AMARAN TUTUP SEKOLAH AGAMA JIKA HASUT PELAJAR
 

ISU 

Menteri di Jab Perdana Menteri Dato' Hamid Othman mendakwa ada guru-guru di sekolah agama yang menghasut anak-anak murid mereka supaya memijak gambar pemimpin dan menujahnya dengan benda-benda tajam. Beliau berkata bahawa Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sekolah berkenaan termasuk menutup Sekolah tersebut. 
 

ULASAN 

Ini satu lagi amaran yang tidak munasabah dari pemimpin Kerajaan. Ia 
menunjukkan betapa kerajaan kini sudah begitu mengelabah sehingga anak-anak murid, guru dan sekolah turut diancam untuk diambil tindakan. Sebelum dari ini pun kita telah mendengar pelbagai ugutan kepada beberapa pehak seperti kakitangan kerajaan, pelajar dan pensyarah, guru-guru, peneroka dan peniaga. Tetapi amaran di atas benar-benar mendedahkan bahawa Kerajaan sekarang ini benar-benar tidak mempunyai kewibawaan untuk memimpin.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato' Hamid Othman adalah petanda jelas bahawa semua peringkat umur, termasuk kanak-kanak, kalau betul seperti yang didakwa oleh beliau, telah menolak kerajaan Barisan Nasional khususnya UMNO dan Dr Mahathir. 

Sesuatu yang menjadi tanda tanya rakyat ialah apakah perlunya kenyataan/ ugutan itu dikeluarkan. Apakah amalan menghina pemimpin seperti yang digambarkan oleh kenyataan di atas oleh kanak-kanak begitu berleluasa sehingga Hamid Othman perlu mengeluarkan amaran tersebut. Kita percaya bahawa amalan memijak gambar pemimpin ini mungkin berlaku di satu dua tempat, tetapi adakah ini dianggap sesuatu yang boleh mencabar kedudukan BN sehingga sekolah di mana peristiwa ini berlaku diancam akan ditutup. Kalau benar, ini menunjukkan bahawa BN benar-benar 'terasa' bahawa rakyat sudah menolaknya, sehingga peristiwa gambar pemimpin dipijak oleh anak sekolah sahaja menyebabkan mereka cepat melenting dan terus mengeluarkan amaran akan menutup sekolah yang mana ianya tidak masuk akal sama sekali... 

BN sebenarnya hidup dalam ketakutan akan kehilangan kuasa pada pilihanraya akan datang. Maka sebab itu semakin menjelang pilihanraya kita semakin banyak mendengar pelbagai ugutan dari pehak Kerajaan kepada semua pehak yang dirasakan telah menolak kepimpinan BN. Dengan adanya pendedahan di atas maka jelaslah bahawa keseluruhan profil masyarakat dari semua peringkat umur kini telah menolak kerajaan BN. 

PAS ingin mengingatkan bahawa rakyat pada hari ini tidak akan tunduk kepada ugutan UMNO. UMNO dan kerajaan BN boleh terus mengeluarkan amaran dan ugutan kepada rakyat yang menolaknya. Hakikatnya ialah ugutan dan amaran ini hanya menguatkan semangat rakyat untuk 'bertekad mencapai kemenangan. 

Bagi PAS ugutan-ugutan yang semakin kerap itu yang kini ditujukan kepada semua peringkat umur menunjukkan bahawa UMNO memang sudah terdesak. Orang yang berkuasa tetapi diancam oleh kekalahan pastilah akan menggunakan psikologi ugut untuk memaksa rakyat mengundi mereka. Walaubagaimanapun politik ugut tidak akan mengubah pendirian rakyat. Rakyat sudah bertekad untuk menumbangkan kerajaan BN meskipun mereka diugut dengan pelbagai cara. 
 

 


home | Dewan Ulama' | Dewan Pemuda | Dewan Muslimat | search 

Beritahu Kami Cadangan Anda! webmaster@parti-pas.org 
Masalah Teknikal? webmaster@parti-pas.org 
Parti Islam Se Malaysia (PAS)   +   Markaz Tarbiyyah PAS, Lrg Hj Hassan, Tmn Melewar,   +   68100 Batu Caves, Selangor, Malaysia  
Phone: 603-6899296   +   Fax: 603-6869618  +   E-mail: webmaster@parti-pas.org