HINDARKAN DIRI DARIPADA TERMAKAN FITNAH 
HINDARKAN DIRI DARIPADA MEMBACA AKHBAR HARIAN UM, BH, STAR, SUN & NEW STRAITS TIMES, 
HINDARKAN DIRI DARIPADA MENONTON BERITA RTM & TV3.
Kegilaan

malam ini akan pecah bersinar bunga api
cahaya laser akan membelah gelap malam
menerang angkasa
satu monumen lagi akan dirasmikan
menara kembar tertinggi di dunia

ini satu kegilaan namanya
satu pembaziran khazanah negara
hasil minyak untuk generasi
anak cucu cicit kita
dibelanjakan macam wang pesakanya
semata-mata untuk melayan
ego seorang pemimpin
langsung tidak sensitif
penderitaan rakyatnya
 

sedang esok kita akan menyambut
ulangtahun ke-42
Hari Kemerdekaan tanahair
bebas dari penjajahan yang membelenggu
tapi hakikatnya bukan begitu
kerana kita masih terjajah kembali
golongan oligarki dari kalangan kita sendiri
yang disokong kroni-kroni
bermaharaja sesuka hati
membina mahligainya sendiri
dengan tasek buatan manusia
dan litar lumba kereta
untuk mereka bersuka-suka
kemudian terbang di angkasa
dengan jet dua ratus juta
 

Esok Hari Ulangtahun Kemerdekaan
dengarkan ratapan hidup
rakyat susah di desa-desa
rakyat miskin di kota
harga getah rendah sekali
pekebun kecil tak mampu beli
buku kerja sekolah anak mereka

Peneroka Felda
bawa pulang dua tiga ratus sebulan
sawit jatuh separuh harganya
potongan demi potongan pendapatan
mereka kembali hidup dalam kemiskinan
tiada bail-out
tiada siapa pedulikan
tiada pemulihan
tiada program penyelamatan

Tetapi di Ibu kota Kuala Lumpur
seperti Shah Pahlevi
dia dan penyanjungnya berpesta
bermandi sinar laser dan bunga api
nilai berjuta dihanguskan malam ini
untuk satu perasmian
tugu mega
Menara Kembar
seperti dua tongkol jagung
seperti dua batang nisan
satu lambang kematian
menongkat ke langit
ketika negara masih dibelit
kegawatan ekonomi
ketika rakyat diminta
mengikat perut lagi
mencerutkan tali pinggang
hingga terasa ke tulang

kenapa kita biarkan
orang ini terus berkuasa
malam ini dengan angkuhnya
dia akan mendabik dada
satu lagi mercu tandanya
akan mempapakan negara
akan dia rasmikan
satu beban yang dia akan tinggalkan
warisan pembaziran
untuk dipikul anak cucu cicit kita

30hb Ogos 1999
Hassan Karim