HINDARKAN DIRI DARIPADA TERMAKAN FITNAH
HINDARKAN DIRI DARIPADA MEMBACA AKHBAR HARIAN UM, BH, STAR, SUN & NEW STRAITS TIMES,
HINDARKAN DIRI DARIPADA MENONTON BERITA RTM & TV3.
 
 

Kenyataan Media

Memperingati Setahun Anwar Ibrahim Dipecat

Oleh Hassan Karim
Naib Presiden PRM merangkap Ketua Penerangan

Hari ini 2 September genap setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia. Pada sebelah malamnya, beliau dipecat pula dari jawatan Timbalan Presiden UMNO. Nanti, pada 20 September ini, genap pula setahun perhimpunan gerakan reformasi terbesar yang pernah diadakan yang diteraju oleh Sdr Anwar Ibrahim, iaitu  di Dataran Merdeka. Pada malam hari itulah,  beliau ditahan dan kemudian diseksa oleh Ketua Polis Negara(KPN), Tan Sri Abd Rahim Noor di bilik lokap di Ibu Pejabat PDRM, di Bukit Aman.

Semuanya sekarang sudah menjadi sebahagian dari sejarah sedih Malaysia. Anwar Ibrahim, seorang pemimpin tertinggi negara dicederakan dan dianianya oleh instrume-instrumen negara yang pernah berada dibawah pimpinannya. Pada 29 September 1998 beliau kemudiannya diheret ke mahkamah buat pertama kalinya dengan mata kirinya yang lebam. Tapi keesokannya, Anwar masih dapat menjulang tinggi tangannya sebagai lambang terus berjuang. Gambar itu sekarang tersebar ke seluruh negara. Kemudian perbicaraan berjalan atas empat tuduhan salahguna kuasa dan rasuah. Rakyat dapat melihat sepanjang perbicaraan itu: Adil atau tidaknya perbicaraan itu dikendalikan? Penghujung perbicaraan sensasi sepanjang  75 hari itu, Anwar didapati bersalah oleh Hakim Datuk Augustine Paul dan dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun. Rakyat tidak dapat menerimanya. Pada hari hukaman dijatuhkan pada 14 April itu, sistem kehakiman Malaysia berdepan dengan kebangkitan rakyat yang marah.

Rakyat menolak hukuman yang dianggap tidak adil itu. Rakyat semakin yakin tentang dakwaan wujudnya konspirasi politik untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim.

Rakyat juga sebelum 14 April itu, dapat menyaksikan satu perbicaran Suruhanjaya Diraja Mengenai Serangan Ke Atas Anwar Ibrahim Semasa Di Dalam Tahanan Polis. Kesudahan dari perbicaraan itu didapati bahawa Rahim Noor, bekas KPN mengaku dia menyerang Anwar Ibrahim pada malam 20 September, iaitu setahun yang lalu. Yang rakyat marah sangat kerana Rahim menyerang Anwar ketika Anwar digari kedua tangannya dan matanya ditutup. Kemudian di dalam perbicaraan itu, pakar perubatan yang memeriksa Anwar yang cedera itu  berkata di mahkamah bahawa serangan sedemikian rupa boleh membawa maut. Lalu rakyat bertanya, kalau seorang bekas Timbalan Perdana Menteri boleh diperlakukan sedemikian zalim oleh KPN sendiri, betapa halnya rakyat biasa?

Sekarang Rahim Noor dihadapkan ke mahkamah kerana perbuatannya menyerang Anwar Ibrahim.  Apabila bacaaan tuduhan dikemukakan kepadanya, bekas Ketua Polis Negara yang masih bebas tanpa sebarang ikat jamin mengaku dia tidak bersalah menyerang Anwar.

Sebaliknya Anwar yang sekarang merengkok di dalam Penjara Sungai Buloh dihadapkan ke mahkamah sekali lagi dengan tuduhan salahlaku seks termasuk meliwat. Tuduhan ini sangat mengaibkan. Bukan saja memalukan Anwar Ibrahim dan keluarganya tetapi juga masyrakat Melayu dan orang-orang Islam. Ini adalah satu punca yang Mahathir tidak faham mengapa ramai orang bersimpati kepada Anwar tetapi marah kepada Mahathir.

Perbicaraan kes Anwar Ibrahim ini tertangguh sehingga 6 September ini. Rakyat dapat melihat setakat ini betapa haru- birunya pihak pendakwa dan saksi-saksi pendakwa cuba menegakkan fakta pertuduhannya ke Atas Anwar sehingga tarikh pertuduhan diubah-ubah sebanyak tiga kali.

Manakala dari dalam penjara Anwar Ibrahim meneruskan perjuangannya untuk menuntut keadilan dan mendedahkan kemungkaran pemerintah tertinggi negara yang terdiri dari Perdana Menteri dan Menteri-Menteri kanan. Empat laporan polis beserta dengan dokumen lampirannya sekali, satu demi satu telah diadukan secara rasmi oleh Anwar Ibrahim ke pihak polis supaya disiasat dan diambil tindakan ke atas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, Daim Zainuddin, Rahim Thamby Chik, Tan Sri Mohtar Abdullah, Peguam Negara dan Datuk Abd Gani Patail. Kesemuanya berkaitan perlakuan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, iaitu kes rasuah Rafidah Aziz, Daim Zainuddin, Rahim Thamby Chik dan Tan Sri Eric Chia,
pengerusi syarikat Perwaja.

Selama setahun ini, Sdr Anwar Ibrahim tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangannya, hatta dari dalam penjara. Isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kemudian muncul sebagai pemimpin untuk meneruskan perjuangan bagi menegakkan keadilan. Keadilan untuk seluruh rakyat Malaysia yang dizalimi.

Semangat perjuangan Anwar Ibrahim tetap teguh. Biarpun dia diseksa di dalam penjara dengan di tempatkan di dalam bilik yang kecil, sempit dan bersebelahan bilik mayat, dan bilik yang didiaminya itu pula sebenarnya adalah bekas bilik merawat  banduan yang luka dan mengidap Aids, tetapi Anwar tidak patah semangat. Biarpun dia dihalang untuk bebas bertemu anak dan isterinya tetapi dia tetap tabah. Pertemuan Anwar dengan keluarganya amat memilukan. Mereka terpaksa bercakap menggunakan interkom. Anwar dan keluarganya dipisahkan oleh dinding cermin. Pertemuan seperti itupun hanya dibenarkan sebulan sekali oleh Menteri Dalam Negeri yang ada sekarang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang
kononnya bercakap tentang pendekatan “mesra rakyat”.

Makanan harian untuk Anwar juga sangat buruk. Pagi diberi bubur nasi dengan ikan masin. Tengahari juga nasi dengan ikan masin. Malam juga begitu. Anwar tidak minta dia diberi layanan yang istimewa. Tetapi dia minta dia dilayan seperti tahanan yang lain-lainn juga. Kini Anwar diseksa dengan tahanan seorang diri (solitary confinement). Penyiksaan
ke atas Anwar tidak hanya setakat itu. Ada lagi. Untuk ke bilik tahanannya,  Anwar terpaksa melalui 15 pintu besi. Kenapa semua ini perlu dilakukan ke atas Anwar oleh pihak yang berkuasa?

Ada dua pertanyaan kepada Mahathir, Daim dan Abdullah Ahmad Badawi berhubung layanan buruk ke atas Anwar di penjara.
Soalan pertama:
Adakah mereka percaya dengan deraan demi deraan; seksaan demi seksaan ini maka mereka boleh mematahkan semangat Anwar Ibrahim?
Soalan kedua:
Adakah mereka ini sebenarnya berkonspirasi untuk membunuh Anwar Ibrahim secara fiziknya?

Mahathir boleh lega kerana Indeks Komposit di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) tidak jatuh menjunam. Dia dan Daim serta konco-konconya boleh berasa bangga kerana dana asing tidak berebut keluar meninggalkan Malaysia pada 1 hb September, semalam. Kabilah pimpinan Mahathir dan Daim boleh menarik nafas panjang kerana ekonomi mulai terlepas dari
kemelesetan kerana pertumbuhan suku tahun kedua tahun 1999 ini menunjukkan pertumbuhan 4.1%.

Tetapi isu Anwar Ibrahim bukan isu ekonomi. Isu Anwar Ibrahim adalah isu keadilan. Indeks Komposit boleh naik di BSKL pada hari ini, tetapi Indeks Mahathir di hati rakyat masih lagi merundum dan rendah.

Pilihanraya umum ke –10 yang akan datang ini adalah ujian terbesar bagi kepimpinan 18 tahun Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia. Bukan saja prestasinya di segi ekonomi akan di nilai, tetapi prestasi Mahathir di bidang politik, sosial, undang-undang, hak asasi manusia dan keadilan juga akan ditimbang oleh rakyat. Lambang neraca atau dacing yang
menjadi simbol Barisan Nasional selama ini akan menimbang baik buruk Mahathir sebagai Perdana Menteri dan pemimpin kerajaan selama hampir dua dekad ini.

Mahathir boleh melewat-lewatkan tarikh pilihanraya dengan harapan supaya rakyat akan lupa akan kekejamnya ke atas Anwar Ibrahim. Kemudian dalam masa yang sama Mahathir berharap pemulihan ekonomi negara akan menghasilkan keyakinan di hati rakyat akan kepimpinannya. Mahathir mungkin berjaya mungkin tidak di segi pemulihan ekonomi. Kalau pulih ekonomi negara, itu baik untuk rakyat semua. Tetapi isu ketidakadilan dan kezaliman yang Mahathir lakukan ke atas Anwar Ibrahim tidak mudah untuk rakyat melupakakan. Mahathir silap jika beranggapan bahawa minda dan fikiran rakyat Malaysia khususnya orang Melayu muda lupa. Kes yang satu ini yang digambarkan dengan mata lebam, fitnah, keaiban., keseksaan, penghinaan ke atas Anwar Ibrahim yang terpenjara pula dan tidak boleh melawan dan mempertahankan dirinya  itu tidak mudah untuk rakyat lupakan. Mahathir sedirilah kena menunggu apakah pembalasan rakyat ke atasnya apabila Parlimen dibubarkan dan pilihanraya diadakan.