Bersekongkol dengan Penzalim


Empat kumpulan-Di Mana Anda?

Peristiwa pemecatan DSAI dan perbicaraannya telah melahirkan beberapa kumpulan utama di kalangan rakyat Malaysia:

i. Puak yang  percaya bahawa DSAI merupakan mangsa kezaliman dan konspirasi Dr. Mahathir (DRM) dan kuncu-kuncunya.  Kumpulan ini  diberi label gerakan Barisan Alternatif & Keadilan.

ii. Puak yang percaya 100%  bahawa DRM  telah melakukan sesuatu yang tepat; samada kerana DSAI benar-benar bersalah seperti didakwa atau kerana sebab-sebab lain.  Mereka bertindak  berdasarkan maklumat yang disogokkan kepada mereka

iii. Puak yang tidak ambil kisah benar atau salah tindakan DSAI atau DRM.

iv. Di sana terdapat satu puak lain  yang  tidak kurang  pentingnya walaupun bilangannya tidak begitu ramai.  Kumpulan ini terdiri daripada individu-individu  yang, walaupun tahu dan percaya bahawa DSAI merupakan mangsa konspirasi zalim DRM dan kroninya, tetapi  atas sebab-sebab tertentu mereka bekerja keras memerangi dan memusuhi DSAI dan orang-orang yang menyokong beliau. 

Mereka yang tergolong ke dalam kumpulan keempat ini bukan saja terdiri daripada tokoh-tokoh politik yang mengharapkan kedudukan dalam parti masing-masing dan kerajaan  tetapi  juga ketua-ketua  dalam beberapa Jabatan dan agensi Kerajaan seperti  badan kehakiman,  para  Ketua Pengarang dan Editor media utama, pemberita serta wartawan, penulis dan artis,dan paling ketara ketua dan anggota-anggota PDRM  terutama  yang  menganggotai  Jabatan SB dan  FRU.

Kebanyakan mereka tahu dan percaya bahawa apa yang dikenakan ke atas DSAI adalah konspirasi jahat politik.  Kebanyakan mereka yakin bahawa DRM telah melampaui batas dalam tindak-tanduknya. Kebanyakan mereka tahu bahawa DRM  tidak lagi layak menjadi pemimpin UMNO maupun Kerajaan.  Tetapi oleh kerana sebab-sebab dan kepentingan peribadi, mereka tetap juga menjadi pak turut dan agen dalam menjalankan konspirasi jahat DRM.  Mereka tetap bersedia menjadi jentera penaburan fitnah terhadap DSAI.  Mereka tetap mahu kebenaran DSAI dikaburi sedangkan kezaliman DRM diselindungi.  Puak-puak ini kita namakan konspirators.

Pendokong Falsafah Perutisme dan Perioknisme

Kenapa puak konspirators ini mengambil sikap demikian?  Kebanyakan pemimpin-pemimpin dalam kumpulan konspirators  ini mengambil sikap anti reformasi kerana mereka mengamalkan prinsip atau falsafah perutisme dan perioknisme.  Ini yang teramatlah jelas apabila dilihat orang-orang seperti Sanju, MegJu, RafAz, IsaSam, IbAl dan DaiZai.  Mereka adalah orang-orang yang mencetuskan fitnah terhadap DSAI kerana mereka tahu perut mereka kurang berisi dan periok nasi mereka terancam  jika DSAI terus berkuasa dan kelak menjadi PM. Mereka jelas mengetahui  bahawa DSAI tidak bersalah dan  sukar hendak dibuktikan bersalah… tetapi masih tetap berhempas-pulas menegakkan benang basah anjuran DRM.  Saksi-saksi palsu seperti UmHaf dan AzAB pula  juga bersekongkol dengan DRM, berani menggadaikan iman dan Islam mereka kerana  dendam dan imbuhan kewangan. Mereka tahu dan kita tahu mereka berdusta. Allah  Maha Melihat, Maha Mendengar.

Ketua-ketua Pengarang dan Editor Media utama negera juga termasuk golongan ini.  Mereka merasa terpanggil untuk mengolah berita dan cerita sekian rupa bukan kerana panggilan tugas kepada negara tetapi kerana panggilan perut yang menjanjikan hadiah lumayan kepada mereka yang dapat membuat propaganda terbaik anti-anwar.  Kita tahu dan mereka juga tahu bahawa mereka berdusta dan memutarbelitkan dalam propoganda mereka.  Allah melihat mereka.

Termasuk dalam golongan ini ialah orang-orang seperti PN, GP, Hakim AP, bekas Ketua Polis RN dan beberapa pegawai tinggi polis.  Mereka juga  dijanjikan hadiah lumayan jika mereka berjaya membuat satu plot yang menarik dan boleh diyakini bahawa satu perbicaraan adil  telah dilaksanakan.  Dengan dengan ‘bukti’ tilam, ‘pakar’ DNA, penyahan bukti, penukaran pertuduhan dan  halangan memanggil saksi, mereka sendiri tahu bahawa rakyat tahu yang mereka telah menjadikan perbicaraan mahkamah satu bahan olokan.  Mereka gagal menunjukkan bahawa mereka telah menjalankan satu perbicaraan yang adil dan saksama.  Tetapi puak-puak ini tetap  berkeras mengatakan bahawa ‘justice was done and seen to be done”.  Kita tahu dan mereka pun tahu bahawa mereka berdusta.  Allah mencatit segala amal.

Pemuka-pemuka kumpulan ini seperti di atas yang  sanggup berdusta, menyalahgunakan kuasa mereka,  memutarbelitkan fakta dan memusnahkan maruah dan hidup orang lain hanya kerana mempertahankan kedudukan  dan periok nasi mereka.   
 

Berhati-hati  Terlibat Dalam Konspirasi

Cukup diperturunkan terjemahan tiga potong ayat  al-Quran sebagai amaran kepada kumpulan ini. Allah Maha Benar.

Pertama:
Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang
beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau
perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya,
maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta
dan berbuat dosa yang amat nyata. (Al-Ahzaab:58)

Kedua:
Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang
terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang
kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan
di akhirat dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar.  Pada
hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi
terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.  Pada
hari itu Allah akan menyempurnakan untuk mereka balasan (azab seksa)
yang berhak mereka mendapatnya dan mereka pula akan mengetahui bahawa
Allah ialah Tuhan Yang Maha Adil, lagi nyata keadilanNya. (An-Nur:23 -
25)

Ketiga:

Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana kepada orang-orang
lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian
mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab Neraka Jahanam
(kerana perbuatan buruk itu) dan mereka akan beroleh lagi azab api yang
kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).  (Al-Buruuj: 10)
 

Yang di bawah bagaimana?

Siri ini telah melabel  mereka yang bersekongkol  dengan penzalim sebagai konspirators.  Siri ini juga telah melihat falsafah perutisme dan perioknisme yang melanda pemimpin-pemimpin golongan konspirators. 
Kita juga telah melihat amaran-amaran yang dijanjikan oleh Allah terhadap orang-orang yang sebegini.

Sekarang  mari kita lihat pula  mengenai anggota kumpulan konspirators di peringkat bawahan. Mereka- mereka ini terdiri daripada petugas-petugas dan jentera pelaksana yang berkerja di bawah arahan pemimpin- pemimpin konspirators.  Bagaimana dengan puak-puak ini?

Kita yakin bahawa motif yang menggerakkan kumpulan ini bukan semata-mata  perutisme dan perioknismet; walaupun  kewujudan motif sedemikian di kalangan sebahagian  anggota kumpulan ini tidak dapat dinafikan. 

Kadang-kadang timbul persoalan di benak kita… Adakah terdapat di kalangan petugas-petugas bawahan ini golongan yang seronok dengan kerja munkar ini?  Adakah terdapat di kalangan wartawan,  pegawai kerajaan, anggota SB dan FRU yang seronok dengan kerja-kerja anti-barisan alternatif, walaupun mereka tahu bahawa kumpulan ini adalah kumpulan yang benar, mereka sedar bahawa kumpulan ini dizalimi?  Adakah di sana terdapat kumpulan Muslim yang berada di  dalam jentera pelaksana konspirasi DRM yang tahu bahawa ianya adalah konspirasi kemungkaran tetapi  tetap melaksanakan perintah pemimpin- pemimpin konspirators  dengan rasa seronok atau menganggapnya sebagai satu hobi atau seperti meminum secawan teh?

Kita jawab.. Allahu a’lam… mungkin ada nauzuBillah…mungkin tiada alhamdulillah.

Tetapi jika memang wujud kumpulan sedemikian, samada kerana perutisme, perioknisme, seronok- seronok atau kerana hobi, maka ingatlah, azab dan balanya samalah seperti pemimpin-pemimpin konspirator yang mempunyai falsafah yang sama; samalah juga menelan bara api, samalah memakan upah yang haram, samalah menyuap anak isteri dengan makanan yang haram.

Yang di bawah tetapi terpaksa

Namun, tidak semua anggota-anggota ini yang sedemikian, Bahkan majoritinya mungkin tidak  langsung mendukung falsafah perutisme dan perioknisme.

Ini kerana  di kalangan kumpulan ini terdapat individu yang jelas tidak suka dengan apa yang mereka dikehendaki lakukan.  Di kalangan kumpulan ini terdapat manusia yang masih tinggi imannya dan kuat Islamnya.  Mereka ini mungkin  terlibat kerana terpaksa atau dipaksa. Di kalangan golongan ini ada yang mempunyai hati-kecil, dhamir, conscience yang sentiasa meronta-ronta minta dibebaskan.  Di kalangan mereka terdapat kumpulan yang benci dengan apa yang mereka diperintahkan tetapi apa kan daya tidak berupaya mengelakkannya.  Kumpulan yang  hatinya gundah-gelana apabila terpaksa melakukan kerja-kerja kotor anjuran DRM adalah kumpulan yang masih bersinar imannya.  

Mereka tahu bahawa jika benar tidak wujud konspirasi sedemikian  dan DSAI memang bersalah , masakan semua gerakan Islam dan tokoh ulama’ Islam yang berwibawa memberi sokongan 100% kepada beliau.

Terdapat di kalangan mereka orang-orang yang yakin bahawa menjatuhkan maruah DSAI dan keluarganya, menfitnah beliau, memutarbelitkan fakta, menyakiti kumpulan reformasi, mencederakan mereka, menangkap mereka, memonitor pergerakan mereka, merakam perbualan talipon mereka, menceroboh network mereka, memantau emel-emel dan surat mereka, menyiksa mereka dalam tahanan …. Semua ini adalah kemungkaran  tetapi mereka terpaksa menjadi agen pelaksana kemungkaran ini dengan perasaan kebencian yang amat sangat.  Mereka yakin dengan hadis Nabi (saw) bermaksud:

“Barang-siapa yang melihat kemungkaran, hendaklah diubahnya dengan
tangan, jika tidak mampu dubahnya dengan lidah, jika tidak mampu,
diubah dengan hati ( yakni dengan membencinya),  dan (membenci
kemungkaran) ini adalah selemah-lemah iman”. (Riwayat Imam Muslim)

Mereka tahu bahawa wang ringgit, gaji dan elaun yang diperolehi dengan
cara munkar adalah haram.  Mereka tidak redha anak-isteri mereka hidup
dengan darah daging bersumber yang haram.. tetapi mereka terpaksa juga
menerimanya kerana belum mempunyai alternatif yang sempurna.

Bagi individu-individu sebegini.. semoga Allah memberi keampunan kepada mereka.  Semoga Allah memberi jalan keluar kepada mereka dan memberikan rezeki yang halal bagi mereka.  Semoga Allah  membolehkan mereka menggunakan  kekuatan, kepakaran, kemampuan dan kebolehan mereka ke arah yang diredhai-Nya.  Semoga Allah mengizinkan mereka menjadi pejuang keadilan dan tidak lagi terlibat untuk bersekongkol dengan penzalim.

Kerana Taatkan Boss!

Di sana terdapat pula golongan lain yang melakukan kerja-kerja anti-keadilan, kerja zalim, kerja anti-perubahan, kerja menfitnah dan memutarbelitkan fakta, kerja memonitor email pejuang reformasi kerana TAATKAN BOSS.  Sudah tentu dia taatkan boss yang taatkan bossnya yang juga taatkan bossnya.  Maka taatnya kita kepada boss itu samalah seperti taatnya kita kepada DRM, sumber segala fitnah dan kebohongan, pusat segala penyelewengan, fitnah dan konspirasi.

Ingatlah pesanan Allah dalam Surah Saba’mengenai pertelagahan pemimpin dan pengikut di hari akhirat nanti:

……  Dan (sungguh ngeri) kalau engkau melihat ketika orang-orang yang
zalim itu dibawa berdiri di hadapan Tuhan mereka (untuk dihisab),
masing-masing tuduh menuduh antara satu dengan yang lain.  Orang-orang yang tertindas berkata kepada orang-orang yang sombong takbur (yang menjadi ketuanya): Kalaulah tidak kerana kamu (menindas dan memperdayakan kami), tentulah kami sudah menjadi orang yang beriman
[31]. 

Orang-orang yang sombong takbur itu menjawab kepada orang-orang yang
tertindas: Kamikah yang telah menghalang kamu daripada menerima hidayat
petunjuk sesudah ia datang kepada kamu? (Bukan kami yang menghalang)
bahkan kamulah yang menyebabkan diri sendiri menjadi orang-orang yang
berdosa. [32] 

Dan berkata pula orang-orang yang tertindas kepada orang-orang yang
sombong takbur itu: Tidak! Bahkan (yang menghalang kami daripada
beriman ialah) perbuatan kamu memperdaya kami malam dan siang, ketika
kamu menyuruh kami berlaku kufur kepada Allah dan mengadakan
sekutu-sekutu bagiNya. Akhirnya masing-masing diam sambil memendamkan
perasaan sesal dan kecewa semasa mereka melihat azab dan Kami pasangkan
belenggu-belenggu pada leher orang-orang yang kafir itu. Mereka tidak
dibalas melainkan dengan apa yang mereka telah kerjakan [33].  (Saba’)
 

Lagi Amaran Supaya Jangan  Taatkan Boss Membuta Tuli!
 

Pertama:

Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam Neraka, mereka berkata
(dengan sesalnya): Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia)
taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah.   Dan mereka berkata
lagi: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak
ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami
dari jalan yang benar.   Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara
dua kali ganda dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang
sebesar-besarnya!  (Al-Ahzaab: 66-68)

Kedua:

(Penjaga Neraka berkata kepada ketua-ketua golongan kafir dan
penderhaka itu):  Ini ialah serombongan (orang-orang kamu) yang masuk
berasak-asak bersama-sama kamu. (Ketua-ketua itu berkata): Mereka tidak
perlu dialu-alukan, kerana sesungguhnya mereka pun akan menderita
bakaran Neraka. 

Pengikut-pengikut mereka menjawab: Bahkan kamulah yang tidak perlu
dialu-alukan, kerana kamulah yang membawa azab sengsara ini kepada
kami, maka amatlah buruknya Neraka ini sebagai tempat penetapan. 

Mereka berkata lagi: Wahai Tuhan kami! Sesiapa yang membawa azab ini
kepada kami, maka tambahilah dia azab seksa berlipat ganda di dalam
Neraka. 
Dan penduduk Neraka itu tetap akan bertanya sesama sendiri:

Mengapa kita tidak melihat orang-orang yang dahulu kita kirakan mereka
sebagai orang-orang jahat (lagi hina)? 

Adakah kita sahaja jadikan mereka ejek-ejekan (sedang mereka
orang-orang yang benar)? Atau mata kita tidak dapat melihat mereka? 
(Sad: 59-63)

Ketiga:

Dan (ingatkanlah perkara yang berlaku) semasa orang-orang yang kafir
dan yang menderhaka berbantah-bantahan dalam Neraka, iaitu orang-orang
yang lemah (yang menjadi pengikut) berkata kepada pemimpin-pemimpinnya
yang sombong takbur:

Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut-pengikut kamu, maka dapatkah
kamu menolak dari kami sebahagian daripada azab Neraka ini? 

Orang-orang yang sombong angkuh itu menjawab: Sebenarnya kita semua
menderita bersama-sama dalam Neraka (tidak ada jalan untuk kita
melepaskan diri), kerana sesungguhnya Allah telah menetapkan
hukuman-Nya di antara sekalian hambaNya (Ghafir:47-48)

Who Laughs Last?

Orang yang zalim memperolok-olokkan, menzalimi, mentertawakan, memberi label-label yang bukan-bukan kepada orang-orang beriman, pejuang dan penegak kebenaran, tetapi siapakah yang  paling akhir ketawa?  One who laughs last laughs best… lihat petikan Surah Al-Mutaffifin di bawah:

Sesungguhnya orang-orang yang derhaka, mereka selalu tertawakan
orang-orang yang beriman. [29]

Dan apabila orang-orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka
mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya) [30].
 

Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali
dengan riang gembira; [31]

Dan apabila mereka melihat orang-orang yang beriman, mereka berkata:
Sesungguhnya orang-orang itu adalah golongan yang sesat! [32]

Pada hal mereka tidak diutus untuk menjaga sesat atau tidaknya
orang-orang yang beriman itu! [33]

Maka pada hari ini, orang-orang yang beriman pula tertawakan orang yang
kafir itu. [34]

Andakah yang akan mentertawakan atau mereka yang mentertawakan anda?
 

Apa Tindakan Anda Selanjutnya?

Semoga coretan ringkas ini dapat menyedarkan yang terlalai, mencelikkan yang tertidur, mengingatkan yang lupa dan membetulkan yang terpesong.  

Pilihannya jelas di depan anda:  Mahu terus bersekongkol dengan penzalim, dengan konspirators atau berpindah untuk memberi sokongan dan bantuan kepada pejuang keadilan dan kebenaran?  Tepuk dada tanya iman… ask your conscience.

Cukup sudah kita diperbudak-budakkkan, diperbodoh-bodohkan.  Cukup sudah kita disesatkan dan diperkudakan oleh konspirators. Masa untuk DRM pergi sudah tiba.  Mari kita tentang konspirasi DRM dan kuncu- kuncunya, dan kita sokong perjuangan Barisan Perjuangan Alternatif. 

Mari bertaubat dan kembali ke jalan  yang diredhai Allah.  Marilah kita gunakan kedudukan, kepakaran, keupayan yang Allah berikan untuk jalan yang diredhai-Nya.  Bagaimana?  Itu terpulang kepada kreativiti dan inisiatif anda.  Misalnya, jika anda wartawan/journalis/penulis. Gunakan keupayaan anda untuk menulis yang benar dan tunjukkan kezaliman pemerintah masa kini.  Jangan jadikan anda agen penyebar fitnah dan cerita bohong.  Sebarkan kesedaran kepada  rakyat mengenai kezaliman konspirators dan bahaya membiarkan mereka terus berkuasa.  Ajak rakyat menggunakan kuasa  di peti undi menolak penzalim.

Jika anda petugas PDRM, gunakan kuasa anda dengan cermat dan berhati-hati.  Tunjukkan rasa belas kasihan dan simpati kepada mangsa kezaliman.  Gunakan keupayaan anda untuk memberi kemudahan dan laluan kepada pejuangan keadilan menjalankan aktiviti murni mereka.

Bagi petugas-petugas lain.. anda mesti kreatif untuk memanfaatkan tugas anda untuk kebaikan rakyat dan perjuangan menegak keadilan. Sekurang-kurangnya, anda boleh maklumkan perancangan busuk puak-puak konspirators kepada pejuang-pejuang keadilan agar mereka bersedia menghadapinya.

Jangan lupa.. Selamatkan juga rakan-rakan anda..sebarkan  risalah ini kepada mereka