BERITA MALAYSIA
September 01 , 1999 18:19PM
SUMPAH KU LI TIDAK JEJASKAN SOKONGAN TERHADAP PAS, KATA NIK AZIZ
 
 

KOTA BAHARU, 1 Sept (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata langkah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah bersumpah mengenai dakwaan pembohongan PAS semalam tidak akan menjejaskan sokongan rakyat kepada PAS.

Katanya ini bukan kali pertama TengKu Razaleigh bertindak melafazkan sumpah malahan semasa bersama dengan PAS, bekas Presiden Parti Melayu Semangat 46 (S46) itu juga pernah berbuat demikian.

"Bersumpah itu perkara biasa bagi dia. Dulu pun dia dah bersumpah dah, dalam Balai Islam dia bersumpah. Hari ini bersumpah pulak, barangkali esok lusa dia bersumpah lagi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Menurutnya langkah bersumpah Tengku Razaleigh itu tidak akan memperkuatkan sokongan rakyat terhadap Umno, sebaliknya orang ramai akan bersimpati dengan PAS.

Beliau berkata demikian bagi mengulas langkah Tengku Razaleigh yang melakukan sumpah itu pada perhimpunan rakyat yang dihadiri kira-kira 40,000 orang di perkarangan Bangunan Umno negeri di sini.

Nik Aziz berkata perhimpunan itu tidak mempunyai sebarang kejutan, sebagai merujuk kepada kenyataan Umno Kelantan dan Tengku Razaleigh sebelum ini bahawa akan ada kenyataan mengejutkan yang perlu didengar rakyat Kelantan pada perhimpunan itu.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Fadzil Noor ketika berceramah di Kampung Limau Purut di Rantau Panjang malam tadi menyelar Tengku Razaleigh kerana tindakan bersumpah itu.

Katanya Tengku Razaleigh pernah bersumpah tidak akan kembali kepada Umno tetapi kini beliau menyertai Umno semula.

"Masa itu dia bersumnpah tak akan balik lagi kepada Umno, dah cerai talak tiga dengan Umno, talak tujuhlah, macam-macam lagi, tetapi dia balik semula kepada Umno," katanya.

Fadzil juga mendakwa Umno mempergunakan dan mengupah pelajar untuk meramaikan majlis perhimpunan anjurannya itu.

-- BERNAMA


Copyright ©1999 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.