HINDARKAN DIRI DARIPADA TERMAKAN FITNAH
HINDARKAN DIRI DARIPADA MEMBACA AKHBAR HARIAN UM, BH, STAR, SUN & NEW STRAITS TIMES,
HINDARKAN DIRI DARIPADA MENONTON BERITA RTM & TV3.

Ucaputama Himpunan Graduan dan Profesional - Ketua Pemuda PAS
 

UCAPUTAMA
HIMPUNAN GRADUAN DAN PROFESIONAL

18 JULAI 1999 / 4 RABIUL AKHIR 1420
MARKAS TARBIYYAH PAS PUSAT, TAMAN MELEWAR

TUAN HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
 

INTELEK MENDEPANI PERUBAHAN
 

Assalamualaikum wrt wbt;
 

Saudara Pengerusi Majlis,

YB Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor, Presiden PAS yang dimuliakan;

Saudara Exco-exco DPP Pusat yang diraikan,

Saudara Pengarah Jabatan Kerajaan dan Swasta yang disanjungi,

Saudara Pengarah Program Perhimpunan Graduan dan Profesional dan;

Para hadirin yang dihormati sekalian,
 

MUQADDIMAH
 

Allah berfirman :
 

"Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong-penolong agama Allah sebagai mana Isa putera Maryam yang telah berkata kepada pengikutnya yang setia (hawariyyun) : ‘Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?’. Pengikutnya berkata : ‘Kamilah penolong-penolong agama Allah’, lalu segolongan daripada Bani Israel beriman dan sebahagian yang lain terus kufur; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang mendapat kemenangan."

(as-Shaff : 14)
 

Alhamdulillah, segala puji dan kesyukuran kita panjatkan kepada Allah swt kerana limpah inayah-Nya dapat kita berhimpun pada pagi ini di Dewan Muktamar Markas Tarbiyah PAS Pusat dengan penuh semangat keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Mudah-mudahan program yang menghimpunkan para graduan dan profesional pagi ini akan menganjakkan lagi kecemerlangan perjuangan kita.
 

Bagi pihak seluruh kepemimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada YB Dato’ Presiden PAS di atas kesudian YB Dato’ untuk menjadi tetamu dan merasmikan perhimpunan para cendikia dan intelek pada pagi ini. Saya mengalu-alu kehadiran para profesional sekalian ke majlis yang sangat sederhana tetapi penuh bermakna. Mudah-mudahan perhimpunan hari ini bukan sahaja dapat merapatkan ukhwah Islamiyyah di kalangan kita, tetapi juga akan dapat menggarap dan mengemblengkan tenaga para intelektual di dalam memberikan sumbangan kepada PAS.
 

Perhimpunan pada pagi ini walaupun sederhana dan ringkas tetapi amat tepat pada waktunya untuk kita semua para pejuang Islam mempertingkatkan daya usaha demi memastikan kemenangan Islam dapat dicapai. Hasrat daulah yang kita impikan menjadi semakin nyata dengan kesungguhan dan komitmen para graduan dan profesional sekalian. Kezaliman dan kecurangan pemimpin BN insya Allah dapat kita akhiri dengan iltizam yang sedemikian.
 

KEILMUAN INTELEKTUAL
 

Para intelek di negara ini adalah golongan yang menguasai strata atasan dan pertengahan dalam masyarakat kita. Ini bermakna para inteleklah yang mengusai denyut nadi ekonomi, politik dan sosial negara ini. Segala idea, pandangan, gerak kerja dan komitmen mereka akan menentukan hala tuju negara ini. Kerana itulah kedudukan para intelek sangat tinggi dalam masyarakat. Keilmuan mereka menjadikan para intelek sebagai idola yang ditaruh sejuta harapan oleh rakyat dan negara.
 

Hari ini PAS telah pun mengalami perubahan yang sangat pesat akibat daripada penyertaan para intelek dan cendikiawan bersama gerakan Islam. Para profesional dari pelbagai bidang meliputi kepakaran perancangan, pengurusan, penilaian dan pelaksanaan telah memilih PAS sebagai wadah baru perjuangan. Ahli-ahli sekarang bukan lagi dari kalangan ulama’ dan ahli agama sahaja, tetapi juga turut diserikan dengan ahli-ahli perundangan, perubatan, ekonomi dan pengurusan perancangan, akdemik, saintis, jurutera, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan juga ahli korporat yang menguasai perjalanan ekonomi negara.
 

Dewan Pemuda PAS Pusat menerusi Jabatan Kerajaan dan Swasta telah berusaha sekian lama untuk mengemblengkan tenaga para graduan dan profesional ini. Melalui kerjasama Jabatan Pembangunan Pelajar, kita telah berusaha untuk mendidikan para pelajar agar menjadi golongan intelek yang menjual diri kepada perjuangan Islam. Sebagai mana firman Allah swt di dalam al-Quran :
 

"Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya."

(as-Shaff : 10-11)
 
 
 

Umat Melayu Islam di negara ini telah membudayakan penghormatan yang tinggi kepada para ilmuan. Mereka memberikan kedudukan dan status yang besar kepada golongan ini. Dan status inlah yang sedang dimiliki oleh para graduan dan profesional yang ada di hadapan saya pagi ini. Status quo yang dimiliki oleh saudara para intelek sekalian mestilah dimanfaatkan semaksimum mungkin untuk menggerakkan bukan sahaja jentera kekuatan parti, tetapi juga menggerakkan minda rakyat melalui penyaluran maklumat ke corong pemikiran mereka. Pandangan, idea dan saranan para intelek sudah tentu menghalakan mereka kepada penilaian semula terhadap kepemimpinan zalim BN.
 

Gebang-gebang para intelek lebih berkesan dan bermakna bagi rakyat bawahan di samping ceramah-ceramah yang menyalurkan pandangan ahli politik gerakan Islam. Suntikan jahat BN kepada pemikiran rakyat bahawa pemimpin pembangkang sangat cemburu dengan kejayaan BN, kerana itu mereka terus mengkritik kerajaan mesti kita alternatifkan dengan medium baru yang diperanankan oleh para cendikiawan. Imej intelek yang memukau pandangan rakyat bawahan juga mesti dimanfaatkan untuk menyuburkan perkembangan Islam.
 

INTELEK BERIMAN
 

Para intelek yang telah menguasai pelbagai bidang ilmu sewajarnya menjadi hamba Allah yang paling bertaqwa dengan memberikan komitmen yang terbaik kepada perjuangan menegakkan Islam di muka bumi ini. Hanya manusia yang berilmu sahaja mampu untuk menzahirkan keimanan mereka dengan bukan sahaja menyokong gagasan Islam, tetapi menjadi pendukung paling setia kepada usaha-usaha memperkembangkan dan menambah nilai keimanan kepada Allah. Allah swt berfirman :
 

"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah dan memberikan komitmen kepada) Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu (ulama’), sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Mengampun". (al-Fath : 28)
 

Adalah amat jelek bagi golongan yang berilmu tetapi tidak mampu untuk menjadikan diri mereka sendiri sebagai hamba Allah yang taat dan mempunyai iltizam kepada perjuangan Islam. Mereka hanya mampu untuk mengurus dan mengendalikan urusan-urusan dunia dengan berkesan tetapi langsung tidak punya aspirasi untuk melihat Islam dijulang. Para ilmuan tidak wajar terus menjadi ‘syaitan bisu’ yang mendiamkan diri ketika dunia terus dirempuh badai sekularisme yang dahsyat dengan kezaliman. Menghambakan diri kepada profesion dan wang ringgit tidak akan membawa kita ke mana-mana. Allah swt. mengingatkan :
 

"Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman), dan apabila dia mengingati Tuhannya lalu dia sembahyang. Tetapi kamu (orang-orang yang kufur) memilih kehidupan duniawi. Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal."

(al-A’laa : 16-17)
 

Berilmu juga bukan bermakna memberi ruang kepada kita untuk melupakan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Memiliki kekayaan, sumber pendapatan yang besar dan kekukuhan ekonomi serta memiliki rakan niaga yang ramai, kaum keluarga yang besar dan para penyokong yang menguasai majoriti juga tidak seharusnya melalaikan para ilmuan daripada mengingati Allah. Kelalaian akibat terlalu asyik menjana kehidupan dunia yang fana akan menjerumuskan kita kepada kerugiaan yang besar di akhirat. Double standard terhadap kehidupan akhirat bagi para ilmuan dengan tidak menceburkan diri bersama-sama perjuangan Islam adalah amat tidak wajar. Segala kepakaran yang dimiliki mestilah dimanfaatkan untuk kepentingan Islam, baharulah dapat kita melihat ilmuan beriman yang beramal dengan ilmunya untuk Islam sebagai tanda kesyukuran. Allah swt sekali lagi memperingatkan kepada kita :
 

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu (kekukuhan ekonomi) dan anak pinakmu (para penyokong dan pengundi) melalaikan daripada mengingati Allah. Barang siapa yang berbuat demikian maka mereka itu orang-orang yang rugi."

(al-Munaafiqun : 9)
 

Adalah amat memalukan bagi para cerdik pandai Islam yang mengaku kononnya berilmu tetapi langsung tidak memberikan sumbangan kepada proses meninggikan martabat Islam. Kita melihat di segenap ceruk negara, gerakan PAS telah dibantu dengan penuh dedikasi oleh orang-orang kampung dari kalangan petani, nelayan, peneroka, buruh kasar dan sebagai yang kita tahu mereka itu bukan dari kalangan intelek dan profesional yang mempunyai segulung ijazah. Ahli-ahli profesional yang berada di hadapan saya pada pagi ini mestilah mempunyai keazaman yang kuat untuk memberikan komitmen terbaik mengatasi kesungguhan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli PAS dari kalangan rakyat bawahan sesuai dengan kedudukan kita sebagai insan yang berilmu.
 

Ahli profesional juga mesti sedar bahawa gerakan Islam seperti PAS ini adalah gerakan yang dianggotai dan dipimpin oleh pelbagai lapisan rakyat. PAS bukan parti milik ulama’ dan ahli agama sahaja. PAS juga bukan hanya dipimpin dan diterajui oleh ustaz-ustaz dan pak-pak lebai. Tetapi PAS juga sangat memerlukan tenaga profesional untuk bukan sahaja menjadi anggota, tetapi sebagai pemimpin, pencetus idea dan pengelola kepada perancangan strategik di dalam menghadapi kebejatan penganut sekular BN. Ulama’ kita boleh bertindak sebagai pemandu dan pengawal kepada segala tindakan yang dipimpin oleh para cendikia.
 

MENDEPANI PERUBAHAN
 

Gerakan Islam di seluruh dunia telah berpengalaman dipimpin dan dibantu para teknokrat di dalam menjana perjuangan mereka. Komitmen yang ditunjukan oleh intelek dan profesional telah menampilkan gerakan Islam di seluruh dunia seperti Parti Refah di Turki, FIS di Algeria, Hamas di Palestin, Hizbullah di Labonen dan sebagainya muncul sebagai gerakan massa yang dihormati oleh lawan dan kawan. Kepemimpinan para intelek seperti Prof. Dr. Najmettin Ebarkan, Dr. Fathy Yakan, Dr Abbas Madani, Dr. Ali Shariati, Mariyam Jameelah dan sebagainya membuktikan bahawa para intelek mampu memimpin dan mengelola gerakan Islam.
 

Para intelek dan profesional di negara ini juga seharusnya memainkan peranan yang besar di dalam menggerakkan perjuangan PAS untuk menegakkan Islam. Cabaran dan persaingan alaf baru yang akan dirempuh nanti memerlukan penggabungan mantap antara ulama dan intelektual. Projek mengintelektualkan ulama’ dan mengulama’kan intelektual akan menjadi kenyataan apabila para profesional sama-sama berganding bahu dan turun ke padang untuk menegakkan daulah Islam ini.
 

Negara hari ini sedang di ancam oleh bahaya besar kehancuran manifestasi daripada kedurjanaan sekularisme anutan BN. Negara mengalami masalah sosial yang sangat hebat meliputi krisis anak muda dan remaja, krisis keluarga dan rumah tangga serta krisis masyarakat dan rakyat jelata. Dadah, zina, arak, judi, AIDS, penceraian, murtad, fitnah, politik wang dan sebagainya cukup membusukkan keadaan.
 

Kemelut politik yang melanda negara ini turut menyaksikan pencabulan demokrasi, kezaliman, ketidakluhuran undang-undang, perlaksanaan peraturan draconian, pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, sehinggalah kepada pemerkosaan media massa oleh Kerajaan BN. Skandal korupsi, kronisme dan nepotisme, penswastaan yang menindas, pembinaan projek mega dan megah, penyalahgunaan dana rakyat dan sebagainya turut memberi gambaran yang ketara tentang kegawatan ekonomi yang melanda.
 

Kerosakan membarah inilah yang mendesak para profesional dalam PAS untuk bersikap responsif terhadap perjuangan Islam yang bukan sahaja mampu menjadi alternatif, tetapi satu-satunya sistem yang boleh menyelesaikan segala permasalahan yang melanda umat manusia.
 

TUNTUTAN KOMITMEN
 

DPP Pusat hari ini telah membuka begitu banyak ruang kepada para profesional untuk bersama memainkan peranan di dalam menjana kekuatan ini. Segala kepakaran dalam bidang-bidang strategik yang dimiliki mestilah disalurkan dengan betul oleh saudara semua. Pelbagai unit yang terdapat di dalam PAS yang melibatkan sektor-sektor strategik seperti penyelidikan dan pembangunan, pengurusan dan perancangan serta penilaian dan perlaksanaan sepatutnya didepani oleh para profesional.
 

PAS sebagai sebuah harakah politik di dalam menghadapi cabaran yang semakin hebat ini sangat terdesak untuk dibantu oleh para intelek terutama untuk menyediakan analisa-analisa, komen-komen, bidasan-bidasan, pandangan-pandangan dan idea-idea yang melibatkan ketersusunan fakta yang jitu, tepat dan jelas. Kerancakan PAS beraksi di Parlimen juga sudah tentu akan terganggu jika saluran maklumat yang tepat ini tidak sama-sama di dokong oleh para cerdik pandai.
 

Yang lebih penting bagi kita, PAS telah sekian lama dimomokhinakan oleh BN bahawa parti Islam adalah ‘parti kampung’ yang hanya disertai oleh ulama’ konservatif dan orang kampung yang tidak berilmu dan mudah diperdaya. Dengan perubahan yang dibuat oleh para intelek ini diharapkan dapat mengubah minda rakyat bahawa PAS adalah parti yang syumul yang diterima oleh semua lapisan rakyat lantaran dasar Islamnya yang realistik untuk dunia dan akhirat..
 

Saya pada pagi ini sekali lagi menyeru kepada semua graduan dan profesional agar memanfaatkan segala peluang dan kekuatan yang ada untuk bersama-sama kita mendepani perubahan di dalam saf perjuangan Islam ini. Perubahan gaya kepimpinan yang lebih bertenaga melalui gabungan ulama’-intelek dan juga perubahan minda rakyat melalui anjakan paradigma daripada kekaburan peta minda kepada kesediaan untuk berubah menolak BN yang terbukti rosak lagi merosakkan.
 

Para graduan sekalian juga semestinya mempunyai kesedaran dan jiwa yang besar di dalam menggerakkan organisasi massa yang berteraskan Islam ini. Tekanan dan cabaran sudah tentu akan disusun atur oleh BN melalui pelbagai jentera kerajaan untuk melemahkan daya juang para intelek sekalian. Oleh itu, ketika kita bersama-sama di medan jihad ini, kita mestilah mempunyai kesediaan untuk berhenti atau diberhentikan daripada profesion kita akibat komitmen kita kepada agama.
 

Allah berfirman :
 

"Tidak sewajarnya bagi orang-orang beriman semuanya keluar (berperang), Mengapa tidak pergi dari setiap kaum itu satu kumpulan yang sentiasa mendalami ilmu agama, dan memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka balik kepada kaumnya, supaya kaumnya merasa gerun (dengan hukum Allah)"

(At-Taubah: 122)
 

Menjadi tanggungjawab yang besar kepada semua intelek yang berilmu agar melaksanakan tanggungjawab untuk menyedarkan masyarakat terhadap kebejatan sekularisme yang ada hari ini. Jika dahulu masyarakat telah mengeluarkan sejumlah wang untuk membiayai pengajian saudara semua melalui biasiswa dan pinjaman pendidikan, maka hari ini saudara semua mesti membayarnya kembali melalui sumbangan dan khidmat kepada masyarakat terutama sekali dengan mengusahakan penamatan kezaliman BN. Mereka mesti disedarkan tentang Islam dan kejahatan sistem yang ada. Inilah tanggungjawab yang paling besar yang mesti dimainkan oleh saudara sekalian. Dan PAS ini adalah wasilah yang paling ampuh untuk saudara semua menjananya.
 

Para intelek yang cerdik pandai juga mestilah mengikis sikap dikotimi yang selalu dialami oleh kita semua terutama terhadap Islam. Kita selalunya begitu bertenaga untuk menyumbang idea, buah fikiran dan pandangan di dalam menjana kekuatan organisasi pejabat, organisasi korporat dan sebagainya, tetapi terlalu laih apabila kita menyertai sesi-sesi dialog dan perbincangan yang menentukan masa depan Islam. Inilah paradoks yang dialami oleh umat Islam hari ini. Perubahan sikap inilah yang mesti didepani oleh para graduan dan profesional yang beriman.
 

Saya percaya sebahagian besar daripada kita adalah kumpulan pengurusan di dalam organisasi kerajaan, swasta dan korporat yang mempunyai pengaruh ke atas kakitangan, staf-staf dan anak-anak buah di pejabat-pejabat. Kerana itu, di samping menggerakan masyarakat seluruhnya, kedudukan kita sebagai ‘orang atas’ mesti dimanfaat untuk kesedaran yang menyeluruh ini. Patronclient ini mesti digunakan untuk menyalurkan segala maklumat perubahan kepada mereka. Jika internet sebagai medium yang paling wajar, maka manfaatkanlah internet untuk merubah budaya mereka..
 

Saya juga mengambil kesempatan ini di dalam ucapan ini untuk mengajak kepada para profesional sekalian agar menjadikan titik perpindahan alaf ini sebagai permulaan untuk kita berubah sikap daripada perjuangan belakang tabir kepada tampil; ke hadapan memimpin pergerakan. Perjuangan disebalik tirai yang selama ini saudara janakan ternyata tidak begitu membrangsangkan dan menuntut tindakan yang lebih produktif sepadan dengan taraf dan kedudukan yang saudara semua miliki. Pesan Tuan Guru Nik Abdul Aziz :
 

"… berjuang di depan tabir adalah lebih baik daripada belakang tabir. 10 sen yang dibelanjalakan oleh orang yang berjuang di hadapan tabir adalah lebih besar pahalanya daripada 10 sen yang sama bagi orang yang berjuang dibelakang tabir."
 

PENGAKHIR KATA
 

Sebagai akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua hadirin di atas sokongan dan komitmen saudara untuk bersama PAS di dalam mengembleng kepakaran demi untuk kejayaan Islam. Saya berbangga hari ini kerana wajah-wajah ceria saudara tampil dengan penuh kesediaan untuk berkorban demi Islam.
 

Saya sangat mengharapkan agar Perhimpunan Graduan dan Profesional anjuran DPP Pusat pada hari ini akan dimanfaatkan oleh saudara sekalian bagi menggarapkan segala kepakaran untuk mengemblengkan tenaga-tenaga intelek yang ada. Kumpulan-kumpulan pengkajian mungkin dapat di ketengahkan mengikut bidang-bidang strategik masing-masing yang insya Allah mampu untuk memberikan kredit yang besar kepada PAS dan perjuangan Islam.
 

Mudah-mudahan perjuangan dan pengorbanan saudara ini akan menatijahkan kemenangan kepada Islam. Allah memberi jaminan :
 

"Sesungguhnya aku telah membuka kepadamu kemenangan yang nyata. Supaya Allah memberi pengampunan kepadamu terhadap dosamu yang lalu dan yang akan datang, dan menyempurnakan nikmat-Nya serta diberikan petunjuk ke jalan yang lurus. Dan mendapat pertolongan daripada Allah dengan pertolongan yang paling kuat"

(Al-Fath :1-3)
 

Dengan ini saya akhiri ucap utama ini degan lafaz suci wabillahi taufiq wahidayah wassalamu alaikum wbt. dan salam perjuangan.