KENYATAAN MEDIA:
PEKERJA LADANG AYUH BANGKIT BUAT PERUBAHAN

(16 Jun 1999 / 2 Rabiul Awal 1420)

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) cukup terharu dengan nasib yang diceritakan oleh pekerja
ladang seperti mana yang disuarakan dalam akhbar The Star bertarikh 14 Jun 1999 seksyen dua muka
surat ketiga. Kisah bagaimana seorang penoreh getah yang bekerja di ladang selama 30 tahun tetapi dia
dan isterinya hanya memiliki harta pakaian sehelai sepinggang setelah menghabiskan seluruh tenaga
mereka di ladang, dan sekarang MIC dan juga Umno hanya di peringkat menyediakan kertas bagi
menangani masalah gaji pekerja seperti yang oleh Dato’ Seri S. Samy Vellu dalam The Star 14
Jun 1999 seksyen dua muka surat keempat.

DPP Pusat merasakan bahawa hampir lebih 30 tahun kerajaan telah gagal untuk melihat kebajikan nasib
pekerja ladang dan ini suatu perkara yang cukup memalukan negera di saat Presiden MIC boleh
membelanjakan wang yang lebih 1 juta untuk hanya kenduri kahwin anaknya tetapi sanggup
membiarkan rakyat menderita sehingga pekerja ladang hanya mempunyai pakaian sehelai sepinggang
dalam tempoh 30 tahun

Sudah sampai masanya untuk pekerja ladang membuat suatu tekad untuk membuat perubahan.
Tanda-tanda kepada perubahan dan faktor perubahan sudah nyata di mata kita. DPP Pusat percaya
bahawa pekerja ladang sama ada Melayu atau India sentiasa memainkan peranan penting dalam sejarah
dan tamadun di negara mana pun jua. Golongan pekerja ladang antara penyumbang dan menjadi agen
perubah dan pembawa perubahan dalam sesebuah masyarakat dan negara telah diabaikan selama ini.

Apa yang berlaku kepada masalah pekerja membuktikan bahawa kerajaan terlalu mementingkan kroni
dan menjaga kepentingan orang kaya sahaja, menidakkan dan menghina peranan atau orang pekerja
ladang seperti kenyataan Dato’ Seri Dr. Lim Keng Yaik. Walaupun beliau kemudian meminta
maaf tetapi kenyataan beliau jelas menunjukkan sikap dan persepsi kerajaan terhadap pekerja ladang
dan golongan masyarakat bawahan. Oleh itu pekerja ladang tidak seharusnya menaruh harapan kepada
kerajaan yang ada sekarang untuk mengubah nasib mereka kerana kerajaan hanya mementingkan kroni
mereka sahaja.

DPP Pusat percaya kali ini dalam konteks demokrasi yang kita amalkan pekerja ladang boleh
memberikan sumbangan yang besar ke arah pembaharuan hidup mereka dengan memberikan peluang
dan kesempatan untuk PAS dan rakan-rakan untuk berbakti dan menyelesaikan masalah mereka dan
bersama memberikan keadilan untuk semua.

                    "BERSAMA MENEGAKKAN KEADILAN"
 
 

ISHAK ISMAIL

Pengerusi Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar

Dewan Pemuda PAS Pusat