Megawati diperalat?

Sebagai jawapan kepada rencana jahat Utusan Malaysia
 

Kerajaan BN melalui media massa mereka tidak henti-henti memomokkan rakyat dengan isu 'campurtangan asing' yang didakwa bekerja keras untuk menjajah semula negara ini. Mereka akan memutarbelitkan semua perkembangan politik
semasa termasuklah yang berlaku di negara jiran untuk 'membuktikan' bahawa agenda campurtangan asing rekaan mereka itu wujud.

Sebenarnya ada sesuatu yang tersirat yang ingin disampaikan melalui rencana akhbar ini iaitu kebimbangan kerajaan BN terhadap kemungkinan ia menghadapi kekalahan dalam pilihanraya akan datang. Kemungkinan ini diperkukohkan lagi dengan keputusan awal pilihanraya Indonesia yang sedang berlangsung kini. Rakyat Indonesia yang inginkan perubahan telah menolak Golkar yang telah menguasai politik Indonesia selama lebih 32 tahun. Mereka telah menggunakan hak mereka sebagai rakyat untuk menolak parti pemerentah yang telah banyak menyalahgunakan kuasa serta mengamalkan kronisme, kolusi dan  nepotisme. Ini adalah pilihan rakyat indonesia dan keputusan mereka wajar dihormati. Tidak ada satu pehakpun yang wajar mempersoalkan pilihan mereka termasuklah kerajaan BN yang kononnya 'sentiasa menghormati rakan-rakan ASEAN' dan
menentang sebarang bentuk campurtangan dalam hal-hal dalam negeri masing-masing.

Sesungguhnya rakyat Indonesia wajar mengemukakan bantahan kepada rencana akhbar ini yang jelas mencampuri urusan dalaman Indonesia. Rencana itu juga turut memperbodoh-bodohkan pemimpin dan rakyat Indonesia apabila ia mendakwa hanya Dr Mahathir sahajalah yang berpandangan jauh dan mampu melihat apa yang dikatakan sebagai 'muslihat' orang asing itu. Rencana tersebut beranggapan bahawa seluruh rakyat Indonesia tidak mampu berfikir dan menentukan masa depan mereka sendiri. Walaubagaimanapun kita berharap agar rakyat Indonesia tidak terlalu mengambil serius tentang perkara ini kerana ianya hanyalah satu reaksi cemas rejim pemerentah di Malaysia yang bakal kehilangan kuasa seperti yang dialami oleh golkar.

Bagi rakyat Malaysia, perkembangan politik yang sehat di Indonesia membuktikan bahawa fajar baru akan turut menyinsing dan menerangi bumi Malaysia dari kegelapan dan kezaliman kerajaan BN. Mereka kini begitu cemas untuk berhadapan dengan saat di mana kekuasaan akan beralih kepada kerajaan alternatif pilihan rakyat yang akan mengembalikan prinsip-prinsip keadilan
dan kebenaran. Dalam keadaan cemas itulah mereka melatah dan menggunakan isu keagamaan dan perkauman untuk menarik simpati dan sokongan rakyat. UMNO yang selama ini tidak mengendahkan langsung tentang gejala murtad dan ancaman terhadap akidah orang-orang melayu Islam tiba-tiba mendedahkan tentang apa yang dikatakan sebagai taktik orang Kristian untuk memperdaya orang Islam di Indonesia. Kesemua ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan BN yang dipelopori oleh UMNO sanggup berpura-pura mempertahankan Islam untuk mengekalkan kekuasaannya.

Kita ingin mengakhiri ulasan ini dengan memetik kata-kata akhir dari rencana tersebut iaitu "Bagi rakyat Malaysia, buatlah pilihan yang tepat. Jangan nanti berputih mata. Menyesal kemudian tidak berguna."

Pilihan yang tepat sudah nyata iaitu menolak kerajaan BN....