk kepada Islam. Lihatlah bagaimana Mohamad Rahmat, bekas Setiausaha Agung Umno dan kini Setiausaha Agung BN  menghina Dr Wan Azizah kerana mendakwa beliau berdarah Cina. Umno jugalah yang paling ekstrim menentang hukum Allah. Ghafar Baba dan Dr Mahathir sebagai contoh menghina hukum hudud dengan mendakwa orang Melayu akan mundur  kerana banyak tangan yang dipotong. Sebaliknya PAS berdiri di atas landasannya yang betul. Kerjasama PAS dengan lain-lain parti politik dan NGO -- dari pelbagai bangsa dan agama -- membuktikan sikap keterbukaannya.

Hujah 5: Umno menjadikan Islam agama yang dianuti, PAS menjadikan Islam sebagai alat untuk kepentingan parti.

Akhirnya Mahathir terperangkap dengan hujahnya sendiri. Pastinya Umno hanya menjadikan Islam sebagai agama anutan bukannya satu sistem kehidupan. Bagi Dr Mahathir, Islam yang difahamkannya adalah ibadah khusus yang tidak mencakupi persoalan duniawi. Itulah sebabnya Mahathir mencurigai ulama yang berpolitik kerana baginya politik adalah kotor dan bukannya sebahagian daripada Islam. Kejahilan tentang tasawwur Islam yang betul juga menyebabkan Mahathir tidak dapat menerima kehadiran sebuah parti politik yang ingin memperjuangkan Islam di segenap aspek kehidupan.

Hujah 6: Umno berpegang kepada janji, PAS memungkirinya.

Umnolah yang paling banyak memungkiri janji. DEB yang menjanjikan 30% ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara tidak tercapai sehingga kini. Malah kekayaan negara diagih-agihkan kepada sanak saudara dan kroni-kroni Mahathir. Umno mendakwa memperjuangkan nasib dan kepentingan Melayu tetapi merampas tanah-tanah orang Melayu di Kerpan, Pantai Kundor, pantai Tanah Merah dan Gelang Patah untuk projek pembangunan. Umno berjanji mempertahankan bahasa Melayu tetapi membiarkan Menteri Pendidikannya memertabatkan bahasa penjajah di IPT tempatan. Umno  mendakwa membela agama tetapi tidak dapat menolong ahli-ahlinya (Haji Bukhari dan Encik Kamarudin) yang anak-anak mereka dimurtadkan secara terang-terangan.

Umno jugalah yang menghalang hasrat PAS untuk mendaulatkan Islam apabila memberi amaran keras kepada kerajaan Kelantan agar tidak melaksanakan hudud!
 

Hujah 7: Umno mengutamakan iman, PAS mengutamakan penampilan Islam

Pengertian iman menurut ahli sunnah waljamaah adalah "mengiktikadkan di dalam hati, mengucapkan dengan lidah dan menyempurnakannya dengan amalan".  Penampilan Islam adalah syarat sempurna iman. Adakah beriman seorang Islam jika ia menentang malah menghina syariat Allah? Berimankah Dr  Mahathir jika beliau menghina sunnah dengan mendakwa rasul dan sahabat menyimpan janggut kerana di zaman itu tidak ada pisau cukur? Dr Mahathir juga menghina syariat dengan mendakwa ucapan selamat pagi sama dengan Assalamu’alaikum dan mempersendakan perempuan yang menutup aurat.

Hujah 8: Umno bertindak untuk pembangunan Islam; PAS hanya bercakap

Satu lagi hujah bodoh Dr Mahathir... PAS bercakap kerana ia tidak berkuasa membentuk kerajaan. Umnolah yang sepatutnya melaksanakan pembangunan Islam kerana telah lama berkuasa dan membentuk kerajaan. Sebagai contoh, PAS telah menyarankan supaya Bank Islam dan universiti Islam dibuat sejak tahun 60-an. Tetapi pemimpin Umno yang memang lambat nak faham hanya melaksanakannya pada tahun 1980-an. Itupun setelah Anwar Ibrahim menyertai Umno untuk "mengislamkan Umno daripada dalam".
 

Hujah 9: Umno kata mesti setia pada parti; PAS kata mesti fanatik pada parti

Ahli-ahli Umno bukan sahaja dimestikan setia pada parti malah perlu fanatik kepada Dr Mahathir. Itu sebablah perhimpunan agung Umno menjadi pentas untuk memuja-muji Dr Mahathir.  Walaupun 18 tahun pemerintahan Mahathir dipenuhi pelbagai skandal, penyalahgunaan kuasa, rasuah, penyelewengan dan pembaziran wang rakyat, Mahathir masih dianggap  pemimpin agung yang maksum dari dosa dan cacat cela. Sebaliknya pemimpin PAS mendidik ahlinya supaya tidak fanatik kepada parti dan pemimpin. "Jika Umno melaksanakan Islam, PAS tidak perlu wujud," kata Mursyid Am PAS.
 

Hujah 10: Umno mengutamakan kebenaran, PAS mengutamakan fitnah

Adakah Umno tidak terlepas dari budaya fitnah? Mengapakah buku 50 Dalil yang mencarut, memfitnah dan mengandungi pelbagai tuduhan palsu kepada seorang  pemimpinnya dimasukkan dalam beg perwakilan Umno oleh Pejabat Setiausaha  Agung Umno? Adakah Dr Mahathir tidak memfitnah PAS apabila mendakwa kununnya Mursyid Am PAS melarang wanita bekerja. Adakah Umno dan Dr Mahathir tidak menabur fitnah apabila mendakwa Tengku Razaleigh menjual Islam kerana memakai sigah Kadazan berlambang salib. Adakah Dr Mahathir tidak menyebar fitnah apabila mendakwa bekas TPMnya melakukan zina dan  liwat tanpa 
menampilkan empat orang saksi?
 

Hujah 11: Umno sopan, PAS tidak sopan dalam berkata

Sopankah Dr Mahathir apabila menggunakan media massa untuk menjatuhkan timbalannya dengan tuduhan liwat dan zina. Adakah senang untuk Dr Mahathir menjelaskan tentang liwat, "main bontot" dan "kemaluan masuk ke dalam dubur" kepada cucu dan anak perempuannya daripada menjelaskan tentang SHIT dan pukiMak.
 

Hujah 12: Umno mengamalkan fardhu ain dan kifayah, PAS amalkan fardhu ain sahaja

Jika benar, mengapa perwakilan Umno perlu mengundi untuk tunaikan sembahyang Jumaat dalam perhimpunan agungnya satu masa dulu. Mengapa para pemimpin  wanitanya tidak menutup aurat walaupun tutup aurat itu wajib? Mengapakah ASN  dan ASB masih belum bebas daripada unsur riba sedang riba haram di sisi  Islam? Mengapa dan mengapa...Yang pastinya, bolehkah Dr Mahathir bezakan antara fardhu ain dan fardhu kifayah?

Hujah 13: ...tak relevan
Hujah 14: ...tak relevan

Hujah 15: Umno berpegang pada tafsiran agama yang konsisten, PAS menukar-nukar mengikut selera

Umnolah parti yang paling tidak konsisten dalam menafsirkan agama. Semuanya kerana ulama bisu dalam Umno. Kalau dulu Umno menerima konsep politik suku dan agama suku, tapi kini mereka mula bercakap tentang fardhu ‘ain dan fardhu kifayah. Kenyataan demi kenyataan Dr Mahathir yang mahu pentafsiran baru tentang Islam dibuat membuktikan sikap tidak konsisten Umno dalam menerima pandangan ulama. Bagi Dr Mahathir hukum Islam  yang tidak bersesuaian dengan nafsu dan pandangannya sendiri perlu ditafsirkan semula. Tidak ada bezanya antara Mahathir dan Kamal Attarturk dalam isu ini.
 

Hujah 16: Umno mendirikan masjid untuk mengembangkan Islam dan merapatkan orang Islam, PAS...

Ini juga satu pembohongan dan retorika Umno. Sebenarnya masjid-masjid kini dibelenggu dengan pelbagai peraturan yang didalangi Umno. Jawatankuasa masjid bukan dipilih oleh anak qariah tetapi ditentukan oleh pemimpin Umno tempatan. Tidak hairan jika ada di kalangan mereka yang bukan ahli masjid hatta kaki judi dan kaki maksiat juga dipilih sebagai pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid.

Peranan para imam, khatib, bilal dan lembaga syarak diperkecilkan. Orang-orang politik yang jahil tentang Islam diberi amanah mentadbir masjid. Maka berleluasalah kejahilan dan maksiat di kampung-kampung kerana rasulullah pernah bersabda, "... jika sesuatu amanah itu diberikan kepada yang bukan ahlinya, tunggulah saat kehancuran."
 

Hujah 17: Umno mengutamakan pegangan dan amalan Islam sebenar, PAS utamakan rupa Islam semata-mata

Apakah pegangan dan amalan Islam sebenar yang dipraktikkan Umno? Islam yang dipraktikkan Umno hanyalah Islam yang disarankan Dr Mahathir. Dr Mahathir memperlekehkan ulama kerana berpendapat beliaulah yang  lebih layak dipanggil ulama. Bagi Umno, membanteras mungkar seperti melarang wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik adalah menyalahi Islam sebenar. 

Islam bagi Umno adalah "berbuat makruf dan bertoleransi pada mungkar".  Inilah sesatnya  fahaman Islam Umno.

Hujah 18: ... tak relevan

Hujah 19: ... langsung tak relevan.