DAIM LULUS SEMULA LESEN JUDI

 


Anwar

 


Daim Zainuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Tun Daim telah meluluskan semula lesen perjudian di Sabah yang telah dibatalkan oleh bekas Menteri Kewangan sebelumnya Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 1996, menurut akhbar The Star baru-baru ini.

Menurut akhbar tersebut, parti Barisan Nasional telah menjanjikan rakyat Sabah untuk mengurangkan aktiviti perjudian di sana sewaktu pilihan raya pada 1994.

Sejurus BN mengambil tampuk pemerintahan kerajaan negeri dari parti Dato' Joseph Pairin Kitingan, Parti Bersatu Sabah (PBS), jumlah premis perjudian telah dikurangkan kepada separuh.

Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Sabah telah mengehadkan 356 premis judi kepada setengah mulai Jan 1, 1995, dan setahun kemudian ia telah dikurangkan kepada 83 setelah sebuah syarikat judi Diriwan Corp Sdn. Bhd.yang telah beroperasi di sana sejak 1988 keluar dari negeri Sabah.

Sesudah itu, kata akhbar tersebut,sebuah syarikat judi di Sabah, Lotteries Corp mengalami perbalahan undang-undang dengan pihak-pihak tertentu pada Februari 1995 yang membawa kepada kes mahkamah.

Permohonan semula lesen perjudian oleh syarikat Diriwan Corp Sdn.Bhd. telah diluluskan pada 1996, tetapi berikutan kes mahkamah syarikat Lotteries Corp beberapa bulan kemudian lesen perjudian syarikat Diriwan Corp telah dibatalkan oleh Kementerian Kewangan Kerajaan Pusat di bawah Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika itu, setelah mengambil kuasa meluluskan dari kerajaan negeri.

Kerajaan negeri telah memerintahkan semua pihak berkuasa tempatan untuk tidak memperbaharui lesen perniagaan premis Lotteries Corp pada Jan 1, 1996.

Kini syarikat judi Diriwan telah kembali ke Sabah setelah diluluskan lesen judinya oleh Tun Daim.

 

Ke Laman Utama