MAHATHIR: ANWAR DIPECAT KERANA CUBA JATUHKANNYA


    Rakyat seluruh negara mendengar dengan penuh teliti ucapan Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia. Ucapan yang disiarkan secara langsung itu bukan sahaja penting bagi perwakilan UMNO di dalam Dewan Merdeka PWTC, tetapi juga dikira penting untuk sekalian rakyat jelata memandangkan ada 'kejutan' yang kononnya akan beliau umumkan. 

     Memang rakyat terkejut, kerana sepanjang ucapan Mahathir itu, lebih dari 70% kandungannya penuh dengan kecaman terhadap bekas timbalannya, Dato' Seri Anwar Ibrahim, dan meneruskan lagi usaha-usaha menyebarluaskan  fitnah terhadap Anwar dari perkara yang kononnya rendahnya moral Anwar  sehinggalah kepada menjadi agen orang asing untuk menjajah semula Malaysia. Tidak ketinggalan juga kecaman melulu dan membuta tuli terhadap PAS dan keADIlan dan begitu juga terhadap Sasterawan Negara Dato' Prof. Shahnon Ahmad 

     Tidak pernah dalam sejarah mana-mana parti politik dunia yang ucapan dasar presiden parti menumpukan sebegitu banyak ruang dan masa hanya untuk mengecam individu atau kelompok parti lain,  kerana kebiasaannya dalam mana-mana ucapan presiden ianya akan menumpukan terhadap perkara-perkara yang melibatkan isu-isu agama, ekonomi, politik, pendidikan dan seumpamanya. 

     Ucapan Dasar Presiden UMNO hari ini lebih kepada ucapan membela diri dan bukan sangat ucapan dasar Presiden parti. Mahathir sepatutnya tidak menggunakan platform persidangan agung UMNO untuk membela diri beliau kerana beliau pernah dipanggil (disapina) untuk memberi keterangan di mahkamah ketika perbicaraan kes 'salahguna kuasa' Anwar dulu berlangsung, tetapi beliau enggan. 

     Kita sedar bahawa Mahathir menggunakan platform persidangan UMNO kerana beliau  lebih selesa bercakap di depan perwakilan UMNO kerana ianya bersifat sehala 'monolog' sedangkan di dalam mahkamah  Mahathir akan diasak bertalu-talu oleh para peguam Anwar, khususnya Christopher Fernando. Mahathir tidak juga berani lagi untuk berdepan dengan rakyat kerana hanya akan diboo seperti mana Ibrahim Ali, Zein Isma, Suhaimi Ibrahim  alami baru-baru ini. 

     Malah kesemua hujah Mahathir di sesi membela diri beliau di persidangan UMNO hari ini satu persatu boleh dipatahkan dengan  mudah dan senang  kerana terlalu kebudak- budakkan, dan hanya mengulangi serangan dan kecaman beliau terhadap Anwar dan PAS di dalam Persidangan Khas UMNO beberapa bulan yang lalu. 

     Jika dibandingkan dengan ucapan dasar Presiden PAS di Muktamar PAS yang baru lepas, ternyata ucapan  Dato' Fadzil Noor jauh lebih padat, bernas dan merangkumi semua aspek dari agama, politik dan lain-lain, tidak seperti ucapan Mahathir yang seperti melepaskan geram dan beremosi sahaja. 

     Walaupun mungkin Mahathir menerima tepukan gemuruh dari perwakilan, namun kita percaya ramai juga di kalangan perwakilan yang sebenarnya agak meluat dengan tindakan Mahathir meneruskan kecaman beliau terhadap Anwar. Kita tidak nafikan bahawa perwakilan UMNO yang berteriak girang dan riuh rendah itu hanyalah dari kalangan mereka yang kaki bodek dan dungu sahaja. Bagi yang tahu menilai baik dan buruk akan tahu siapakah sebenarnya yang bersalah samada Anwar atau Mahathir. 

     Di dalam kecam mengecam itu, Mahathir secara tidak disedari telah menyebut bahawa kononnya Anwar berkonspirasi cuba menjatuhkannya. Maka oleh itu, sahlah sudah Anwar dipecat dari kabinet dan UMNO bukan kerana moralnya rendah, tetapi kerana Mahathir bimbang Anwar akan menggulingkannya. Lebih membimbangkan Mahathir lagi apabila dihasut oleh musuh-musuh Anwar yang berada di sekeliling beliau. Tuduhan meliwat, dan berzina ternyata hanyalah rekaan dan fitnah semata-mata. Ianya sudah terlalu jelas dan nyata hari ini, hari perasmian Persidangan Agung UMNO. 
       

     AWANG BONGSU