MIN AINA ILA AINA
Oleh TUAN HAJI SUBKY ABDUL LATIF

 

Umno terpaksa gali kubur

BANKRAPKAH sudah Umno apabila isu kafir mengkafir bagaikan telah terkubur itu dihidupkan semula?

Mungkin juga. Isi ekonomi dan pembangunan, penjajah nak datang semula, PAS jual prinsip kerana berkawan dengan DAP, bekas Timbalan Presidennya dikata liwat sudah jadi lewat dan lain-lain jadi serba tak kena pada Umno.

Paling akhir dua 'ketul' menteri digugurkan bagi diganti dengan 'ketul' baru, masih banyak juga cawangan Umno tidak dapat mengadakan mesyuarat.

Di atas mesyuarat-mesyuarat cawangan yang tidak dapat diadakan itulah Umno hendak mengadakan Perhimpunan Agungnya sehari dua lagi.

Mungkin juga untuk memulihkan Umno yang macam itu, maka isu tua kafir mengkafir dihidupkan semula.

Isu itu telah mati dan ia mati atas dikri Yang dipertuan Agong - yang di takhta ketika itu ialah Sultan Johor - memerintahkan supaya Debat kafir mengkafir tajaan Umno dibatalkan.

Ia juga boleh dikira diharamkan.

Pengerusi untuk debat itu yang dicadangkan oleh Umno. Tan Sri Lokman Musa sudah pun lama meninggal.

Rupanya kafir mengkafir tadi hendak dihidupkan semula. Oleh siapa? Oleh siapa jika tidak Umno.

Setuju atau tidak setuju isu kafir mengkafir ini telah memecahkan perpaduan orang Islam dan dari segi politiknya ia sentiasa membawa pulangan politik yang baik bagi Umno.

Kadang-kadang ia tidak menguntungkan bagi setengah tokoh Umno seperti Tunku Abdul Rahman dan Tan Sri Khir Johari misalnya, tetapi ia menguntungkan Umno sebagai parti yang meraih kemenangan. Setiap menjelang pilihan raya pita berbisa itu dimainkan semula atau kata orang sekarang diulang tayang.

Kemuncak dari isu lapuk tagihan Umno itu dianjurkan dijadikan debat. Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri mencetuskan cabaran itu. Disetujui oleh PAS dengan syarat dibuat secara langsung melalui TV.

Dr. Mahathir mengaku setuju. Apa dia bersungguh atau sekadar pura-pura setuju, dia dan Allah SWT saja yang tahu.

Dia setuju dengan mengemukakan tajuk sekali: PAS kata Umno kafir.

Itu pun Pas setuju dengan tajuk yang Umno cadang.

Dalam jawapan Setiausaha Agung Pas ketika itu Ustaz Hassan Shukri kepada Setiausaha Agung Umno Tan Sri Sanusi Joned, PAS menerima thema itu dengan sedikit pindaan iaitu Umno kata PAS kata Umno kafir.

Antara keghairahan itu Dr. Mahathir berkata pula, dia tidak begitu mahir dengan persoalan agama, maka kalau nak diadakan juga debat, dia boleh berdebat atas subjek yang dia mahir iaitu mengenai perubatan.

Maka PAS setuju juga. Atas perubatan pun perubatanlah jika dengan debat itu boleh menyelesaikan isu kesombongan Umno itu. PAS sedia kirim doktor-doktornya.

Umno bagaikan ranggi sangat melantik wakilnya terdiri dari Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Ketua Pemuda Umno ketika itu yang akhirnya menjadi bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dan Ibrahim Azmi ketika itu MP Kuala Nerus.

PAS pula mencalonkan Ustaz Abdul Hadi Awang. Ustas Harun Taib dan Nakhaie Haji Ahmad.

PAS mengirim beberapa nama untuk membincangkan soal teknikal jika sungguh debat itu hendak diadakan.

Dato' Rais Yatim, menteri penerangan melantik gurunya Tan Sri Lokman Musa untuk menjadi pengerusi. Pendek kata semua Umno tentukan hingga Pas tidak dapat mencadangkan apa-apa kecuali datang saja untuk berdebat.

PAS bersedia kerana dengan cara itulah isu itu boleh diselesaikan kalau mahu ia diselesaikan.

Ramai menasihatkan PAS supaya jangan menerima perangkat Umno itu kerana tajuknya sendiri mereka kira memerangkap PAS.

Tajuknya mengerikan orang awam iaitu PAS kata Umno kafir. Tetapi itu yang Umno mahu. PAS tiada pilihan melainkan bersetuju tetapi PAS akan pergi dengan hujah Umno kata PAS kata Umno kafir.

Rektor UIA yang pertama Prof. Dr. Abdul Raof datang ke pejabat PAS minta debat itu dielakkan dan beliau sedia menjadi orang tengah. Pas tidak menolak hasratnya dan jika itu yang Umno mahu, PAS tidak membantah kerana debat itu Umno yang memulakan.

Ramailah wakil badan-badan Ormas (NGO) datang meminta supaya PAS jangan menyertainya kerana ia akan memburukkan lagi suasana. Tetapi PAS anjurkan kepada mereka supaya mengemukakan perkara itu kepada Umno yang ghairah dengan isu itu.

Persoalannya ialah isu itu disetujui oleh semua pihak betapa tidak ia menguntungkan umat Islam malah memecah belahkan perpaduan. Tetapi apa yang sudah dibuat oleh semua pihak untuk mematikan isu itu?

Siapa yang begitu arif untuk mengatakan debat tidak akan menyelesaikan isu itu? Siapa pula yang begitu arif untuk mengatakan debat itu akan menyelesaikan isu itu?

Kerana tidak sesiapa arif dan tidak pula tidak arif, dan tidak sesiapa berusaha untuk menyelesaikannya, maka biarlah debat itu menentukannya, moga-moga ada pengajaran daripadanya.

Orang yang merasakan arif berkata, debat tidak mungkin dapat menyelesaikannya. Apakah isu itu selesai bila debat tidak diadakan?

Terbukti sekarang sesudah 15 tahun selepas cadangan debat itu mati isu kafir mengkafir ditimbulkan semula oleh media separuh rasmi Umno. Setahun lalu beberapa orang ketua pengarang akhbar yang diyakini anti PAS digantikan dengan yang lebih anti PAS.

Wartawan TV yang dirasakan anti PAS ketika itu juga digantikan dengan yang lebih anti PAS.

Kini isu kafir mengkafir dihidupkan semula.

Debat tadi tidak diadakan atas titah perintah Yang di-pertuan Agong. Belum pernah Yang diPertuan Agong mengeluarkan perintah tanpa nasihat Perdana Menteri.

Bagaikan kiamat Malaysia jika Yang di-Pertuan Agong bertindak tanpa nasihat Perdana Menteri. Yang membatalkan debat itu logiknya ialah pemimpin Umno iaitu Dr. Mahathir.

Sekalipun ia atas nasihat Perdana Menteri, sekali ia dijadikan dikri oleh Seri Paduka, maka setiap yang mengaku setia dan ada tanggungjawab dan bertamadun pula wajar menghormati titah perintah itu.

Di mana bisanya pimpinan Dr. Mahathir apabila media yang mengampunya tidak peka dengan dikri Seri Peduka dulu? Adakah Dr. Mahathir suka atas perbuatan mereka?

Jika dia suka, dia kartun.

Apa juga tujuannya, ia adalah usaha terakhir untuk meraih faedah politik menjelang pilihan raya. Apakah rakyat yang bertambah ramai keluar universiti dan ada profesor berjanggut dan tidak berjanggut keliru lagi isu kartun kafir mengkafir itu?

Yang jelas orang PAS yang terperangkap dengan isu itu sudah menjadi penceramah upahan Umno. Di Kelantan ada, di Kedah ada dan di Kuala Lumpur pun ada.

Pada ketika yang sama lebih 100 ribu orang masuk PAS antara yang teramai adalah orang Umno walaupun isu itu ditimbulkan lagi. Dan yang keliru belum keluar Umno, menunggu jadi calon atau tidak bila Parlimen dibubarkan nanti. Laku lagikah isu media pro Umno kata PAS kata Umno kafir?

 

Ke Laman Utama