BERSATU BERSAMA PARTI ALTERNATIF

Perhimpunan Agung UMNO yang baru bermula jelas merupakan bukti yang nyata bagi kita betapa UMNO hari ini terlalu gentar dan kecut dengan perkembangan politik mutakhir. Seruan agar 'merapatkan barisan', 'bersatu' dan sebagainya menjadi slogan yang dilaungkan hanya semata-mata untuk mengembalikan keyakinan dan memberikan motivasi pemuda dan wanita UMNO yang sudah mula lesu, layu dan hambar.

Namun ianya tidak ke mana kerana 'BERSATU' yang dilaungkan dalam UMNO tidak bermakna lagi kerana UMNO sudah menjadi parti yang terlalu kotor, korup, jijik, jahat dan tidak relevan sama sekali  untuk pilihanraya yang akan datang. 

Semua orang bercakap pasal 'Bersatu' kerana semua orang mahu bersatu. Tiada manusia yang mahukan perpecahan kerana semua percaya bahawa dengan bersatu mereka akan  menjadi semakin kuat. Perompak yang ingin merompak sesebuah bank, tidak akan merompak sendirian tetapi sebaliknya mereka 'bersatu' tenaga dengan seorang menjadi pemandu, seorang mengacukan senjata, seorang lagi mengumpulkan wang dan seterusnya. Tiada perompak yang merompak sendirian walau sebijak mana sekalipun 

Begitu juga dengan 'perompak harta negara' seperti pemimpin-pemimpin UMNO hari ini. Untuk terus kekal merompak dan memperbodohkan rakyat, mereka perlu 'bersatu' kerana jika mereka tidak bersatu, mereka sama-sama akan gugur jatuh seperti mana yang digambarkan oleh SN Prof. Dato' Shahnon dalam buku "SHITnya". 

Di peringkat rakyat pula, mereka diseru 'bersatu' kerana kononnya jika rakyat  tidak bersatu mereka akan dijajah semula oleh kuasa asing seperti mana yang dialami selama lebih 400 tahun dahulu. Rakyat mana yang mahukan penjajahan semula mengingati kezaliman tentera Jepun, tentu amat menggerunkan. Tetapi soalannya siapa yang mahu menjajah Malaysia? Kenapa pula jika UMNO / BN tumbang, Malaysia akan dijajah? Bukankah itu  karut belaka kerana Barisan Alternatif yang akan naik kelak, Insya Allah, lebih tegas sikap mereka menjaga amanah rakyat? 

Apa yang diperlakukan oleh pemimpin UMNO hari ini hanyalah seperti seorang tua yang menakut-nakutkan anak-anak kecil akan kehadiran makhluk yang menakutkan, atau dalam istilah Inggerisnya  'bogeyman politics'. Stail politik seumpama ini mungkin termakan untuk makcik-makcik atau pakcik-pakcik tua di kampung-kampung pendalaman, tetapi tidak untuk anak-anak muda yang terdedah dengan segala maklumat dan pendedahan tentang penyelewengan pemimpin UMNO. Anak-anak muda inilah pula kita harapkan akan membetulkan kembali pemikiran ibu-ibu dan bapa-bapa di kampung yang telah ditakutkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang bangkrap politik ini. 

Hentikanlah stail politik bodoh ini kerana  ianya tidak akan kemana. Tidak guna lagi 'bersatu' bersama UMNO kerana parti UMNO hari ini hanyalah sebuah parti yang mempunyai ramai jeneral tanpa askar. Keahlian seramai  2,777,086 seperti yang diumumkan oleh Tan Sri Khalil Yaakob hanyalah suatu fantasi semata-mata tanpa mengambilkira ratusan ribu mereka yang telah keluar dari UMNO dan menyertai PAS dan keADILan secara diam-diam. Yang tinggal dalam UMNO hari ini hanya beberapa kerat sahaja. UMNO bunyinya sahaja masih gah tetapi ianya sudah kosong. 

Hakikatnya UMNO sudah tidak relevan lagi untuk bangsa Melayu. Bangsa Melayu tidak perlu 'bersatu' dan bersubahat bersama parti yang mengkhianati amanah rakyat, merompak harta negara, membolot kekayaan negara untuk diagihkan sesama mereka, memfitnah sesama Islam, menghina Islam dan hukum Islam, menghina Nabi, menyukarkan rakyat miskin mendapatkan pendidikan tinggi dan seribu satu kejahatan UMNO. 

Oleh itu hendaklah kita berhati-hati dengan siapa kita bersatu, dengan 'perompak harta rakyat' atau pun dengan mereka yang ikhlas ingin menjaga amanah rakyat?. Marilah sama-sama kita mengubah perpaduan dan persatuan kita untuk sama-sama kita bersatu sesungguhnya dengan parti alternatif rakyat demi menegakkan sebuah kerajaan yang adil  untuk semua.
 

AWANG BONGSU