HINDARKAN DIRI DARIPADA TERMAKAN FITNAH
HINDARKAN DIRI DARIPADA MEMBACA AKHBAR HARIAN UM, BH, STAR, SUN & NEW STRAITS TIMES,
HINDARKAN DIRI DARIPADA MENONTON BERITA RTM & TV3.

Deklarasi Politik Graduan Lepasan Universiti dan
Kolej Tempatan

SEMUA GRADUAN MALAYSIA DIJEMPUT UNTUK HADIR !!!!!
 
Surat kepada semua graduan lepasan universiti dan kolej tempatan

Kami, sekumpulan graduan lepasan universiti dan kolej tempatan, telah bersama-sama mengisytiharkan "Deklarasi Politik Graduan Lepasan Universiti dan Kolej Tempatan" untuk menimbulkan keprihatian masyarakat umum terhadap perkembangan politik negara yang semakin membimbangkan  sejak kebelakangan ini.

Diharap saudara/saudari dapat membalas Surat Persetujuan berikut sebelum 28 hb Julai 1999 dan kembalikannya melalui:

e-mail: teyo@rocketmail.com

Saudara/Saudari juga dijemput untuk menghadiri Sidang Akhbar yang akan diadakan pada 1 hb Ogos 1999 (Ahad) pada pukul 2 petang di Dewan Perhimpunan Cina Selangor.

Pengasas:
Ahmad Shabrimi(UIA), Anwar Ridwan Zakaria(UM), Azizi Ahmad(UIA), Khairulfahmi Matsom(ITM), Liew Hui Mei(UUM), Lim Lian Guan(UM), Mohd. Fadli Ghani(UPM),
Mohd. Zuhdi Marsuki(UM), Ng Boon Hooi(USM), Stephen Doss(UM), Tan Chin How(MIA), Teh Chin Long(UM), Teyo Tuan Chin(UM), Tuan Mohd. Luqman T. Man(UKM), Yeo An Thai(UKM) .
 

_______________________________________________________
Surat Persetujuan

Saya bersetuju untuk
(      ) Menyokong  "Deklarasi Politik Graduan
Lepasan Universiti dan Kolej  Tempatan".
(      ) Menghadiri Sidang Akhbar pada 1 Ogos 1999.

Nama:
Alamat:
Universiti/Kolej:
Tel:
Fax:
Email:
******************************************************
 

Deklarasi Politik Graduan Lepasan Universiti dan
Kolej Tempatan

Menjana Pemikiran Alaf Baru: "Kembalikan Kuasa Kepada
Rakyat"

KAMI, sekumpulan graduan lepasa universiti dan kolej tempatan, merasa bimbang melihat perkembangan politik negara kebelakangan ini seperti campur tangan
eksekutif dalam badan kehakiman, penyalahgunaan kuasa polis, ketidakadilan laporan media, gejala rasuah yang bermaharaja lela dan sebagainya. Oleh itu, kami menyeru para pengundi mempertimbangkan tuntutan kami yang berikut :

1. Menolak parti yang mengamalkan pemusatan kuasa, kronisme dan nepotisme yang memudaratkan rakyat.

2. Menolak parti yang mencetuskan sentimen perkauman.

3. Menolak parti yang menggunakan akta-akta zalim yang menyekat hak kebebasan rakyat   umpamanya ISA, OSA, Akta Pertubuhan, Akta Polis, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, AUKU dan sebagainya.

4.  Menolak parti yang mencabuli autonomi Institusi Kehakiman.

Sebagai generasi muda yang mempunyai tekad untuk melihat negara ini terus aman dan makmur, kami menuntut parti yang mengambil bahagian dalam pilihanraya yang akan datang, dengan segera merealisasikan agenda kami yang berikut :

1.  Memansuhkan AUKU dan mengembalikan hak bersuara dan berpolitik kepada pelajar dan ahli akademik. Perlantikan Lembaga Pengarah Universiti, Naib Censelor dan Dekan-dekan juga mestilah dibuat oleh ahli akademik.

2.  Memansuhkan semua akta draconian seperti ISA, OSA  dan sebagainya.

3.  Melaksanakan pilihanraya untuk melantik kerajaan tempatan.

4. Perlantikan dan struktur SPR, BPR, Pejabat Peguam Negara, Badan Kehakiman dan Jabatan   Polis perlu menonjolkan prinsip-prinsip ketelusan, akauntabiliti dan berkecuali.

5. Memberikan hak pemilikan, kebebasan dan kesamarataan media massa kepada semua pihak yang berkemampuan.

6. Mengisytiharkan harta Perdana Menteri, para Menteri, Menteri Besar dan exco-exco Kerajaan Negeri serta ahli-ahli keluarga mereka kepada rakyat sebelum dilantik, semasa dan selepas tempoh penjawatan mereka.

7. Tempoh penjawatan Perdana Menteri , Menteri Besar dan Ketua Menteri mesti dihadkan tidak   melebihi dua sesi berturut-turut.

KAMI mengajak seluruh graduan di negara ini untuk bersama-sama kami menggerakkan kesedaran rakyat untuk memastikan rakyat negara ini dapat menghadapi cabaran alaf baru dengan lebih cemerlang dan bermakna.

KAMI berharap dan menyeru seluruh pengundi agar membuat pilihan dengan fikiran yang waras dan matang tanpa dipengaruhi, dihasut atau diugut dengan ancaman
rusuhan perkauman, ketidakstabilan negara serta permainan politik berasaskan politik wang, sentimen perkauman dan agama. Pengundi harus berwaspada dengan
penggunaan media dan jentera kerajaan yang mungkin diperalatkan parti pemerintah untuk kepentingan diri dan parti mereka.

Demi generasi akan datang,
Demi rakyat jelata,
Demi diri kita sendiri,
Marilah kita bersama-sama membuat pilihan yang bijak.