Jawapan kepada kenyataan 'Pilihanraya Terkotor' Dr Mahathir
 

Perdana Menteri menjangkakan bahawa Pilihanraya yang akan datang menjadi
pilihanraya yang terkotor setakat ini dalam sejarah pilihanraya di
Malaysia. Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa Dr Mahathir mahu
melemparkan kesemua kotoran dan kejahatan yang mereka lakukan kepada
barisan parti alternatif yang sudah hampir pasti akan menang dengan selesa.

Beliau terpaksa melakukannya demi menyelamatkan imej parti UMNO dan
kerajaan Barisan Nasional yang tersangat kotor dan cemar akibat perbuatan
tangan Dr Mahathir sendiri. Rakyat sendiri dapat menilai betapa kotornya
imej dan akhlak Dr Mahathir serta pemimpin-pemimpin UMNO yang sanggup
melemparkan pelbagai tuduhan yang tersangat jijik dan kotor kepada bekas
Timbalan Perdana Menterinya, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Tindakan beliau yang
tidak berperi kemanusiaan dan zalim itu tidak dapat dilindungi lagi dari
pengetahuan rakyat. Rakyat sudah naik mual dan sudah tidak tertahan dengan
kekotoran yang terpalit pada batang tubuh Dr Mahathir dan Kerajaan BN
sehingga mereka tidak sabar menanti pilihanraya. Apabila pilihanraya
diisytiharkan pastilah mereka akan membuat perhitungan terakhir dengan
menolak kerajaan BN yang kotor dan bergelumang dengan segala kebusukan
akhlak dan politik yang menjadi amalan mereka.

Oleh kerana rakyat sudahpun membuat keputusan dan mereka tidak akan
berganjak dari keputusan ini, maka Dr Mahathir berusaha untuk menjejaskan
kredibiliti parti-parti barisan alternatif dengan melemparkan pelbagai
tuduhan tidak berasas dan tidak masuk akal sama sekali. Dr Mahathir
mengharapkan rakyat terutamanya mereka yang tidak mempunyai maklumat yang
cukup tentang perkembangan politik semasa menaruh curiga kepada parti-parti
barisan alternatif. Dengan menuduh bahawa parti-parti alternatif menjadi
alat kepada kuasa asing, beliau menjangka rakyat akan memilih UMNO dan
parti-parti komponen Barisan Nasional. Taktik ini menunjukkan bahawa lagu
lama 'kuasa asing' yang didendangkan oleh beliau di dalam ucapan-ucapan
tidak mendatangkan kesan yang diharapkan. Rakyat tahu bahawa 'agenda asing'
yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir itu hanyalah momokan semata-mata. Ianya
tidak lebih dari helah untuk membohongi rakyat bahawa merekalah yang
sebenarnya merupakan ancaman dan musuh sebenar kepada prinsip-prinsip
demokrasi dan hak-hak menentukan masa depan negara sendiri.

Kenyataan Dr Mahathir menunjukkan bahawa beliau berada di dalam keadaan
yang sangat terdesak. Kenyataan yang berbau hasutan itu juga menuntut agar
rakyat tidak hilang pertimbangan dan tidak mudah terpengaruh dengan rentak
UMNO yang sedang berada di penghujung kekuasaannya. Sebenarnya Dr
Mahathirlah yang mengharapkan supaya pilihanraya kali ini menjadi
pilihanraya terkotor di dalam sejarah tanah air di mana berlakunya pelbagai
bentuk penipuan, penyelewengan dan penyalah gunaan kuasa oleh Barisan
Nasional. Bagi Dr Mahathir, itulah satu-satunya jalan yang masih ada untuk
terus kekal berkuasa, jalan yang sangat kotor dan keji..
 

Pengendali Laman Web PAS
http://www.parti-pas.org
email : webmaster@parti-pas.org