HINDARKAN DIRI DARIPADA TERMAKAN FITNAH
HINDARKAN DIRI DARIPADA MEMBACA AKHBAR HARIAN UM, BH, STAR, SUN & NEW STRAITS TIMES,
HINDARKAN DIRI DARIPADA MENONTON BERITA RTM & TV3.

Isteri hujung minggu: Mari bertindak sebelum trend jadi 'budaya'

LAPORAN mengenai isteri hujung minggu memaparkan satu trend yang bukan sahaja masih berlaku, malah semakin berkembang dan menimbulkan banyak masalah.

Trend itu, jika terus berleluasa, bukan sahaja akan merosakkan dan menghancurkan hubungan keluarga yang sudah lama didirikan tetapi juga memberi gambaran buruk tentang keadaan generasi akan datang.

Apa yang menyedihkan ialah golongan yang terlibat adalah golongan yang sudah tua.

Laporan ini juga memberi iktibar tentang peri pentingnya menjaga hubungan keluarga. Antara lain, ia turut menitipkan kesedaran kepada para isteri yang mengambil ringan hubungan suami isteri dan tidak memberi perhatian yang konsisten kepada suami selepas bernikah.

Perkembangan itu tentunya tidak harus diterima oleh masyarakat kita.

Ada beberapa hal yang harus diperhatikan:

  • Kenapa daya tarikan luar begitu kuat sehingga menawarkan kesempatan kepada suami yang sepi.
  • Apakah yang mendorong mereka melakukan perbuatan itu?
  • Mengapa hal sedemikian rupa wujud tanpa diberi perhatian oleh badan-badan Islam?
  • Apakah tindakan-tindakan yang perlu diambil untuk mencegah perbuatan tersebut daripada perlahan-lahan menjadi budaya yang diterima?
  • Bagaimana boleh kita mengawal situasi tersebut agar generasi muda kita tidak ikut terpengaruh dan menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk?

  • Suami dahaga layanan menyenangkan

    Kita harus kupas satu-persatu mengapa boleh terjadi hal tersebut dan bersikap terbuka dalam membincangkannya.

    Pada hemat saya, tanggungjawab isteri kepada suami merupakan faktor paling penting. Jangan hanya waktu remaja/pengantin baru sahaja isteri memberi layanan yang menyenangkan. Layanan yang mencukupi boleh dilakukan dengan pelbagai cara.

    Ini termasuk kasih sayang yang ditunjukkan sepanjang masa, saling hormat-menghormati pendapat masing-masing dan sentiasa saling memberi perhatian.

    Waktu yang paling kritikal adalah apabila anak-anak sudah dewasa dan mungkin ketika sudah sampai umur menimang dan memelihara cucu.

    Pada saat inilah isteri harus memastikan bahawa suami merasakan yang hubungan hidup yang lama didirikan tidak sia-sia. Sebahagian daripada kita menyangka hubungan di peringkat ini tidak penting sehingga ada kala menyebabkan pihak suami berasa kasih sayang yang diharapkan tidak wujud sama sekali.

    Kalau sebaliknya rumahtangga sentiasa harmoni, isteri saling mengerti keinginan si suami. Beliau akan merasakan bahawa kasih sayang atau layanan yang sangat menyenangkan tidak akan dapat dicari di tempat lain.

    Maka tidak ada sebab kalau isteri yang sudah lama hidup bersama suami tidak tahu selera atau keinginan si suami. Dari itu, adalah penting seorang isteri bukan hanya jadi teman hidup tetapi harus juga mengerti dan kenal pasti sifat-sifat suami sejak dari jejak ke jinjang pelamin sehingga ke anak cucu.

    Bagaimanapun manusia banyak kelemahannya apatah lagi kalau dibenarkan beristeri lebih daripada satu sehingga mereka lupa syarat-syarat dan tanggungjawab yang ditetapkan oleh agama kita.

    Masalah rumahtangga juga disebabkan oleh perubahan zaman. Dengan pendidikan lebih tinggi dan peluang membina kerjaya, ada kalanya pihak isteri terlalu sibuk mengejar cita-citanya sehingga terlupa peranan mereka sebagai seorang isteri yang bertanggungjawab.

    Suami adalah manusia biasa -- boleh berasa sepi dan bosan sekiranya mereka berasa layanan isteri mereka semakin berkurangan. Keadaan batin yang terseksa boleh mengubah suasana rumah yang asalnya bagaikan syurga menjadi seperti penjara.

    Wanita mungkin boleh hidup tanpa lelaki, tetapi lelaki biasanya lebih cepat berasa sepi dan tidak sepandai wanita dalam mengurus diri dan rumahtangga. Keperluan seperti menyediakan makanan, mencuci dan menggosok pakaian, membersihkan sekitar rumah dan berbelanja ke pasar tidak akan boleh dikerjakan oleh seorang lelaki. Keadaan sedemikian kerap mendorong mereka mencari pengganti.

    Pembantu rumah mungkin dapat membantu, tetapi ia tidak mungkin menjadi pengganti ketiadaan isteri. Keperluan rohani -- kemesraan sebagai suami isteri yang diselaputi rasa cinta dan kasih sayang -- bukan boleh dibayar dengan gaji.

    Kemesraan yang hilang akan mempunyai kesan lanjut ke atas anak-anak kerana pada dasarnya, kebahagiaan rumahtangga -- hubungan antara suami dengan isteri -- merupakan contoh paling dekat dalam hidup mereka setiap hari.

    Pengamatan mereka berdasarkan pengalaman mereka hidup dalam keluarga akan menjadi bekalan hidup mereka di kemudian hari. Jika hidup mereka disulami keadaan keluarga yang negatif, ada kemungkinan mereka akan menjalani kehidupan keluarga yang lebih buruk lagi.

    Syarat miliki lebih daripada satu

    Namun, kita belum terlewat. Kita masih ada waktu untuk mencari jalan atau langkah-langkah untuk mencegah keadaan tersebut daripada menjadi lali dan terbudaya dalam hidup generasi masa depan.

    Beberapa langkah mengatasinya boleh kita fikirkan bersama. Ia merangkumi langkah jangka pendek dan jangka panjang.

    Antara yang paling utama ialah membuat persiapan mental sejak di bangku sekolah dengan mengenalkan prinsip-prinsip hidup yang sekaligus menerapkan rasa bertanggungjawab kepada keluarga, bangsa dan negara.

    Dalam kelas agama, syarat-syarat untuk memiliki isteri lebih daripada satu harus ditekankan sehingga mereka yang berniat untuk melakukan akan memikir tentang perihal tersebut sedalam-dalamnya.

    Peringatan tentang tanggungjawab suami isteri harus ditekankan di kelas-kelas agama, dari semasa ke semasa.

    Suami isteri harus meluangkan waktu bersama seperti melancong ke luar negeri dan mengenangkan saat-saat indah.

    Cuba wujudkan suasana yang menyenangkan seperti berbincang masalah terkini dan menghormati pendapat dari dua pihak. Jangan suka amalkan sikap sentiasa mahu menang dalam perbincangan.

    Jika bertentangan minat dan pendapat, pastikan ia tidak sampai menimbulkan kebencian dan menyakiti hati satu atau kedua-dua belah pihak. Jangan sesekali menyentuh hal yang boleh membawa pertengkaran.

    Usaha mewujudkan suasana keharmonian rumahtangga boleh dibantu oleh badan-badan Islam dengan mengadakan kegiatan sosial yang bersifat keagamaan.

    Dari itu, demi kebahagiaan dan keharmonian generasi akan datang, kita harus bertindak sewajarnya sehingga masyarakat Melayu akan lebih disegani dan dihormati di negara kita yang berbilang bangsa ini.
     

  • Nota: Penulis ialah Pengarah Urusan LeMann Employment Agency.