BERITA MALAYSIA


June 08 , 1999 16:48PM

 

HAKIM TARIK BALIK "PERINTAH MENGHALANG" DALAM KES LIWAT ANWAR


Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah bersama panel pendakwa raya berbincang sesuatu pada perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.


KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ariffin Jaka hari ini menarik balik "perintah menghalang" peguam atau mana-mana pihak membuat ulasan atau kenyataan berkaitan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ariffin berkata pada fikirannya, perintah itu tidak perlu.

"Saya tidak merasa perlunya untuk memberi perintah bagi menghalang pihak akhbar atau sesiapa sahaja, baik peguam atau orang awam, daripada melaporkan atau menyatakan apa-apa mengenai prosiding di mahkamah ini.

"Perintah seperti itu akan diintepretasikan sebagai menyekat kebebasan akhbar dan kebebasan bercakap seperti yang termaktub dalam Perlembagaan (Persekutuan)," katanya ketika mengetepikan printah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Patail, yang dibuat pada 4 Mei.

Abdul Wahab membuat perintah itu apabila kes tersebut didengarnya untuk sebutan pada hari berkenaan.

Menurutnya media tempatan dan asing, bebas membuat laporan mengenai apa yang berlaku di mahkamah dan mengenai prosiding itu selagi laporan mereka dalam lingkungan yang dibenarkan oleh undang-undang.

Bagaimanapun katanya, media perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan bersedia menghadapi akibatnya jika laporan mereka bersifat penuh kebencian, dan perintah itu terpakai kepada setiap orang termasuk peguambela.

Di kandang tertuduh ialah bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, 51, dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 38, yang menghadapi dua tuduhan berasingan tetapi serupa kerana melakukan persetubuhan di luar tabii dengan Azizan Abu Bakar.

Azizan ialah bekas pemandu isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Semalam, Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah memohon, bagi kali kedua, menukar tarikh kesalahan itu didakwa dilakukan kepada "satu malam antara Januari dan Mac 1993" daripada "1994" seperti dalam pertuduhan asal dan daripada "1992" seperti tuduhan pindaan pada 4 Mei.

Pertuduhan yang dipinda semalam menyebut kesalahan itu didakwa dilakukan di Unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar, di sini, pada suatu malam pukul 7.45 antara Janauri dan Mac 1993.

Sukma, pemilik butik, menghadapi satu lagi pertuduhan bersubahat dengan Anwar dalam melakukan kesalahan itu pada masa dan tempat yang sama.

Abdul Wahab semasa membuat "perintah menghalang", juga mengeluarkan amaran supaya media yang melanggar perintah itu dilarang memasuki mahkamah.

Anak sulung Anwar, Nurul Izzah yang bercakap kepada pemberita bagi pihak keluarganya selepas mahkamah ditangguhkan, berkata mereka gembira dengan keputusan Ariffin.

Menurutnya keluarganya percaya sepenuhnya bahawa "perintah menghalang" itu tidak adil dan tidak mengikut perlembagaan dan mereka kini berharap media akan adil dalam membuat liputan perbicaraan itu.

Terdahulu, peguambela Sukma, Karpal Singh mempertikaikan bahawa perintah itu tidak mengikut perlembagaan kerana ia bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan.

Menurutnya mahkamah mempunyai bidang kuasa mengetepikan perintah awal walaupun perkara itu sudah dibawa ke Mahkamah Rayuan.

Dalam jawapan balas, Timbalan Kanan Pendakwa Raya Azahar Mohamed berkata pihak pendakwaan menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan perkara itu kerana perintah berkenaan dibuat berikutan kenyataan di luar mahkamah oleh Karpal.

Menurutnya, kenyataan tidak tepat dan menghina mahkamah oleh mana-mana pihak boleh membawa kepada prosiding menghina mahkamah terhadap pihak berkenaan. -- BERNAMA

 


Copyright ©1998 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.