HINDARKAN DIRI DARIPADA TERMAKAN FITNAH
HINDARKAN DIRI DARIPADA MEMBACA AKHBAR HARIAN UM, BH, STAR, SUN & NEW STRAITS TIMES,
HINDARKAN DIRI DARIPADA MENONTON BERITA RTM & TV3.

APABILA ANAK RAJA MENCACI ULAMAK  

Tawaran Tengku Razaleigh Hamzah, ayam jago terbaru PM, agar Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat diberi jawatan Mufti Kelantan sebenarnya bukanlah satu tawaran yang ikhlas, sebaliknya hanya merupakan pencak politik sahaja.

Pada Pak Utih, tawaran itu merupakan penghinaan yang paling dahsyat dan sebenarnya Razaleigh menghina martabat Islam sebagai agama rasmi.  Apa tidaknya, jika ditilik secara halus tawaran itu, nyata sekali bahawa Razaleigh menyatakan bahawa golongan ulamak atau mereka yang berpendidikan Islam tidak layak menjadi pemimpin negeri. Mungkin juga apa yang disindir oleh Razaleigh ialah bahawa pengetahuan agama seperti yang dimiliki oleh Nik Aziz tidak mencukupi untuk beliau menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

Maka apa pula peranan "ulamak UMNO" seperti Wan Mokhtar Ahmad, Yusof Nor dan Nakhaie Ahmad.  Apakah patut Wan Mokhtar dipencenkan dan dilantik menjadi Mufti Terengganu, manakala Yusof Noor menjadi Kadi dan Nakhaie menjadi tukang galas rehal Quran?  Apakah Razaleigh menidakkan peranan para ulamak dalam UMNO seperti Allahyarham Datuk Sheikh Ahmad Badawi (ayahanda TPM sekarang) dan Allahyarham Hassan Yunos (Menteri Besar Johor dahulu)?  Tidakkah ini juga menandakan bahawa Hamid Othman dan Zainal Abidin Kadir tidak layak jadi Ahli Parlimen UMNO dan sampai ketika untuk digugurkan?

Kata-kata Razaleigh itu merupakan satu perli yang cukup mengaibkan.  Sebagai putera raja, Razaleigh memang biasa dengan cara berkias yang sinis dan menghina.  Hidup di bawah bumbung Palm Manor di Kota Bharu, berdiri di bawah lindungan Istana Balai Besar dan Istana Air Mata di Kubang Kerian, nyata sekali Razaleigh membangkitkan
feel kedurjanaan golongan bangsawan yang cukup angkuh dan sombong.  Di zaman moden ini, apabila ramai anak raja sudah mula turun "mencemar duli" dan bergaul dengan rakyat jelata, Tengku Razaleigh masih di takuk lama, mencaci rakyat umpama raja-raja dahulukala.

Sedarlah kamu, wahai  Razaleigh, bahawa darah kamu sama merah dengan darah Nik Aziz.  Jika Razaleigh bergelar Tengku, apatah bezanya dengan Menteri Besar Kelantan yang bergelar Nik.  Kedua-duanya titis keturunan raja juga, cuma darah Razaleigh pekat sedikit.

Tetapi Razaleigh lupa bahawa rakyat kenal asal-usulnya.  Tidak perlulah Pak Utih leretkan asal-usul raja-raja Kelantan, sekadar kita mengingatkan Razaleigh bahawa kuasa kerajaan itu hanya amanat Tuhan dan bukannya hak mutlak. Titisan darah Razaleigh hanya bergelar "Tengku" tidak sampai pun enam keturunan, oleh itu hidung jangan terlalu tinggi dan pipi jangan terlalu tersorong!  Walaupun darah raja mengalir dalam dirinya, tidak bermakna bahawa dia akan mendapat tempat di hati rakyat Kelantan berbanding golongan ulamak pimpinan Nik Aziz.

Apatah lagi, rakyat Kelantan pernah menolak bulat-bulat golongan raja ini daripada memimpin mereka.  Dalam pilihanraya 1990, Tengku Ahmad Rithauddin yang pada masa itu merupakan menteri penuh dan bersaudara sepupu dengan Sultan Kelantan kalah teruk di kawasan Parlimen Kota Bharu.  Pilihanraya 1959 menyaksikan tewasnya Tengku Indera Petra, putera sulung Sultan Kelantan dan bekas Tengku Mahkota negeri tersebut yang bertanding sebagai calon UMNO.  Sementara ayahanda Razaleigh sendiri iaitu Tengku Mohd Hamzah (Tengku Seri Maharaja Kelantan) kalah dengan calon PAS sewaktu masih menjawat tugas Menteri Besar Kelantan.  Tidak mustahil Razaleigh akan mengecap "nikmat" kekalahan seperti yang dialami oleh Almarhum ayahandanya dahulu!

Walaupun rakyat Kelantan setia pada raja, kesetiaan itu tidaklah membabi buta.  Sebaliknya, menurut sejarah Kelantan, raja yang tidak sedar diri, mabuk kuasa dan menghina rakyat akan digulingkan.  Peristiwa pemberontakan di Pasir Putih oleh hero rakyat Tok Janggut disebabkan oleh kezaliman golongan diraja yang bersekongkol dengan penjajah British.

Razaleigh sudah berusia dan tidak layak lagi memegang jawatan tertinggi di Kelantan, mahupun di peringkat persekutuan.  Masanya telah lewat dan pintu kerjayanya sudah tertutup.  Wajar sangat Razaleigh berguru dengan Nik Aziz dan bukannya menghina ulamak besar itu!

Tidak mustahil jika Razaleigh lupa menghormati golongan ulamak, rakyat akan menolak kepimpinannya.  Sekurang-kurangnya jika PAS tewas di Kelantan, Nik Aziz telah berpeluang mengemudi kepimpinan negeri Darul Naim itu selama dua penggal.  Nik Aziz seorang yang rendah diri dan sederhana.  Jika beliau kalah, beliau tidak akan menangisi kehilangan kedudukan.  Cuba lihat jika Mahathir kalah dan kehilangan mahligainya di Putrajaya.  Cuba lihat jika Razaleigh tewas dan istananya di Ampang dan di Palm Manor tergadai...

Pak Utih - Jika raja hendak mewah, rakyat juga hendakkan tuah...