ZAM DAN UTUSAN MELAYU YANG MELOYAKAN

Malam tadi (8/7) Zainuddin Maidin @ Zam diwawancara secara solo oleh RTM dalam rancangan propaganda Gemilang  Malaysia. Sebagai satu-satunya ahli panel dalam rancangan tak bermutu itu, Zam menggunakan segenap ruang masa yang ada untuk memperleceh parti pembangkang, gerakan reformasi dan SN Shahnon Ahmad. Memanglah hujah-hujah Zam itu tak perlu dilayan kerana tiada langsung nilai akademik. Tapi memandangkan beliau adalah  salah seorang penyokong no. wahid Dr Mahathir dan BN, hujah-hujahnya itu mencerminkan pendirian kerajaan sekarang terhadap kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara. Apa yang lebih memeranjatkan, Zam cuba untuk memisahkan nilai  akhlak seorang rakyat dengan nilai akhlak ahli politik. Bagi Zam, ahli politik boleh berbuat apa sahaja walaupun ia bercanggah dengan akhlak dan moral. Tidak peliklah kalau Zam masih terus menyanjung Dr Mahathir walaupun diktator tua itu sudah tiba ke kemuncak kegilaannya. 

Ketika membincangkan isu permohonan maaf Shahnon kepada PM, Zam membuat kesimpulannya sendiri. Beliau dengan  penuh yakin mempertahankan laporan pemberita jalanannya yang Shahnon telah meminta maaf kepada PM."Tapi setelah  Shahnon sedar bahawa dia seorang ahli politik, dan tok gurunya membenarkan beliau mencarut, maka Shahnon cepat-cepat  menafikan yang beliau memohon maaf," kata Zam. 
Itulah mentaliti manusia pengampu seperti Zam. Bagi mereka, politik membenarkan apa juga cara untuk mendapatkan  pengaruh. Apa yang lebih buruk, Zam cuba untuk menyamakan mentaliti Mahathir yang rendah akhlak dan suka berbohong dengan Dato' Shahnon yang luhur pekertinya. Pastinya penafian Dato' Shahnon itu datang dari pendirian asalnya. Mengapa  perlu memohon maaf pada Dr Mahathir sedangkan novel Shit itu adalah replika intipati pemerintahan BN masa kini. 

Zam juga membuat kesimpulan sendiri bahawa novel Shit mencatatkan jumlah pembaca paling kecil walaupun jualannya paling  tinggi. Tak semua yang membeli membaca Shit, katanya. Apa yang ganjil, kesimpulan itu dibuat berdasarkan tinjauannya  kepada tiga empat orang rakan beliau yang kononnya membeli Shit tapi hanya setakat membaca empat lima helaian buku itu! 

Pastinya ia bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana rakan-rakan Zam itu bukan sahaja malas membaca malah  penyokong Umno/BN totok!  Zam juga dengan ego mendakwa kononnya pemberita akhbar arus perdana tidak pernah melaporkan berita bohong berbanding akhbar nyamuk. "Kita hanya melaporkan perkara yang benar-benar berlaku," kelentong mamak dari Kedah itu.  Tapi keesokan harinya (9/7) Jais mendedahkan bahawa laporan Utusan Malaysia kononnya 6 pelajar sekolah ditangkap dalam  satu pesta seks adalah bohong. Satu tamparan hebat untuk penasihat Utusan Meloya itu! 

Zam mungkin terlalu sibuk untuk membuntuti Dr Mahathir ke mana sahaja diktator itu pergi sehingga tiada masa untuk  membaca pembohongan akhbar yang 'dinasihatinya'. Kita mesti masih ingat ketika Zam menerajui Utusan pada 1990, akhbarnya dan lain-lain media arus perdana melaporkan berita sensasi berunsur fitnah -- Presiden S46, Tengku Razaleigh  menggadai agama kerana tergamak memakai sigah berlambang salib dalam majlis anjuran PBS!  Semasa pilihan raya kecil Dun Jerlun (1992), Utusan sekali lagi berbohong dengan menyiarkan kenyataan palsu Datuk Harun  Idris. Kononnya Datuk Harun yang baru menyertai Umno menyelar PAS ketika berceramah di Jerlun. Menyedari tipu helah Utusan itu, Datuk Harun yang masih berprinsip membuat penafian melalui Harakah. Menurut Datuk Harun, beliau tidak  membuat kenyataan itu dan apa yang lebih memeranjatkan, Datuk Harun mengaku tidak berada di majlis itu! Ekoran daripada itu, Datuk Harun Idris (yang telahpun masuk Umno semula) dihentam kiri dan kanan oleh Utusan Meloya penyebar fitnah dalam keluaran hari berikutnya.

Inilah contoh-contoh pembohongan yang dilakukan oleh akhbar kebanggaan Zam --pengarang akhbar paling tidak beretika dalam sejarah Malaysia. Zam turut menghentam Rustam Sani yang menjadi mangsa fitnah Utusan Meloya. Menurut Zam, akhbar dan media massa arus perdana tidak menyiarkan penafian Rustam berhubung isu "kroni Anwar" kerana Rustam tidak mempercayai laporan media massa pro-kerajaan --- hujah paling bodoh daripada seorang Datuk dan Senator yang kononnya mewakili golongan wartawan!

Banyak lagi kebodohan Zam yang ingin saya dedahkan. Cukuplah sekadar itu kerana ia cukup memualkan. Harap-harap saudara/ri yang membaca tidak termuntah apabila membacanya. Jatuhkan golongan munafiq dan konco-konconya. Reformasi! Allahu Akbar! 

Wassalam.

ISLAH TAJDID