BERITA MALAYSIA


June 14 , 1999 20:08PM

 

RHB EQUITIES DAKWA PINJAMAN RM220 JUTA UNTUK HALIM SENDIRI

 

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- RHB Equities Sdn Bhd yang menyaman pengerusi eksekutif Renong Berhad Tan Sri Halim Saad kerana gagal melangsaikan hutangnya, mendakwa pinjaman sebanyak RM220 juta itu dipohon untuk beliau sendiri.

Syarikat itu mendakwa, Halim adalah peminjam sebenar bagi pinjaman itu tetapi menggunakan Ivory Quest Sdn Bhd sebagai nominee terpilih untuk pengagihan pinjaman yang berbentuk kemudahan kredit jangka pendek.

Menurut syarikat itu, perkara itu telah diakui sendiri oleh Halim dengan jelas dalam satu memorandum yang ditandatanganinya pada 22 Julai 1996.

Oleh kerana terpengaruh dengan memorandum yang dibuat oleh ahli perniagaan itu, RHB Equities berkata ia telah meluluskan pinjaman itu.

Syarikat berkenaan menyatakan perkara itu dalam jawapan kepada pembelaan Halim terhadap saman menuntut ganti rugi lebih RM225 juta yang dikemukakan terhadap ahli perniagaan itu pada 6 April lepas.

Jawapan itu difailkan oleh syarikat berkenaan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini hari ini. RHB Equities menamakan Ivory Quest sebagai defendan kedua.

Pernyataan tuntutan mereka mendakwa bahawa pada 22 Julai 1996, Halim telah menemui pengarah syarikat RHB Equities, Tan Sri Abdul Rashid Hussain untuk meminta kemudahan kredit itu.

RHB Equities mendakwa, bagi tujuan itu, Halim telah membuat lima representasi secara lisan kepada Rashid Hussain dan selanjutnya telah menandatangani memorandum berkenaan untuk mengesahkan representasi berkenaan.

Sebagai memenuhi representasi dan memorandum yang dibuat oleh Halim, kedua-dua defendan telah menyandarkan saham berikut sebagai sekuriti untuk pinjaman tersebut iaitu 59,200,000 saham FCW, 12,500,000 waran Intria Berhad, 8,003,000 saham Renong Berhad dan 1,878,030 saham Time Engineering Berhad.

RHB Equities berkata mengikut syarat-syarat perjanjian untuk pinjaman, nilai pasaran saham yang dijaminkan sebagai sekuriti kolateral untuk pinjaman itu, mengikut harga lazim mereka pada Bursa Saham Kuala Lumpur tidak boleh kurang daripada 1.67 kali ganda jumlah tertunggak pinjaman bersama faedah dan bayaran-bayaran yang terakru, belum dibayar dan terhutang.

Syarikat itu mendakwa, Halim dan Ivory Quest telah memungkiri syarat-syarat perjanjian kerana gagal untuk mengekalkan margin sekuriti, dan walaupun telah diberi peringatan berulang kali mengenai perkara itu, mereka gagal untuk menyediakan sekuriti tambahan untuk mengekalkan margin sekuriti.

Oleh itu, RHB Equities telah mengambil langkah untuk menjual sebahagian saham yang disandarkan oleh kedua-dua defendan dan selepas ditolak jumlah yang didapati daripada hasil jualan berkenaan, Halim dan Ivory Quest didapati masih terhutang RM225 juta dengan mereka.

Syarikat itu mendakwa, satu mesyuarat berhubung perkara itu telah diadakan di pejabat Renong Berhad pada 31 Dis 1997 antara Halim dan Abdul Rashid dan di situ Halim telah memberi akujanji untuk melangsaikan jumlah pinjaman tertunggak melalui beberapa cara.

Antaranya, memberi mandat kepada Abdul Rashid untuk menjual 2,000 ekar tanah milik Prolink Development Sdn Bhd pada harga RM10 kaki persegi dan hasil daripada penjualan itu akan digunakan untuk membayar baki pinjaman.

Bagaimanapun, RHB Equities mendakwa Halim telah memungkiri akujanji yang dibuatnya itu dan gagal atau enggan atau cuai untuk membayar jumlah pinjaman yang tertunggak walaupun beberapa surat tuntutan daripada peguam syarikat itu dihantar kepadanya.

Dalam pembelaan mereka, Halim dan Ivory Quest menafikan dakwaan RHB Equities dan membuat tuntutan balas kerana mendakwa syarikat berkenaan telah menyamannya tanpa sebarang sebab yang munasabah serta mungkin mempunyai tujuan yang terselindung.

Ahli perniagaan itu juga mendakwa, pada masa saman itu dikemukakan, beliau sedang mengusahakan beberapa cadangan berhubung dengan pengaturan semula dan penjadualan semula hutang beberapa syarikat.

Selain lebih RM225 juta yang dituntut sebagai jumlah pinjaman tertunggak, RHB Equities menuntut faedah pada kadar 16.25 peratus setahun terhadap jumlah yang tertunggak bermula dari 1 Jan 1999 hingga ke tarikh penghakiman.

Syarikat itu juga menuntut kos dan relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam jawapannya, RHB Equities juga mendakwa, apabila pengarahnya bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-dua defendan, Halim telah berjumpa Abdul Rashid untuk meminta jasa baik beliau supaya tindakan itu tidak dilakukan.

Syarikat itu mendakwa, Halim yang meminta Abdul Rashid bersabar, selanjutnya telah memberikan akujanji untuk melangsaikan jumlah pinjaman yang tertunggak itu.

RHB Equities menyatakan bahawa walaupun Halim adalah ahli perniagaan terkenal dan mempunyai kepentingan besar dalam beberapa syarikat awam yang disenaraikan, perkara itu bukanlah satu halangan kepada syarikat itu untuk mengemukakan tuntutan bagi mendapatkan balik pinjaman yang telah diberikan kepada beliau.

Syarikat itu menyatakan, kedudukan Halim itu tidak boleh dijadikan alasan untuk beliau tidak melangsaikan hutangnya kerana beliau tidak menikmati sebarang keistimewaan atau hak seperti itu.

RHB Equities juga berkata, fakta bahawa saman itu dikemukakan ketika Halim sedang memulakan beberapa usul berhubung penyusunan semula atau penyenaraian semula hutang-hutang beberapa syarikat, tidak relevan terhadap tuntutan hutang syarikat itu terhadap Halim.

Berhubung tuntutan balas Halim dan Ivory Quest, syarikat itu mendakwa tuntutan balas Halim dan Ivory Quest adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah dan oleh yang demikian, memohon supaya ianya ditolak dengan kos. -- BERNAMA

 


Copyright ©1998 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.