KENYATAAN MEDIA :
MEMBANTAH TINDAKAN KEJAM KE ATAS PENEROKA BANDAR 
DI SUNGAI NIPAH SUBANG

(29 Jun 1999 / 15 Rabi`ul Awwal 1420)





Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merasa sedih di atas kejadian yang menimpa peneroka bandar di Sungai Nipah Subang semalam. Kejadian di mana tunjuk perasaan dan bantahan daripada golongan rakyat yang miskin terhadap tindakan kejam pihak yang merobohkan rumah mereka sehingga mereka kehilangan tempat kediaman. Pihak berkuasa yang menggunakan pancutan air kimia dalam menyuraikan bantahan tersebut, tidak lebih daripada menunjukkan sikap sebenar polis dan kerajaan terhadap golongan berpendapatan rendah dan miskin. Kepada Barisan Nasional wang sebanyak RM 60 bilion boleh digunakan untuk menyelamatkan kroni yang kaya. Masalah tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang melibatkan golongan berada diambil tindakan segera oleh kerajaan. 
 

Dalam waktu yang sama nasib golongan miskin diabaikan. Mereka bukan sahaja tidak dibantu malah dihalau dan rumah mereka dirobohkan dengan begitu kejam. Bayangkanlah bagaimana nasib dan masa depan golongan tersebut. Di manakah mereka hendak mencari tempat perlindungan ? Suasana kejam ini seolah-olah menggambarkan bahawa rakyat golongan bawahan dan miskin menjadi golongan pelarian di negara sendiri. Sudah banyak kes-kes di Lembah Kelang, di Pulau Pinang dan kawasan bandar yang lain membuktikan berlakunya fenomena ini Kita faham kenapa pemaju perumahan mengambil sikap keras terhadap peneroka bandar. Sikap yang begitu keras terhadap peneroka bandar kerana mereka mengetahui akhirnya kerajaan menyebelahi mereka. Inilah padahnya sekiranya kerajaan mementingkan golongan kaya atas alasan dapat memungut cukai yang banyak. Dan kononnya golongan miskin tidak dapat membantu apa-apa kepada keraajan. 
 

DPP Pusat dimaklumkan bahawa sebahagian besar daripada peneroka bandar adalah tediri dari ahli UMNO dan MIC. Walaupun telah sekian lama mereka menabur jasa kepada UMNO dan MIC namun ia tidak sedikitpun memberi jaminan perlindungan oleh kerajaan UMNO dan BN. Kita tidak hairan kalau sekiranya dasar kronisme yang mementingkan golongan kaya ini menyebabkan nasib peneroka bandar dipinggirkan dan akan dihapuskan. 
 

Sekarang jelas bahawa kerajaan sudah tidak berlaku adil terhadap semua golongan rakyat. Pada mata kerajaan, keadilan itu hanya layak untuk golongan yang kaya serta golongan yang rapat dengan yang kaya semata-mata. Rakyat bawahan perlu mencari keadilan mereka sendiri. Apa yang diterima oleh mereka hanyalah kezaliman yang berterusan. Kes kezaliman di Kerpan, Tanah Merah dan Pantai Kundur Melaka, Ampang Selangor, kezaliman terhadap pemandu teksi dan satu demi satu kes mengesahkan semua ini. 
 

Oleh yang demikian DPP Pusat menyeru supaya seluruh rakyat bersatu untuk bangun menyatakan sikap sebenar mereka terhadap kerajaan melalui sistem demokrasi iaitulah pilihanraya . DPP Pusat menggesa supaya pihak polis membebaskan kesemua mereka yang ditahan termasuk pejuang-pejuang hak asasi yang ditahan semalam. Ingatlah bahawa mereka hanya mempertahankan hak mereka semata-mata. 
 
 
 

ISHAK ISMAIL

Pengerusi Lajnah Pekerja Dan Peneroka Bandar

Dewan Pemuda PAS Pusat