HINDARKAN DIRI DARIPADA TERMAKAN FITNAH 
HINDARKAN DIRI DARIPADA MEMBACA AKHBAR HARIAN UM, BH, STAR, SUN & NEW STRAITS TIMES, 
HINDARKAN DIRI DARIPADA MENONTON BERITA RTM & TV3.
Umno Musnahkan Cita-cita Merdeka

Oleh Fathi Aris Omar [e-mel: farisa@netscape.net]

Bersimpati juga melihat beberapa veteran Umno beriya-iya bercerita tentang peritnya "zaman Jepun", betapa beruntungnya kita merdeka, bagaimana bersemangatnya perjuangan orang-orang dulu, betapa berbezanya anak-anak muda sekarang, dan akhirnya dakwaan Umno-lah parti yang membawa kemerdekaan.

Menurut kajian, orang tua-tua mempunyai orientasi masa ke belakang. Selain itu, orang yang "senile" juga mempunyai orientasi masa ke belakang. Maka, tidak hairanlah mereka yang telah mencapai usia emas gemar membangkitkan nostalgia, zaman dulu-dulu, zaman mereka muda-muda. [Nota: kajian ini disebut dalam karya Peter Shephard, seorang pakar perunding pembangunan diri yang terulung di negara ini dari Credo Institute dan salah seorang yang dirujuk oleh John Naisbitt ketika menyediakan manuskrip Megatrends Asia].

Tanpa menghina orang tua-tua dan sumbangan mereka, hujah mereka tentang politik Umno dan kemerdekaan  tidaklah objektif, malah banyak waktunya sentimental atau nostalgia. Hujah mereka juga tidak memberi harapan masa depan yang berani, sebaliknya menganggap (selalunya secara tidak langsung) bahawa masa depan itu adalah lanjutan dari perkembangan masa silam, masa kini dan masa depan dalam satu garis lurus (linear extrapolation). Berdasarkan pengalaman silam mereka, selalunya mereka menyebut, "jika buat A, maka akan jadi B" dalam satu teori sebab-akibat (causality theory) yang pincang dan kaku. Pendek kata, banyaklah aspek yang cacat dari "analisis sejarah" yang mereka utarakan kononnya untuk
meyakinkan kita, generasi muda selepas merdeka, malah generasi Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Benar, sejarah perlu dipelajari. Benar, sesiapa yang cuai mengambil iktibar dari sejarah akan dipaksa mengulangi kesilapan sejarah. Tetapi apa yang disebut oleh orang tua-tua, khususnya veteran Umno itu, tidaklah termasuk dalam sejarah atau analisis sejarah yang adil, yang
memberikan cahaya dan jiwa, yang menyediakan perspektif atau memberikan pencerahan minda, sebaliknya tersirat satu bentuk propaganda, dogma atau membebel sahaja! Maaf, jika istilah-istilah ini agak kasar.

Jika benar sekali pun beberapa idea mereka itu, perlulah kita menyedari hakikat sejarah, perubahan politik dan pembentukan sebuah negara merdeka.

Pertama, generasi muda berhak bertanya tentang masa depan dan berhak menuntut masa depan mereka. Berbeza dengan mereka yang sudah veteran, generasi muda harus hidup di negara ini, katakan usia kami 30-an, dalam tempoh sekurang-kurangnya 20-40 tahun lagi. Tempoh 20-40 tahun lagi itu sangat kritikal untuk negara kita dan generasi muda kita hari ini. Pada saat itulah mereka akan mewarisi kepimpinan negara dan masyarakat di setiap peringkat. Oleh itu, walaupun penting kita memahami sejarah, kita tidak boleh sekali-kali bernostalgia dan diperhambakan oleh sejarah, malah sebaliknya mesti berani mencipta masa depan generasi ini
dan negara ini. Dan juga ... berani menyahut cabaran-cabaran yang datang bersama masa depan itu.

Kedua, mencapai kemerdekaan adalah satu fasa perkembangan negara, sementara MENGISI kemerdekaan adalah satu fasa yang lain pula. Dalam usaha mengisi kemerdekaan itu, ada pula beberapa fasa. Seperti juga seorang manusia, negara kita "hidup" dalam lingkungan yang berubah. Ia tidak boleh kekal kaku. Ia harus berubah sesuai dengan elemen-elemen baru zaman-zaman tertentu. Dekad selepas merdeka umpamanya tidaklah sama dengan perkembangan menjelang alaf baru atau di alaf baru nanti dengan wujudnya "ekonomi gelombang ketiga", "pekerja pengetahuan" atau zaman IT.

Ketiga, mereka yang mencapai kemerdekaan telah berbuat suatu sumbangan dan jasa yang besar kepada rakyat dan negara ini. Tetapi mereka tidak pernah diberikan LESEN untuk berbuat apa sahaja. Negara ini milik rakyatnya, bukan milik segelintir "pejuang kemerdekaan" atau "parti yang memperjuangkan kemerdekaan". Pejuang dan parti yang mencapai kemerdekaan itu harus menghormati hasrat rakyat selepas merdeka. Walaupun hasrat rakyat itu mungkin tidak serasi dengan cita-cita mereka tetapi rakyat pada sesuatu masa itulah yang menentukan cita-cita negara itu.

Keempat, ada kaitannya dengan hujah tiga di atas, pejuang kemerdekaan dan parti yang mencapai kemerdekaan tidak juga diberikan LESEN untuk merampok harta rakyat, seperti amalan rasuah, salah guna kuasa, menyekat suara rakyat, memperalatkan demokrasi, nepotisme dan kronisme. Malah, pejuang yang tulen tidak akan berbuat jenayah begitu kepada anak bangsanya sendiri atau negaranya ini (dan memutar-belitkannya atas nama "pembangunan" atau "berjuang demi agama, bangsa dan negara". Pemimpin Umno seperti Dr Mahathir yang kononnya "pejuang kemerdekaan" (seperti dakwaannya dalam A New Deal for Asia) bukanlah pejuang merdeka yang tulen. Umno yang ditunjangi oleh pemimpin rakus ini sebenarnya pemusnah cita-cita merdeka.

Kelima, kalau generasi pejuang kemerdekaan itu masih hidup dan masih waras, pastilah mereka sedar bahawa Umno sudah menyeleweng dari cita-cita merdeka. Oh ya! Umno bukanlah satu-satu daya yang menuntut hak kemerdekaan. Sebelum itu sudah banyak pemimpin dan perjuangan yang berkorban dan terkorban untuk mempertahankan maruah bangsa dan negara
ini. Pada awal abad 20 ini misalnya, sudah ada Gerakan Islah dengan pemimpin, sekolah, akhbar dan idea reformasi untuk kemajuan bangsa dan kemerdekaan. Malah, pada saat itu, Umno dan pemimpin kelas bangsawan yang rapat dengan penjajah itu masih belum CELIK MATA lagi!

Umno harus sedar perjuangan kolektif bukanlah tercetus dalam ruang kosong tetapi merupakan mata rantai perjuangan yang panjang dan "bergelombang" dari satu fasa sejarah kepada satu fasa sejarah kepada satu fasa sejarah yang lain pula. Perjuangan reformasi hari ini juga satu lagi fasa sejarah yang penting untuk negara ini dan rakyat! Dan, Umno -- jika masih ada semangat merdeka -- tidak ada hak menindas gerakan reformasi ini!

Hakikat bahawa Umno diberikan kemerdekaan oleh penjajah itu dan bagaimana daya-daya perubahan lain ditindas haruslah kita gali dari sejarah. Dan pastilah sejarah tidak berbohong sebagaimana pemimpin-pemimpin Umno cuba menipu rakyat tentang kemerdekaan pada hari
ini.

Ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ini, 31 Ogos 1999, kita haruskan berani war-warkan kepada rakyat bahawa UMNO-LAH PEROSAK YANG MEMUSNAHKAN CITA-CITA MERDEKA dan cuba MENGAMBIL MANFAAT atas kemajuan negara untuk poket masing-masing.

MERDEKA, re-for-ma-si
MERDEKA, re-for-ma-si
MERDEKA, re-for-ma-si