LAPORAN DEBAT PERDANA UKM 99
 
 

PEMIMPIN MUDA UMNO DIMALUKAN DI UKM
 

Debat Perdana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 15 Jun 1999
bertajuk "Wajarkah Mahasiswa Berpolitik?" telah mendedahkan siapa di
kalangan generasi baru yang lebih layak memimpin Malaysia di alaf baru.
Alaf baru menjanjikan persaingan sengit negara-negara di dunia dan
Malaysia memerlukan pemimpin yang benar-benar berketrampilan,
berkarisma dan punya idea dan agenda yang bernas untuk terus memandu
kejayaan Malaysia.

Debat Perdana UKM telah dihadiri oleh Saudara Mustaffa Kamil Ayub
selaku Naib Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (keADILan), Saudara
Mahfuz Omar (Ketua Pemuda PAS), Saudara Zain Isma (Exco Pergerakan
Pemuda UMNO), Saudara Zaharuddin Abdul Rahman (Presiden GAMIS), Dato'
Suhaimi Ibrahim (Presiden GPMS) dan ribuan mahasiswa dari UKM, IPTA dan
IPTS seluruh Malaysia.

Wakil-wakil dari pihak pembangkang iaitu saudara Musataffa dan Mahfuz
telah membuktikan bahawa mereka lebih berwawasan dan terkehadapan dalam
peperangan idea. Sebagai pemimpin baru Malaysia, mereka memperlihatkan
kewibawaan mereka dalam mengutarakan idea dan menjelaskan agenda mereka
untuk kemajuan negara Malaysia. Dengan berlandaskan premis Malaysia
sebagai negara yang lebih maju dan demokratik, mereka menghujahkan
bahawa mahasiswa perlu berpolitik sebagai manifestasi kepada peranan
mereka sebagai agen perubah, pencorak masa depan Malaysia dan
membuktikan bahawa Malaysia adalah negara yang demokratik. Kewajaran
mereka berpolitik akan lebih mematangkan mereka dan menyediakan mereka
untuk memimpin negara pada masa depan. Sudah menjadi tugas penting
mahasiswa sebagai golongan terpelajar dalam masyarakat untuk terus
berada di dalam denyut nadi dan jantung masyarakatnya. Lontaran idea
yang bernas  dan hujah yang kukuh oleh kedua-dua panel adalah refleksi
kekuatan daya intelek mereka yang merupakan asas penting untuk memimpin
Malaysia yang lebih maju dan demokratik.

Sementara itu, 'performance' wakil-wakil dari pihak kerajaan iaitu
saudara Zain Isma dan Dato Suhaimi telah mendedahkan kebobrokan UMNO
dan ketidak mampuan UMNO untuk melahirkan pemimpin-pemimpin yang
rasional, yang mampu berhadapan dengan masyarakat dan mempertahankan
hujah mereka. Mereka juga mendedahkan kelemahan mereka sebagai pemimpin
yang tidak punya kapasiti intelek yang tinggi, pemimpin yang tidak ada
idea dan agenda yang jelas. Sedangkan mereka inilah yang akan
menggantikan pemimpin yang ada sekarang dan memandu Malaysia di alaf
baru. Hujah mereka dalam mempertahankan pendirian bahawa mahasiswa
tidak wajar menyertai politik kepartaian adalah amat lemah. Saudara
Zain Isma menyatakan bahawa mahasiswa dibenarkan berpolitik dalam
kampus dan ini tercerna dalam kebolehan mereka memimpin persatuan
mahasiswa. Pandangan beliau adalah amat sempit sekali. Berpolitik dalam
ertikata yang lebih luas ialah kemampuan menganalisa dasar-dasar
kerajaan dan membuat kritikan membina untuk memperbaiki perlaksanaan
dasar. Dato' Suhaimi pula walaupun menyatakan bahawa beliau telah lama
punya idealisme tetapi telah menjadi gelabah apabila dipersoalkan
tentang kehilangan idealisme beliau dalam mempertahankan kebenaran dan
keadilan. Kedua-dua tokoh muda UMNO ini menegaskan bahawa tugas
mahasiswa hanyalah belajar dan tidak perlu terlibat dalam parti-parti
politik kerana pelajar harus tahu bersyukur dengan kemudahan yang
mereka nikmati sekarang seperti pinjaman pelajaran, jambatan Pulau
Pinang (?). Mereka menyatakan bahawa semua kemudahan ini adalah hasil
dari kejayaan kerajaan Barisan Nasional dalam memimpin Malaysia.

Kita tidak mempersoalkan kejayaan Barisan Nasional dalam memimpin
negara selama ini dan kita akur dengan kejayaan BN tetapi yang kita
persoalkan ialah budaya politik yang tidak sihat seperti politik wang,
rasuah dan sebagainya yang semakin berleluasa tanpa tindakan yang
serius untuk menanganinya.  Apa yang kita tidak setujui ialah tindakan
yang tidak adil dalam melaksanakan dasar-dasar yang meluaskan lagi
jurang perbezaan antara yang kaya dan miskin. Apa yang kita tentang
ialah sekian banyak tindakan yang melanggar prinsip undang-undang dan
demokrasi. Apa yang kita bangkang ialah pemusatan kuasa yang
keterlaluan kepada Perdana Menteri yang memungkinkan beliau melakukan
apa sahaja untuk mengekalkan kuasa dan pelbagai lagi tindakan kerajaan
Barisan Nasional yang hanya akan menyebabkan Malaysia akan runtuh.
Malah apa yang lebih serius lagi ialah ketiadaan pemimpin pelapis di
dalam BN yang berwawasan jauh dan punya idea seperti yang ditonjolkan
oleh Zain Isma dan Dato' Suhaimi sedangkan wawasan dan idea adalah
prasyarat penting bagi seorang pemimpin yang unggul.

Sesungguhnya terdapat perbezaan yang ketara antara Zain Isma dan Dato'
Suhaimi dengan Mustaffa dan Mahfuz. Jika inilah tokoh-tokoh muda yang
ingin diketengahkan oleh UMNO, maka ianya adalah satu tragedi yang amat
menyedihkan. Kita sekali lagi akan dimalukan dimata umum dan dimata
dunia. Cukuplah kita dimalukan oleh Mokhtar Abdullah dan Augustine Paul
dengan mahkamah "sarkis" mereka. Janganlah kita dimalukan pula dengan
penampilan pemimpin muda UMNO yang bacul dan bankrap idea ini. Pemimpin
kaki bodek dan pak turut. Pemimpin yang telah terjajah sebelum dijajah.
Marilah kita bersama dibawah gabungan Parti Alternatif untuk menolak
pemimpin yang sebegini.
 

LAPORAN 2

Assalamu'alaikum...

     Saya berpeluang menyaksikan debat perdana yang diadakan di DECTAR, UKM
malam tadi. Sayang sekali, Hishamuddin Tun Hussein hanya menghantar
wakilnya, Sdr.Zain Isma, Exco Pemuda UMNO. Barisan panel malam tadi
hebat-hebat belaka. Sdr.Zaharuddin, Presiden Gamis, Sdr.Mahfuz, Ketua
Pemuda PAS, Sdr.Mustafa Kamil, Naib Ketua Pemuda keADILan, dan lalang tua,
Sdr.Suhaimi Ibrahim. Debat dipengerusikan oleh Prof.Madya Dr.Wan Ahmad
Mokhtar. Antara yang hadir ialah Naib canselor UKM sendiri, Prof.Dr.Dato'
Anwar Ali.

     Pusingan pertama dimulakan dengan semua ahli panel menyatakan
pendirian masing-masing tentang tajuk yang didebatkan, wajarkah mahasiswa
berpolitik. Mahfuz, Mustafa Kamil dan Zaharuddin menyatakan pendirian
bahawa mahasiswa sangat wajar untuk berpolitik, tidak kira di dalam kampus
atau di luar. Zain Isma pula, mahasiswa wajar berpolitik di dalam kampus,
tetapi kalau di luar, ada syarat. Suhaimi malam tadi benar-benar
menonjolkan ke'ampu'annya. Dia langsung tiada pendirian dan asyik
bercakap berpusing-pusing. Mahasiswa dan hadhirin yang ada dalam dewan
bersorak meminta beliau berhenti berucap. Sungguh memalukan.
     Pusingan kedua ialah membidas atau tindak balas terhadap
kenyataan-kenyataan ahli panel. Mahfuz membidas kenyataan Zain Isma dan
Suhaimi. Terlalu banyak yang dipersoalkan oleh Mahfuz yang saya
kira tidak dapat dijawab oleh Zain Isma dan Suhaimi . Jangkaan saya
tepat sekali apabila semua pernyataan balas dari Mahfuz tidak dijawab
dengan jujur oleh Zain Isma. Malah Zain Isma 'provoke' pula audience dalam
dewan yang telah melaung-laung meminta beliau berhenti berucap. Memang tak
matang langsung si Zain Isma itu. Bukan salah ibu mengandung, kesian dia.

     Pusingan seterusnya diteruskan dengan membuka ruang kepada hadirin
untuk bersoal jawab dengan ahli panel. Respon terlalu baik diberikan oleh
audience hingga pengerusi debat terpaksa menutup ruang untuk audience terus
bertanya. Seperti yang telah dijangkakan Mahfuz, Zaharuddin dan Mustafa
Kamil menjawab setiap soalan yang ditujukan dengan bernas sekali. Zain Isma
dan Suhaimi  terus berlayar dengan kapal buruk dan layar buruk
mereka, tanpa menjawab soalan.

     Kesimpulannya, AUKU memang banyak mengongkong mahasiswa. Apa yang
dicanangkan dan dinyatakan oleh Zain Isma dan Suhaimi  bahawa
mahasiswa bebas bersuara dan menegur pimpinan kerajaan yang dilihat
menyalah guna kuasa, adalah satu pembohongan yang terang dan tidak perlu
dipertikaikan lagi. Maka persoalan wajarkah mahasiswa berpolitik, memang
tidak wajar bagi pihak kerajaan pimpinan Dr.Mahathir. Akhirnya mahasiswa
terpaksa menerima hakikat bahawa mereka akan terus digari dan dirantai oleh
akta yang dicipta memang untuk menyekat pergerakan mahasiswa. Namun Zain
Isma ada menyatakan bahawa kalau tak puas hati dengan apa yang ada pada
hari ini, kita boleh mengubahnya dalam pilihanraya nanti, dah pulak!!!?
Secara peribadi, saya sebagai pemerhati memang berpuas hati dengan acara
debat itu. Saya kira, itulah debat perdana agung yang terakhir dapat
disaksikan abad ini. Terserlahlah di dalam acara debat itu bahawa wakil
dari parti kerajaan tidak pandai bercakap dan suka putar belit, sama
seperti parti yang didukungnya. Syabas untuk barisan warga kerja PMUKM dan
Persatuan Kakitangan Akademik UKM yang berkerja keras menjayakan acara
debat perdana yang hebat ini. Begitulah sedikit sebanyak yang dapat saya
garapkan di sini.
Sekian.