|
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat)
merasa hairan atas kenyataan dangkal Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda Umno,
Datuk Hishamuddin Hussien yang mencabar guru-guru yang terlibat dengan
parti politik pembangkang agar meletak jawatan dan berhadapan secara serius
dengan parti BN di arena politik. DPP Pusat mempertegaskan bahawa selama
ini Umno/BNlah yang mempergunakan guru-guru dan pelajar untuk kepentingan
politik sempit mereka.
Tuduhan yang mengatakan guru-guru
tertentu telah terlibat menghasut pelajar agar menyokong pembangkang adalah
ibarat meludah ke langit yang akhirnya jatuh ke batang hidung sendiri.
Sejarah telah membuktikan bahawa BN sejak sekian lama memperalatkan guru-guru
dan pelajar untuk matlamat politik mereka. Majlis-majlis PIBG telah dijadikan
pentas politik oleh pemimpin BN yang digunakan untuk berkempen terutama
menjelang pilihanraya. Pelajar-pelajar juga dipaksa memenuhkan majlis-majlis
yang dihadiri oleh pemimpin BN apabila majlis mereka tidak mendapat sambutan
rakyat.
Penutupan sekolah untuk membolehkan
pelajar memenuhi Stadium Indera Mulia di Ipoh ketika lawatan Perdana Menteri
ke Perak baru-baru ini membuktikan dakwaan ini. Pensyarah dan pelajar juga
dipaksa menghadiri majlis Alumni ITM kerana dibimbangi tiada hadirin akan
memenuhi Stadium Malawati 26 Ogos ini. Ini semua adalah rangkaian penyalahgunaan
kuasa dan penyelewengan tugas guru-guru serta pelajar yang ditaja oleh
BN.
DPP Pusat mempunyai bukti yang kukuh
bahawa BN selama ini menghasut pelajar untuk membenci pembangkang dan menyokong
kerajaan. Apa yang berlaku di IPTA pada Jun lalu jelas menggambarkan bahawa
BN menyalahgunakan kedudukan mereka untuk menghasut pelajar. Kenyataan
dangkal Pemuda Umno ini jelas menggambarkan kebimbangan mereka terhadap
pengaruh PAS di kalangan pelajar. Apabila kanak-kanak pun membenci Umno,
bermakna Umno sudah tidak ada masa depan lagi dalam kancah politik di negara
ini.
Cabaran yang dibuat Hishamuddin agar
guru-guru meletak jawtan dan bergiat secara aktif dalam politik jelas menggambarkan
bahawa Umno hanya tahu mencabar sahaja tetapi melenting apabila guru-guru
menolak perjuangan mereka. Guru-guru yang dicabar untuk menentang Umno
diugut dengan pelbagai cara, agar mereka takut menentang kerajaan. Jika
guru-guru ini turun ke padang sudah tentu Pemuda Umno akan sekali lagi
dimalukan sebagai mana mereka dimalukan akibat takut berdebat.
DPP Pusat menyeru seluruh rakyat
terutama guru-guru agar menolak perjuangan Umno/BN yang ternyata telah
memperalatkan pelajar,guru dan sekolah untuk kepentingan mereka tetapi
sebaliknya menuduh guru-guru yang tidak bertanggungjawab. Pemimpin BN sudah
tidak lagi relevan untuk negara ini dan sewajarnya mereka ditolak untuk
membolehkan sebuah kerajaan baru yang adil dapat dibentuk.
HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat