KINI
Isu No. 22 (31 Ogos 1999)

MERDEKA
RM40bn Untuk Bank Kroni
Menteri Kewangan Pertama, Tun Daim Zainuddin hari Khamis 26 Ogos mengaku bahawa kerajaan telah mengeluarkan berbilion ringgit wang negara untuk menyelamatkan institusi kewangan bermasalah. Dalam krisis ekonomi yang berlaku baru-baru ini, institusi-institusi kewangan menghadapi masalah lagi. Akibatnya, RM40 bilion terpaksa diperuntukkan oleh kerajaan melalui Danaharta bagi mengambil alih hutang tidak berbayar (NPL), atau hutang lapuk, dalam sistem perbankan tempatan.
Angka statistik menunjukkan Sime Bank mempunyai hutang lapuk (NPL) yang paling besar, iaitu RM8.4 bilion. Manakala hutang lapuk bagi Bank Bumiputera (BBMB) ialah RM6.2 bilion. Dua buah bank yang ‘muflis’ ini (Sime Bank dan BBMB) adalah bukti kukuh betapa rasuah, penyelewengan, pecah amanah, dan penipuan berlaku dalam institusi kewangan. Bank-bank ini mempunyai hubungan paling rapat dengan pucuk pimipinan BN yang berkuasa sekarang. Amalan pilih kasih dan pilih bulu atau nepotisme dan kronisme adalah punca keruntuhan dua buah bank ini.

Bank Bumi Diselamatkan Petronas 3 Kali
Bank Bumiputera, yang pernah menjadi bank terbesar di Malaysia, terpaksa diselamatkan oleh kerajaan sebanyak empat kali sepanjang pemerintahan Mahathir. Kali yang pertama akibat kerugian RM2.5 bilion dalam skandal BMF di Hong Kong. Kerajaan telah mengarahkan Petronas menyelamatkan BBMB pada 1984. Kemudian, sekali lagi, BBMB hampir bangkerap pada akhir tahun 1980-an akibat rugi besar kerana hutang lapuk yang tidak berbayar. Sekali lagi, kerajaan BN pimpinan Mahathir mengarahkan Petronas memasukkan wang untuk menghidupkan kembali BBMB.
Kali yang ketiga, setelah krisis ekonomi berlaku mulai Jun 1997, Petronas dikerahkan lagi untuk menyelamatkan BBMB, tetapi BBMB terus menuju menemui ajalnya.
Akhirnya, BBMB sebagai sebuah bank, yang lahir dari usul Konggeres Ekonomi Bumiputera yang pertama pada tahun 1965 itu, terpaksa gulung tikar diambilalih kumpulan Commerce Asset Holdings yang dikuasai orang Daim. BBMB sekarang tinggal pada namanya saja. Malah, nama rasminya pun sudah bertukar sebenarnya. BBMB sekarang dikuasai oleh Bank of Commerce.
Keruntuhan Bank Bumiputera adalah contoh paling jelas kegagalan dasar perbankan di bawah Mahathir Mohamad. Ketiga-tiga kali masalah besar dihadapi oleh BBMB berlaku pada zaman Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Wang Petronas Disalahgunakan Lagi
Petronas sudah tidak terdaya untuk menyelamatkan BBMB lagi kerana Mahathir juga hendak menyelamatkan syarikat perkapalan anaknya, Mirzan yang memiliki Konsortium Perkapalan (KPB). Hampir RM1.8 bilion ringgit wang Petronas digunakan untuk selamatkan syarikat Mirzan bin Mahathir itu.
Wang Petronas pun sudah kontang kerana lebih banyak wang dibelanjakan untuk membiayai Menara Kembar KLCC dan Putrajaya. Petronas juga dikerah Mahathir untuk menyelamatkan Proton, syarikat membuat kereta nasional yang bermasalah. Jadi peranan Petronas di bawah Mahathir ialah untuk selamatkan bank dan syarikat korporat.

Sime Bank Disalahgunakan
Keruntuhan Sime Bank pula adalah satu contoh paling menonjol bagaimana pengurusan bank yang paling tidak amanah dan tidak profesional telah berlaku dalam sejarah perbankan Malaysia. Hanya baru wujud setahun, bank itu telah membuat rekod kerugian sebesar RM1.8 bilion. Masalah itu berpunca kerana dasar pemberian pinjaman yang longgar kepada para tokoh korporat besar yang meminjam dengan jumlah yang besar.
Pinjaman-pinjaman besar itu tidak bersandarkan kepada cagaran yang kukuh, tetapi semata-mata kerana hubungan peribadi yang rapat dan kuat dengan pucuk pimpinan tertinggi kerajaan yang berkuasa sekarang. Jadi sesungguhnya, bank-bank Malaysia yang menghadapi masalah besar sekarang adalah satu skandal ekonomi nasional.

Penggabungan Bank Menguntungkan Daim
Sekarang, kerajaan, melalui Bank Negara, cuba menggabungkan institusi bank dan kewangan di Malaysia ini kepada enam buah bank sahaja. Beberapa bank kecil, yang selama ini berjalan dengan penuh hemat, cekap dan berjimat serta tidak ada hubungan rapat dengan pucuk pimpinan politik dalam kerajaan, akan ditelan oleh bank yang direstui Daim, termasuk bank orangnya sendiri.
Bank-bank yang kecil itu selama ini berjaya menghadapi kegawatan dengan pengurusan yang baik dan reformasi dalamannya sendiri. Mereka dapat menghadapi saat susah itu dengan berdikari tanpa perlu pemerintah menyelamatkan mereka berbanding bank-bank yang dikuasai oleh kroni-kroni Mahathir dan Daim.
Akibatnya, penggabungan bank dan institusi kewangan di Malaysia menjadi enam buah saja akan menyebabkan masa depan berpuluhan ribu pekerja bank kehilangan pekerjaan. Yang hanya akan mendapat untung dan faedah ialah bank yang dikuasai kroni Mahathir dan Daim. Kroni-kroni inilah yang bukan hanya dapat bernafas kembali, tetapi dengan lebih kuasa.

Mahathir Lebih Percaya Barat
Menurut media, sambil memuji Mahathir, Krugman mencadangkan supaya kawalan modal itu dibubarkan kerana sekarang tidak relevan lagi. Mahathir tidak setuju dengan cadangan itu. Tetapi apabila pakar ekonomi dari Barat yang bersimpati dengan Mahathir kata elok dilonggarkan, maka tidaklah hairan lagi jika tidak lama lagi, Malaysia akan melonggarkan kawalan modalnya.
Memang pandai orang barat ini. Kalau dia tentang dengan keras dan kritik Mahathir dengan tajam, maka apa juga cadangan yang baik dan menasabah akan ditolak oleh Mahathir, kononnya kerana merupakan agenda jahat Barat.
Kalau ahli ekonomi Malaysia yang mencadangkan usul sedemikian, Mahathir sukar hendak terima. Mahathir lebih percaya Barat dalam soal ekonomi. Kalau tidak masakan dia melantik firma Salomon-Smith-Barney dari Amerika Syarikat sebagai penasihat pelaburan dan dasar kewangan Malaysia di tengah-tengah retorika anti-Baratnya.

TAMAT

Para pembaca diminta mencetak, menyalin dan mengedar Kini, terutamanya kepada mereka yang mungkin berminat. Kami juga menghendaki alamat e-mail supaya dapat mengirim risalah harian ini secara langsung.

Terima kasih atas kerjasama anda.

Hit the BACK button to return to previous page