Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Hj. Mahfuz Omar

Bekas tahanan ISA, pakar debat

Oleh SAIDAH HAIRAN

 


Haji Mahfus Omar
BEKAS pengurus pasukan bola sepak belia Kampung Titi Gajah, Alor Setar, merupakan 'idola' belia di kampungnya 20 tahun lalu. Kini 'idola' itu telah menjadi buah mulut di kalangan mahasis-wa, pemuda dan umat Islam di seluruh tanah air sehingga di peringkat antarabangsa.

Beliau ialah Haji Mahfuz Omar, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Kelancaran beliau ketika berdebat menyebabkan sukar bagi pihak lawan untuk mematahkan hujahnya.

Namanya semakin menjulang kerana keberanian dan kesungguhan beliau untuk berdebat mencari kebenaran dengan Pemangku Ketua Pemuda Umno, Dato' Hishammuddin Hussein.

Cercaan atau hinaan dari Pemuda Umno kerana Mah-fuz menolak untuk berdebat di CNBC, tidak sedikit pun melunturkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap beliau.

Ini kerana kesediaan beliau untuk berdebat dengan Hishamuddin di bangunan Umno sendiri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menja-wab tuduhan mengatakan beliau berani berdebat di hadapan penyokong sendiri.

Bekas Tahanan ISA


Mahfuz (kiri) bersama pimpinan parti alternatif di dalam satu majlis di sebuah hotel terkemuka.
Walaupun, Hj. Mahfuz Hj. Omar merupakan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negari (ISA), namun beliau tidak pernah takut dan gentar untuk meneruskan perjuangan sekalipun menjadi mangsa ISA untuk kali keduanya.

Falsafah dirinya 'bala jangan diundang,' tetapi jika ia datang anggaplah itu sebagai satu ujian dari Allah dan ia perlu ada persiapan fizikal dan mental untuk mengha-dapinya.

1984 merupakan tahun permulaan beliau diekori oleh Polis Cawangan Khas (SB) ekoran Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohamad Sabu ketika itu telah ditangkap oleh polis. Mahfuz terpaksa ponteng kerja dan bersembunyi selama 1 bulan kerana pihak polis sering berada di tempat kerjanya.

Suatu malam ketika berceramah bersama Tim-balan Yang Dipertua PAS,ketika itu, Ustaz Fadzil Mohd Noor, di Lahar Minyak, beliau terpaksa dilarikan dengan meredah bendang dan lumpur untuk menyelamatkan diri dari menjadi mangsa keganasan ISA.

Beliau ditempatkan di rumah orang kuat PAS pada ketika itu Allahyarham Hj. Talib di Rantau Panjang selama 1 malam dan siang dibawa berehat di tempat persembunyian. Walau bagaimanapun, pertemuan antara ibu, isteri dan anak-anak tetap diadakan di rumah kawannya iaitu tempat persembunyian beliau selama 1 bulan. Waktu itu, isterinya sedang sarat mengandung anak pertama.

Oleh kerana beliau ponteng kerja selama 1 bulan, Mahfuz telah dibuang kerja dari Jabatan Penerbangan Awam, Pulau Pinang.

Pada tahun 1987, Mahfuz telah ditahan di Pulau Pinang 60 hari di bawah ISA.

Sewaktu Mahfuz dalam tahanan, ibunya Hajah Ton Ismail sering melawat dan memberi rangsangan serta menunjukkan sikap marah kepada pihak polis. Ini kerana penangkapan itu berpunca dari ketegangan politik akibat sentimen MCA dan Umno, Mahfuz tidak terlibat dengan ketegangan politik itu.

Sepanjang duduk di lokap polis, Mahfuz diberi pakaian penjara tetapi apabila keluarga datang beliau diberi pakaian yang dipakai ketika mula ditangkap dahulu. Ini merupakan mainan polis untuk menunjukkan tahanan ISA diberi layanan dan mendapat keselesaan.

Mahfuz juga mengalami tekanan psikologi ketika menjadi tahanan ISA.

Masuk 60 hari Mahfuz berada di dalam tahanan, beliau telah dipindahkan ke kem tahanan Kemunting. Sebelum dimasukkan ke tempat tahanan Mahfuz diletakkan di sebuah bilik yang sempit selama 1 minggu.

Sewaktu dalam tahanan, Mahfuz akan berasa gembira apabila keluarga datang melawat dan berasa sedih ketika keluarga tahanan lain datang tetapi keluarga sendiri tidak datang.

Mahfuz berpengalaman menyambut hari raya puasa dan hari raya haji di dalam penjara. Malangnya, sepan-jang menjadi tahanan tidak dibenarkan sembahyang Jumaat dan sembahyang hari raya di dalam penjara.

Komitmen dalam PAS

Selepas dibebaskan dari tahanan ISA, Mahfuz meneruskan perjuangannya kerana beliau menganggap menjadi tahanan ISA itu sebagai satu fitrah dalam kehidupan seorang pejuang. Menjadi tahanan ISA itu merupakan satu ujian atau tribulasi yang akan tetap diharungi oleh seorang pejuang Islam.

Beliau tetap menghargai pengorbanan isterinya yang sabar dengan dugaan yang ditanggung terutama ketika menjadi tahanan ISA dan sewaktu diberhentikan kerja.

Penyayang

Walaupun Mahfuz terkenal dengan sikap tegas terutama ketika berdebat tetapi beliau seorang anak, suami dan ayah yang berjiwa penyayang. Sewaktu dalam tahanan, ketika isteri dan anak-anak datang melawat, Mahfuz menyuapkan aiskrim kepada anak-anaknya. Ini kerana beliau tidak mahu hubungan kasih sayang ayah dan anak-anak terpisah disebabkan beliau berada dalam tahanan.

Isteri beliau Roswati Jaafar tidak jemu-jemu melawat ketika berada dalam tahanan dengan membawa anak-anak. Ini kerana Roswati menge-tahui perasaan suaminya yang tidak boleh berpisah dengan isteri dan anak-anak.

Kasih sayang Mahfuz terhadap ibunya Hjh. Ton tidak pernah pudar walaupun sudah mempunyai isteri dan anak-anak.

Isteri beliau Roswati Jaafar berasal dari Alor Setar dan bertugas di Bernas, mempu-nyai 3 orang anak, Muhamad Mujahid 15, Siti Nur Syahidah 12 dan Siti Saerah 3 tahun.

Mahfuz dilahirkan di Kampung Alor Sejaya, Mukim Titi Gajah, Alor Setar. Ayahnya, Hj. Omar Hj. Sahid Imam Masjid Titi Gajah dan meninggal dunia ketika Mah-fuz berusia 15 tahun. Ibunya Hjh. Ton Ismail merupakan guru al-Qur'an tajwid.

Penglibatan Politik

Mahfuz terlibat dalam politik sejak di bangku seko-lah lagi iaitu ketika berada di tingkatan dua. Jiwa politik beliau ketika itu cuba mela-wan kerana tidak gembira apabila PAS berada dalam Barisan Nasional. Pada ketika itu beliau menyokong dan bertugas di dalam Parti Rak-yat Malaysia iaitu tahun 1974.

1979 mula aktif dalam PAS di Cawangan Bayan Lepas di Parlimen Balik Pulau. Menjadi Setiausaha Cawangan Bayan Lepas, Setiausaha cawangan PAS Balik Pulau, Ketua Pemuda PAS Kawasan Balik Pulau, Exco Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, me-mangku Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang dan akhirnya menjadi Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang ketika Moha-mad Sabu ditahan di bawah ISA.

1986 bertanding di pilihan raya calon PAS di DUN Penaga kawasan Parlimen Kepala Batas, Seberang Prai. 1990 lawan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan bertanding di Kedah, Pokok Sena sehingga di beri amanah untuk me-mimpin Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah tahun 1986.

Di dalam PAS beliau merupakan pengerusi Lajnah Hal Ehwal Pengguna PAS Pusat, pengerusi jawatan-kuasa selamatkan Wang Rakyat (Juwara), Ketua Sekretariat Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak), pengerusi (Jawatan-kuasa Bertindak Isu Peng-korporatan Institusi Pengajian Tinggi Awam.

 

Ke Laman Utama