Perhimpunan Agung Umno: Ada angguk
 serasa tidak

Oleh:
TUAN HAJI SUBKY ABDUL LATIF

PERHIMPUNAN Agung Umno mulai 18 Jun, 1999 adalah yang pertama tanpa Timbalan  Presidennya yang dipilih oleh perwakilan dan bila pula beroleh Timbalan Presiden pilihan  perwakilan kerana pemilihan tidak ada kali ini. 

Ketiadaan Tun Ghafar Baba dalam barisan pimpinan tidak memberi apa-apa kepada Umno kerana ketiadaannya itu lebih kurang saja dengan ketiadaan Sabbaruddin Chik dari kerusi Setiausaha Agungnya. 

Ketiadaan Timbalan Presiden Umno yang terpilih itu tetap terasa pada Umno tetapi baki-baki Umno yang menyertai perhimpunan itu tetap terhibur atau antaranya cuba berhibur. 

Apa jua yang dicapai, perhimpunan ini adalah untuk mengesahkan tindakan yang Dr. Mahathir  ambil terhadap timbalannya dulu baik untuk menyingkirnya dari Umno mahupun melemparkannya ke kandang penjara Sungai Buluh dengan segala tuduhan yang dikenakan. 

Hatta Siti Zaharah Sulaiman, Ketua Wanita yang menangis malam-malam menjelang penyingkiran Timbalan Presiden dulu yang tentunya sudah kering air mata, tetapi tidak mustahil menjadi suara lantang betapa jastifikasinya segala tindakan yang menghempap ketua duanya dulu. 

Seluruhnya akan melihat Muhyiddin Yassin, Dr. Afifuddin Omar, Ibrahim Saad dan lain-lain akan mengangkat tangan bersetuju menyumbat bekas Timbalan Perdana Menteri ke lubang penjara. 

Bukan suatu yang pelik jika Datuo' Abdullah Badawi, Hamid Othman, Dr. Yusuf Noor, Wan Mokhtar Ahmad mengangkat tangan bersetuju dengan dakwaan liwat yang tidak mereka lihat, kerana kata-kata Dr. Mahathir bagi mereka tiada yang tidak benar melainkan benar belaka. 

Pemuda Umno akan mempamerkan suasana yang sama sekali berbeza dengan tahun lalu. Jika yang dulu menggelegak membidas amalan kroni dan nepotisma pemimpin Umno, tetapi pimpinan anak Tun Hussein Onn dalam Pemuda itu membasuh segala yang mereka lempar setahun lalu. 

Ertinya sidang Pemuda Umno kali ini menjilat segala yang dimuntah dulu, jika ditanya apakah benar TPM dulu meliwat, nescaya beramai-marai berkata, 'Setujuuuuu... ' 

Presiden Umno sudah tentu memberi segala dalil kepada Pemuda tentang tohmah kotor terhadap  timbalannya dulu. Dengan segala dalil itu Pemuda Umno boleh diminta menyatakan pandangan. Sudah tentu sesiapa saja yang menyatakan pandangan bersetuju dengan semua dalil yang mereka dengar. 

Dan kalau diminta siapa yang tidak percaya dengan dalil itu sila angkat tangan. Nescaya tiada siapa akan mengangkat tangan sekalipun Dr. Mahathir tidak di- hadapan mereka. 

Kalau Perhimpunan Agung itu bertanya kepada sekalian ahli perhimpunan, siapa yang tidak setuju sila angkat tangan, nescaya tidak ada seorang pun angkat tangan. 

Katakanlah di situ ada adik beradik bekas TPM menjadi perwakilan, dan dia tahu apa yang sebenar, nescaya dunia akan melihat dia juga angkat tangan. 

Senario politboro Parti Komunis Soviet Union di bawah pimpinan Setiausaha Agungnya Nikita Kruschev sekitar tahun 1955 dulu boleh menjadi perbandingan. Kruschev melancar pembersihan terhadap ajaran Stalin, diktator yang sangat ditakuti komunis dan bukan komunis selepas Lenin hingga lepas perang dunia kedua. 

Kruschev menyelar stalinis seperti Bulganin, Malingkov, Molotov dan lain-lain di kahalayak umum sedang kesemua stalinis itu hadir. Sekalian yang hadir melihat pembesar-pembesar stalinis itu sama-sama bertepuk tangan tanda setuju dengan Kruschev. 

Jika Kruschev misalnya kata, Perdana Menteri Bulganin jahat, Bulganin akan bertepuk tangan bersama orang lain menyetujui kecamanan Kruschev itu. 

Malah bekas Presiden yang dicap stalinin yang mesti hadir dalam semua majlis apabila dikecam oleh Kruschev, nescaya hamba Allah itu bertepuk tangan atau kalau Krucshev mengilai maka dia pun mengilai juga. 

Pernah dalam perhimpunan agung Umno ucapan dasar menyelar betapa adanya Brutus dan Kasus dalam Umno yang hendak membunuh Ceaser, ia diluluskan sekalipun orang yang dipercayai Brutus dan Kasus itu ada sama dalam pimpinan Umno ketika itu. 

Setiap orang yang bercakap sudah tentu mengesahkan dan memuji apa yang dirasakan kebijaksanaan Dr. Mahathir. Empat hari empat malam perhimpunan itu bergema dengan puja dan puji terhadap pimpinan Dr. Mahathir dan cerca dan keji terhadap sesiapa saja yang mengkritik Dr. Mahathir dari Al Gore sampailah kepada budak tadika yang berteriak 'reformasi.' 

Perjumpaan empat hari empat malam itu adalah satu bentok motivasi yang membasuh otak ahli-ahli  Umno dan rakyat yang menonton TV tentang kehebatan Dr. Mahathir yang dijadikan dewa oleh  perwakilan. 

Jika kisah kayangan dalam lagenda itu betul ada, maka perhimpunan empat hari empat malam itu adalah satu pesta kayangan. Sekalian biduandi dan dayang dan inang mengaku kesaktian raja kayangan dan jika raja itu ada puteri, nescaya puteri itu digambar seindah gambaran anak patung yang begitu indah. 

Yang dikira berjaya perhimpunan itu ialah keupayaannya mengalihkan pandangan perwakilan dari membincang hal dalaman Umno kepada usaha parti alternatif yang sangat cerah harapan menumbangkan kerajaan pimpinan Umno. 

Semua perwakilan Umno dari Pengerusi Tetap Tan Sri Sulaiman Ninam Shah sampailah kepada bentara akan terhibur dengan karya kafir mengkafir yang didedahkan oleh Shafie Daud. Hatta yang lulus Azhar seperti Yusuf Noor, Wan Mokhtar dan lain-lain lebih senang dengan cerita Shefie Daud dari orang-orang alim Azhar yang lain. 

Jika Shafie Daud mencerca orang alim yang disebut fanatik dan jahat, nescaya orang balik dari Azhar itu bertepuk tangan. 

Seperti cerita seorang yang dikatakan ahli PAS Pasir Mas tentang kononnya putar belit pimpinan PAS berhubung dengan isu kafir mengkafir. Logiknya orang PAS itu jika dia betul orang Pas adalah lebih percaya kepada Ibrahim Ali dari Tok Guru Nik Aziz. 

Umno boleh gembira dengan cerita adanya orang PAS lebih mencintai Ibrahim Ali dari pimpinan ulama dalam partinya sendiri. Maka terhibur orang ramai dengan hal-hal seperti itu. 

Dengan hiburan seperti inilah perwakilan itu akan keluar menghadapi pilihan raya yang mungkin diadakan dalam minggu-minggu berikutnya. 

Umno mungkin menghadapi masalah untuk mendapatkan sokongan ahli-ahli Umno yang terlalu ramai meninggalkan parti itu dalam masa hampir setahun ini. 

Kisah liwat dan segala penghinaan terhadap bekas TPM belum tentu boleh menambat hati rakyat dan pegawai-pegawai yang menuntut perubahan. Justeru itu keset lama tentang Umno kata PAS kata Umno kafir yang ada jasa dulu-dulu boleh diputar semula. 

Dulu ia modal yang laris dan apakah ia masih laris lagi? 

Perhimpunan ini berlangsung ketika Golkar berada dalam suasana yang sangat rawan. Menjelang pilihan raya Mac 1998 Golkar dan Suharto diingatkan dengan berbagai-bagai kecaman, tetapi Suharto dan Golkar memaksa rakyat Indonesia mengesahkan juga Suharto dan Golkar sebagai dewa. 

Suharto menang dan Golkar kembali berkuasa. Rakyat yang kecewa membenarkan Suharto berkuasa hingga Mei saja. 

Umno yang bersidang itu sedar akan senario di rumah tangga Golkar itu. Ia buat-buat tidak dengar.  Orang Umno tidak mahu dengar cerita anak Suharto disoal siasat tentang harta yang terlalu  banyak. Umno tidak mahu tahu tentang Suharto yang bertukar menjadi Suharta yang dilempar dengan berbagai-bagai dakwaan. 

Pehimpunan itu akan berusaha supaya masalah Golkar itu adalah nasib Golkar saja, maka ia tak semestinya menjadi masalah Umno Mahathir tentunya tidak mahu disamakan dengan Suharto.