BERITA MALAYSIA


June 07 , 1999 19:57PM

 

USUL UNTUK BATALKAN KES LIWAT ANWAR

 

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Peguambela kepada bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan adik angkatnya Sukma Darmawan Saasmitaat Madja akan mengemukakan notis usul yang berasingan untuk membatalkan kes liwat yang dihadapi kedua-dua mereka.

Peguam Karpal Singh yang mewakili Sukma berkata kes itu harus dibatalkan kerana tuduhan-tuduhan ke atas kedua-dua mereka yang sekali lagi dipinda hari ini bersifat "mala fide".

Beliau berkata ini kerana tuduhan itu dipinda semula selepas pendakwa selepas menerima notis alibi pembela, menyedari bahawa Tivoli Villa -- tempat kesalahan-kesalahan itu dikatakan dilakukan -- tidak wujud ketika itu.

Karpal mendakwa bahawa pendakwa "mempunyai niat tidak baik" apabila merangka tuduhan-tuduhan itu kerana telah dua kali memindanya sebelum perbicaraan bermula.

Apabila perbicaraan hari ini bermula, Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah memohon untuk meminda, bagi kali kedua, tuduhan terhadap Anwar dan adik angkatnya itu berhubung dengan tarikh kesalahan-kesalahan itu dikatakan dilakukan.

Raja Aziz Addruse, yang mengetuai panel sembilan peguambela yang membela Anwar membantah pindaan itu atas alasan bahawa pindaan serupa itu yang berulang oleh pendakwa adalah menyalahi peraturan mahkamah dan tidak adil kepada Anwar dan Sukma.

Tuduhan-tuduhan yang dipinda menyebut bahawa Anwar dan Sukma dikatakan melakukan liwat bersama Azizan Abu Bakar di Tivoli Villa, Jalan Medan Tanduk di Bangsar di sini pada suatu malam pukul 7.45 malam antara Januari dan Mac sedangkan tuduhan sebelumnya menyebut bahawa kesalahan-kesalahan itu dilakukan pada 1992.

Sukma, pemilik kedai butik, menghadapi satu lagi tuduhan bersubahat dengan Anwar melakukan liwat ke atas Azizan di tempat dan masa yang sama. Azizan ialah bekas pemandu kepada Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, isteri Anwar.

Terdahulu, Karpal memohon supaya perbicaraan ditangguhkan sehingga esok untuk membolehkan pembela mengemukakan notis usul untuk membatalkan kes terhadap Anwar, 51, dan Sukma, 38.

Mohtar membantah permohonan itu dan menafikan dakwaan pembela bahawa berlakunya penyalahgunaan proses mahkamah sambil berkata penyalahgunaan hanya berlaku jika pindaan dibuat selepas perbicaran dan saksi-saksi telah memberi keterangan.

"Sebenarnya, pendakwa berlaku amat tidak adil dengan meminda tuduhan sebelum perbicaraan bermula. Jika kami membuat pindaan selepas perbicaraan bermula kerana rujukan kes membenarkan kami berbuat demikian tetapi kami tidak berbuat demikian. Tetapi kami pula dituduh menyalahgunakan kuasa," kata beliau.

Beliau berkata "notis alibi" ialah untuk membenarkan pendakwa menjalankan siasatan terhadap kandungan alibi.

"Jika siasatan menunjukkan tiada kes, maka pendakwa boleh menarik balik tuduhan tetapi jika ia membuktikan sebaliknya, kes itu harus diteruskan," kata Mohtar.

Bagaimanapun, dalam kes ini, alibi menyebut bahawa Anwar tidak berada di sini pada hari-hari tertentu pada Mei tetapi tidak menyatakan secara khusus pada hari bila.

Mohtar berkata dalam kebanyakan kes, tuduhan dirangka tanpa tarikh-tarikh khusus kerana "tidak semua saksi boleh mengingatkan tarikh" dan ini ketara jika mereka membuat catatan dalam diari.

Pada suatu ketika, berlaku perdebatan hangat antara Mohtar dan Karpal selepas Peguam Negara menyifatkan alibi pembela sebagai "palsu".

Karpal berkata beliau terkejut mendengar perkataan itu diucapkan oleh "seorang yang menyandang jawatan tertinggi dalam perkhidmatan perundangan di negara ini".

Apabila hakim mencelah dengan menyatakan bahawa Peguam Negara mempunyai hak untuk berbuat apa sahaja, Karpal menyatakan bahawa walaupun itu benar, beliau hendaklah melakukan apa-apa perkata "dengan hati nurani yang jujur".

Karpal berkata pindaan semula itu juga menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dan ia dilakukan dengan niat jahat kerana pembela tidak dimaklumkan mengenai pinaaan itu apabila kes disebut pada Mei.

Hakim: "Sebelum saya membuat keputusan mengenai mala fide, Saya perlu meneliti fakta-fakta dahulu."

Karpal: "Sebab itulah, pembela mahu mengemukakan notis usul yang disokong oleh afidavit."

Hakim kemudian membenarkan perbicaraan ditangguh sehingga esok dan meminta Karpal dan Raja Aziz mengemukakan notis usul pukul 9 pagi dan menyerahkannya kepada Mohtar.

"Saya akan bersidang pada pukul 10 pagi. Peguam Negara mungkin mahu mengemukakan notis balas. Biarlah beliau berbuat demikian dalam tempoh sejam," kata hakim.

Beliau berkata jika Mohtar tidak mahu berbuat demikian, pembela boleh mengemukakan hujah terhadap permohonan. -- BERNAMA

 


Copyright ©1998 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.