|
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat)
merakamkan setinggi tahniah kepada seluruh pejuang keadilan terutama keluarga
YB Lim Kit Siang di atas pembebasan Sdr Lim Guang Eng daripada tahanan
Penjara Kajang hari ini. DPP Pusat juga mengucapkan terima kasih di atas
pengorbanan yang disumbang oleh Guang Eng demi untuk mempastikan kelangsungan
perjuangan keadilan di negara ini walaupun terpaksa merengkok di penjara.
Pembebasan pada pagi ini sudah tentu menjadi momentum baru kepada rakyat
Malaysia yang sedang berusaha keras untuk memperjuangkan ‘Kemerdekaan Kedua’
daripada kezaliman dan penjajahan BN.
DPP Pusat berpandangan bahawa sambutan
hangat yang diberikan oleh rakyat dari pelbagai kaum kepada Guang Eng pada
hari pembebasan beliau menggambarkan seluruh kaum yang ada di negara ini
bersatu padu untuk menolak kezaliman BN. Pengalaman Guang Eng yang sudah
beberapa kali merengkok dipenjara menjadi medium utuh yang akan meroboh
rangkaian kezaliman yang sedang ditaja oleh BN. Perpaduan yang berlaku
hari ini diharapkan dapat memulakan sejarah baru yang meruntuhkan tembok
perkauaman ke arah menghancurkan kebejatan pemerintahan BN.
DPP Pusat juga menaruh harapan yang
besar kepada Guang Eng agar tidak serik untuk terus berjuang merobek layar
kezaliman BN. Kezaliman yang ada hari ini mesti terus ditentang dengan
perpaduan daripada seluruh rakyat tanpa mengira darah keturunan, agama,
bangsa, status sosial dan budaya. Menolak kezaliman sudah menjadi tangggungjawab
yang besar kepada rakyat memandangkan kezaliman yang ada semakin menggila
meragut segala hak rakyat demi untuk kemewahan dan keangkuhan hidup pemimpin
BN.
DPP Pusat mengajak seluruh rakyat
agar mencontohi pengobanan Guang Eng yang sanggup menjadikan dirinya sebagai
lilin yang membakar diri demi untuk menerangi orang lain. Pengorbanan seperti
ini amat penting dan bermakna di dalam usaha untuk menegakkan keadilan
dan menolak kezaliman yang dijana oleh BN.
DPP Pusat juga menyeru rakyat agar
mengambil kesempatan daripada peluang pilihanraya ini untuk membuat pilihan
tepat dengan menolak BN dan memilih parti-parti alternatif bagi mempastikan
pengorbanan Guang Eng menjadi lebih bermakna untuk melihat keadilan dan
kesejahteraan dapat ditegakkan. Kesilapan membuat pilihan bermakna lebih
ramai lagi rakyat yang akan dimangsakan oleh kezaliman BN.
HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat