BERITA MALAYSIA
July 05 , 1999 22:25PM
KECEDERAAN ANWAR DIBANGKIT UNTUK TUNJUK KREDIBILITI SAKSI
 
KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi mengenai perbualannya dengan seorang pegawai polis yang menceritakan tentang beberapa individu tertentu telah menyuruh pegawai polis itu bertanggungjawab terhadap kecederaan yang dialami Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis.

Saksi itu, peguam Mohamed Rafie Mohamed Shafie berkata ASP Zulkifli Mohamed telah memberitahunya perkara itu semasa mereka terserempak pada 14 Nov tahun lepas di Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Bangsar di sini.

"Yang Arif, pada masa itu kami berbincang secara kasual dan Zulkifli memberitahu saya, beliau disuruh bertanggungjawab atas kecederaan yang dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau mengatakan beliau enggan mengambil tanggungjawab itu," katanya.

Pada peringkat ini, Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail membantah keterangan peguam itu atas alasan ianya tidak ada kena mengena dengan perbicaraan dalam perbicaraan bagi menentukan kesahihan pengakuan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja kepada Hakim Mahkamah Sesyen Abdul Karim Abdul Jalil bahawa dia diliwat Anwar.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Arifin Jaka membenarkan keterangan itu setelah peguam Anwar, Christopher Fernando menerangkan bahawa ianya bertujuan untuk menunjukkan kredibiliti pegawai polis itu sebagai saksi pendakwa.

Sukma, 38, dan Anwar, 51, menghadapi tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar, bekas pemandu peribadi isteri Anwar di apartmen Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini pada 7.45 malam, antara bulan Januari dan Mac, 1993. Mereka didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sukma juga menghadapi tuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu terhadap Azizan di tempat dan pada masa yang sama.

Mohamed Rafie meneruskan keterangannya dengan berkata Zulkifli juga memberitahunya bahawa "jika ada perkembangan lanjut, saya akan datang berjumpa kamu," sebelum bertukar kad hubungan dengan peguam itu.

Beliau berkata mereka kenal baik memandangkan anak masing-masing belajar di sekolah dan kelas yang sama dan juga sering terserempak di tempat-tempat lain.

"Dia (Zulkifli) pernah menghantar dan mengambil anaknya di rumah saya untuk projek sekolah," katanya. 

Pada peringkat ini, Abdul Gani meminta mahkamah menangguhkan pemeriksaan balas sehingga esok bagi membolehkannya menemubual Zulkifli berhubung perkara itu.

Beliau berkata penangguhan itu perlu kerana keterangan Mohamed Rafie mengandungi satu dakwaan baru dan pendakwaan memerlukan masa untuk mengesahkan perkara itu dengan pegawai polis terbabit.

Katanya jika perkara itu benar-benar berlaku, beliau akan menasihatkan Zulkifli membuat laporan polis dan satu siasatan berhubung perkara itu perlu dijalankan.

Bagaimanapun, Arifin menolak permohonan itu kerana berpendapat laporan polis dan siasatan boleh dijalankan selepas pendakwaan membuat pemeriksaan balas terhadap Mohamed Rafie.

Perbicaraan kemudiannya diteruskan dengan pemeriksaan balas dan Mohamed Rafie mengakui bahawa beliau tidak tahu alamat rumah Zulkifli tapi tahu bahawa pegawai polis itu tinggal di kawasan perumahan Pantai Hill Park.

Mohamed Rafie juga berkata beliau tidak tahu nama penuh isteri Zulkifli, nombor telefon rumah atau pejabatnya, dan mengakui beliau tidak pernah pergi ke rumah atau ke pejabat pegawai polis itu.

Beliau berkata kebanyakan pertemuan mereka adalah secara kebetulan. Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan cadangan Abdul Gani bahawa Zulkifli tidak pernah memberitahunya yang beliau (Zulkifli) telah dipaksa mengaku memukul Anwar dan mengambil tanggungjawab untuk kecederaan yang dialami oleh bekas timbalan perdana menteri itu.

Selepas sesi pemeriksaan balas selesai, seorang lagi peguam Anwar, Karpal Singh meminta mahkamah mengeluarkan arahan supaya dakwaan itu disiasat kerana ini menunjukkan bahawa terdapat percubaan untuk "melepaskan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor daripada tuduhan dengan mencadangkan Zulkifli mengambil tanggungjawab itu."

"Jika ini benar, ia bermakna pentadbiran keadilan di negara ini akan dipersoalkan. Mahkamah boleh mengarahkan satu penyiasatan dibuat terhadap dakwaan Mohamed Rafie itu," katanya.

Karpal berkata bukti yang diperolehi boleh digunakan pada perbicaraan Abdul Rahim yang akan bermula pada 20 Sept ini. Abdul Gani berkata isu itu sepatutnya tidak dibangkitkan dalam perbicaraan ini kerana Karpal boleh membangkitkan isu berkenaan pada perbicaraan Abdul Rahim dan sesiapa yang ingin membuat laporan polis berhubung perkara itu, boleh berbuat demikian.

Karpal membalas dengan berkata beliau tidak boleh membangkitkan perkara itu pada perbicaraan Abdul Rahim kerana beliau hanya bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak Anwar dalam kes itu.

Bagaimanapun, Arifin tidak membuat sebarang arahan berhubung permintaan Karpal Singh itu kerana berpendapat mahkamah tidak sepatutnya berbuat demikian. 

Beliau berkata isu yang seharusnya diputuskan ialah siapa yang bercakap benar, Mohamed Rafie atau Zulkifli. Katanya lagi, isu itu sepatutnya dibangkitkan pada perbicaraan Abdul Rahim kelak. Perbicaraan disambung esok. -- BERNAMA 


Copyright ©1999 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.