KAMARUDIN NAFI MILIKI SAHAM BERBILION RINGGIT 

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau memiliki tidak lebih daripada 10 peratus saham dalam tiga projek yang diswastakan dan nilainya bukan berbilion ringgit seperti yang dilaporkan. 

Datuk Kamarudin Jaafar yang juga Ketua Bahagian Umno Tumpat berkata, adalah tidak benar yang beliau memiliki saham bernilai RM10 bilion dalam projek KL Linearcity, saham RM 1.3 bilion dalam KL PRT Sdn Bhd dan saham RM21 juta dalam Sabah Shipyard Sdn Bhd seperti dalam senarai yang dipamerkan semasa Perhimpunan Agung Umno ke 53 minggu lepas. 

Menurut Kamarudin dalam satu kenyataan melalui peguamnya Balwant Singh Sidhu, di sini, hari ini, beliau memiliki 10 peratus saham dalam KL Linearcity Sdn Bhd, KL PRT Sdn Bhd (6.3 peratus) dan Sabah Shipyard Sdn Bhd (1.216 peratus). 

Pada Sabtu lepas semasa perhimpunan agung Umno senarai penerima saham dalam projek-projek yang diswastakan dari 1993 ke 1998 telah dipamerkan untuk pengetahuan umum dan Kamarudin dikatakan sebagai antara penerima peruntukan saham berjumlah berbilion ringgit dalam tiga projek itu. 

Mereka dalam senarai itu termasuk penyokong-penyokong dan anggota keluarga Anwar. Antaranya ialah ayah Anwar, Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan adiknya Marzuki.

Menurut Kamarudin, projek KL Linearcity dan KL PRT ditawarkan oleh Unit Perancangan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri mengikut amalan penswastaan biasa. 

Beliau berkata, penswastaan Sabah Shipyard ditawarkan kepada Westmont Group pada 1992 oleh Kerajaan Negeri pada masa itu yang dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Joseph Pairin Kitingan dari Parti Bersatu Sabah (PBS). 

Kelulusan terakhir oleh Kerajaan Persekutuan diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri pada masa itu Ghafar Baba (sekarang Tun). -- BERNAMA