UMNO MEMPERJUANGKAN ISLAM?

Kita merasa terlalu janggal mendengar ucapan Naib Presiden UMNO yang menanggung tugas Timbalan Presiden, Datuk Abdullah Hj.Ahmad Badawi, ketika merasmikan Perhimpunan Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO hari ini,17 Jun. 

Apa yang janggal dan lucunya ialah dakwaan beliau bahawa UMNO memperjuangkan Islam yang tidak sempit, tidak melampau dan tidak memusuhi orang bukan Islam. Sejak bila sebenarnya UMNO memperjuangkan Islam? Dan apakah Islam ala UMNO hari ini Islam yang tidak sempit? Kalau begitu Islam siapakah pula yang sempit dan ekstrem? Islam yang diperjuangkan oleh PAS agaknya? 

Apakah benar Islam yang diperjuangkan oleh PAS itu sempit atau pun Islam ala UMNO itu sebenarnya yang bukan Islam? Atau UMNO sebenarnya juga sama seperti mana-mana kumpulan tariqat-tariqat sesat yang merasakan merekalah sebenarnya yang mengikuti Islam sedangkan hakikatnya tidak. Andaian kita ini berasas kerana pemimpin UMNO sebenarnya terlalu takut untuk bersemuka dengan PAS yang mereka dakwa sebagai membawa Islam secara pendekatan yang ekstrem dalam suatu sesi 'debat' atau sekurang-kurangnya muzakarah' di dalam mencari pendekatan siapakah yang sebenarnya selari dengan Islam. Namun, apa yang ternyata bagi kita ialah, sepanjang UMNO di bawah era kepimpinan Mahathir ini, Islam disepak terajang entah ke mana. Islam hanya mula diingati dan diwar-warkan apabila hampir pilihanraya semata-mata untuk menarik simpati dari pengundi Melayu / Islam. Kalau tidak kerana asakan demi  asakan dari parti PAS yang ikhlas untuk menegakkan Islam, UMNO sudah pasti tidak akan berbicara lagi tentang Islam kerana agama pemimpin UMNO sebenarnya adalah ekonomi dan pembangunan. 

Justeru itu, cuba kita imbau kembali beberapa noktah penting kenyataan-kenyataan dan tindakan pemimpin- pemimpin UMNO ini, daripada sejumlah kenyataan dan tindakan mereka yang terlalu banyak untuk sama-sama kita menilai secara rasional dan waras apakah benar UMNO memperjuangkan Islam. Jika UMNO sudah tidak lagi memperjuangkan Islam, maka UMNO sudah tidak lagi relevan untuk bangsa Melayu/ Islam dan mereka sewajarnya mencari parti aternatif lain untuk menyalurkan aspirasi mereka memperjuangkan Islam. 

UMNO Memperjuangkan Islam?

1.Mahathir sendiri pernah menghina janggut Nabi Muhammad s.a.w. dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Agama di Pusat Islam. Ini bukan fitnah kerana kasetnya tersebar di merata tempat; 

2.Mahathir dan pemimpin UMNO telah melemparkan tuduhan fitnah 'qazf' terhadap Anwar kerana menuduh beliau berzina dan terlibat dengan homoseksual sedangkan mereka gagal membawa empat orang saksi yang adil untuk membuktikan tuduhan mereka. Mereka semuanya wajib dihukum sebat 80 kali sebatan. 

3.Mahathir mengecam tindakan Mufti Selangor pada ketika itu, Dato Ishak Baharom, yang mendakwa 3 orang gadis Melayu yang terlibat dalam pertandingan ratu cantik. Beliau menganggap tindakan Sahibul Samahah Datuk Ishak Baharom itu melampau / ekstrem kerana Islam ala UMNO memberi kelonggaran untuk anak gadis memperagakan tubuh mereka untuk tatapan rakus nafsu lelaki. Tindakan Datuk Ishak itu telah menyebabkan kontrak beliau sebagai Mufti Selangor ditamatkan; 

4.Di zaman UMNO di bawah kepimpinan diktator Mahathir, sekalian 'ulama yang ikhlas dan jujur telah bangkit menentang UMNO dan Mahathir, lebih-lebih lagi selepas tindakan jahat Mahathir memfitnah dan seterusnya memecat Dato' Seri Anwar Ibrahim. Dato' Ishak Baharom, Dato' Prof.Dr.Harun Din, Dato' Ismail Kamus,  Ustaz Ahmad Awang, dan ribuan lagi 'alim-ulama', tok-tok guru pondok, dan para ustaz telah bangkit menentang rejim Mahathir samada secara  lantang atau senyap-senyap. Yang masih tinggal dan kekal dalam UMNO hanyalah 'ulama' cari makan dan ulama' jahat.

5.Mahathir pernah menghantar surat kepada kerajaan negeri Kelantan menolak cadangan menguatkuasakan hudud dengan memberi ugutan bahawa beliau akan mengisytiharkan darurat jika ianya diteruskan. Inikah dia perjuangan Islam - menghalang pihak lain yang ingin menegakkan Islam? Kalau pun Pusat tidak mahu melaksanakannya, biarkan sahaja Kelantan yang melaksanakannya. Apa salahnya? 

6.Mahathir dan pemimpin UMNO sebenarnya telah sesat kerana  dengan terang-terang menolak pelaksanaan hukum Islam dan menganggap hukum Islam sudah tidak sesuai lagi di zaman ini sedangkan segala hukum hakam di dalam al-Quran sesuai untuk sepanjang zaman sehinggalah hari Qiamat; 

7.Mahathir menghina perempuan yang menutup aurat dan mendakwa ianya tidak melambangkan lebih Islamnya seseorang. Benar, tetapi menutup aurat tetap wajib; 

8.Rafidah Aziz pernah berkata di sekitar akhir 80-an  bahawa beliau tidak kisah jika ada di kalangan pemimipin kerajaan yang mempunyai wanita simpanan asalkan sahaja mereka 'Bersih, Cekap dan Amanah". 

9.UMNO tidak pernah memperjuangkan nasib kaum wanita, membiarkan mereka terusm menerus menjadi mangsa dieksploitasi dalam segenap segi untuk tujuan komersil dan sebagainya. Walaupun mereka berkuasa, mereka tidak melakukan apa-apa. Kes-kes wanita didera, penceraian dan sebagainya tidak pernah mendapat pembelaan.Kes mereka pula  tertangguh dan tertangguh bertahun-tahun tanpa ada penyelesaiannya; 

10.Di dalam UMNO penuh dengan segala bentuk kemungkaran dari pemimpinnya yang terlibat dalam perzinaan, meminum minuman keras,  sehinggalah kepada kaki judi, kaki rasuah dan sebut sahaja semuanya ada dan semuanya boleh dalam UMNO. Bukankah Malaysia Boleh, maka UMNO pun Boleh? Di dalam UMNO tiada haram semuanya halal. Mereka ini mendapat tempat dalam UMNO dan menjadi jurubicara UMNO di merata-rata. 

11. Di era Mahathir jugalah murtad di kalangan anak-anak gadis Melayu semakin menjadi-jadi. Tiada usaha bersungguh-sungguh dibuat bagi menghalang fenomena ini dari berterusan. Aishah Bokhari, Kartina Kamaruddin adalah antara dua nama yang akan terabadi sebagai bukti kegagalan kerajaan "Islam ala UMNO" mempertahankan aqidah umat Islam, dan menyebarluaskan syiar Islam. Itu belum bercakap masalah bohsia, bohjan dan buang bayi lagi yang semuanya tidak diselesaikan mengikut cara Islam tetapi mengikut 'cara kondom' yang diberi percuma. Inikah perjuangan Islam? 

UMNO Tidak Memusuhi Bukan Islam?

Kita tidak pasti adakah benar UMNO tidak memusuhi bukan Islam, cuma yang pastinya ialah UMNO bersahabat karib dan berkasih sayang dengan musuh Islam -  berbaik-baik dengan puak Yahudi yang dilaknat oleh ALlah seperti mana disebut di dalam surat al-Fatihah sendiri. Dari pemain  kriket Yahudi Israel sehinggalah kepada Penasihat Kewangan Negara, Solomon Smith Barney & Co. semuanya Yahudi yang diraikan dan dimuliakan oleh kerajaan UMNO Mahathir. Bon-bon negara yang dijual di Jepun dan di luar negara dengan harga yang cukup murah dan merugikan  juga dibeli oleh puak-puak kapitalis dan lintah darat Yahudi. 

UMNO menganggap PAS ekstrim dan melampau dan memusuhi kaum bukan Islam. Apakah bukti PAS memusuhi bukan Islam sedangkan kaum bukan Islam di Kelantan boleh hidup jauh lebih aman berbanding semasa pemerintahan UMNO dulu. PAS tidak pernah memusuhi bukan Islam, malah PAS yang berpegang teguh  dengan ajaran Islam sedar bahawa amaran Rasulullah s.a.w yang antara lain berbunyi, "Barangsiapa yang menyakiti kafir zimmi maka sesunggunya dia telah menyakiti aku". Amaran ini sentiasa menjadi panduan PAS dalam memperjuangkan Islam dari dulu dan sampai bila-bila, tanpa boleh mengkhianati dan memusuhi bukan Islam yang tidak bermusuh dengan kita. 

Ringkasnya, ungkapan Pak Lah bahawa UMNO memperjuangkan Islam hanyalah retorik dan kata-kata kosong belaka bagi memancing undi dan meraih simpati pengundi-pengundi Islam agar tidak bersama dengan perjuangan PAS yang sudah mula mendapat tempat di hati sekalian rakyat. UMNOlah sebenarnya yang menggunakan Islam untuk politik, sedangkan PAS adalah parti sebenar-benarnya ikhlas yang memperjuangkan Islam. 

Malang sungguh UMNO di era Mahathir ini lebih-lebih tercemar nilai keislamannya kerana ditakdirkan UMNO mempunyai seorang Presiden yang celupar mulutnya dan serba tahu lagaknya, mengeluarkan fatwa dan hukum-hakam berhubung dengan Islam secara semberono walaupun dalam hal dan perkara yang beliau teramat jahil. 

Sekian. 

DULU PAS SEKARANG LAGI PAS! 

LUQMAN PC