BADAN EKSEKUTIF
 
Badan Eksekutif berfungsi sebagai badan pentadbiran dan pelaksanaan undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan. Pada hakikatnya kebanyakan kuasa eksekutif terletak kepada Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberikuasa oleh Jemaah Menteri untuk menjalankannya[1].

Perlantikan Jemaah Menteri adalah bertujuan untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong dalam menjalankan tugas-tugasnya[2]. Pada dasarnya Jemaah Menteri atau Kabinet di Malaysia terdiri daripada :

a. Perdana Menteri

Perdana Menteri (selepas ini disebut sebagai PM) adalah merupakan ketua kepada Jemaah Menteri yang dilantik dan merupakan jawatan yang terpenting di Malaysia. Lantikan jawatan ini kepada seseorang yang berkelayakan adalah berdasarkan kepada budibicara Yang Di-Pertuan Agong (selepas ini disebut sebagai YDPA)[3]. Beliau hendaklah merupakan seorang ahli Dewan Rakyat dan dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong[4], yang pada pendapat baginda beliau akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat.

PM mempunyai kuasa untuk mencalonkan sesiapa sahaja untuk dilantik oleh YDPA sebagai menganggotai kabinetnya. Selaku Ketua Kabinet, maka PM juga akan mempengerusikan mesyuarat yang diadakan setiap minggu sekali sebagaimana yang ditetapkan. Oleh yang demikian, perjalanan mesyuarat tersebut akan dikendalikan dan dikuasai oleh PM sepenuhnya.

PM juga berperanan sebagai ketua pentadbir negara yang mempunyai kata putus dalam menentukan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan. Untuk melayakkan seseorang menjadi PM, maka beliau hendaklah merupakan seorang ketua parti yang memerintah negara pada masa yang material. Keadaan ini diputuskan melalui perolehan kerusi yang terbanyak dalam Dewan Rakyat selepas tiap-tiap kali pilihanraya dijalankan. Beliau akan memegang jawatannya selagi beliau mendapat kepercayaan (confidence) sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat[5]. Sekiranya kepercayaan ini sudah gagal beliau perolehi, maka terdapat dua cara yang perlu dilakukannya ; meletak jawatan bersama-sam menteri kabinetnya atau membubarkan Parlimen dengan persetujuan YDPA[6]. Walaubagaimanapun, YDPA boleh, dengan kuasa yang ada padanya untuk memecat seseorang PM yang enggan meletakkan jawatannya sekiranya PM tersebut sudah hilang kepercayaan oleh sebilangan ahli dewan yang lain melalui undi tidak percaya yang dijalankan terhadapnya dan YDPA sendiri tidak bersetuju dengan keputusan PM untuk membubarkan Parlimen.

Boleh dikatakan bahawa kuasa-kuasa PM adalah kebanyakannya tersirat dalam konvensyen dan dan hanya beberapa keadaan sahaja ianya terdapat dala Perlembagaan Persekutuan.

b. Timbalan Perdana Menteri

Jawatan ini adalah merupakan suatu jawatan yang tiodak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan secara khusus, namun ianya adlah terletak di bawah suatu konvensyen. Beliau akan menjalankan tugas-tugas PM semasa ketiadaan PM dan beliau juga akan mengambilalih tempat PM sekiranya PM meninggal dunia semasa masih dalam jangka tugas jawatannya.

c. Menteri-menteri Lain Dalam Kabinet

Tanggungjawab menteri-menteri Kabinet adalah merupakan suatu konvensyen perlembagaan yang penting di negara kita yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen. Antara tanggungjawab mereka adalah :

1. Tanggungjawab menteri secara individu terhadap Parlimen

Tanggungjawab ini terkandung dalam dua aspek iaitu setiap menteri adalah bertanggungjawab kepada Parlimen atas segala tindakan peribadinya dan setiap menteri adalah bertanggungjawab kepada Parlimen atas segala tindakan (act) atau ketinggalan (omission) yang dilakukan oleh kementeriannya atau kakitangan dan pegawai-pegawai atasan kementeriannya[7].

Oleh yang demikian, setiap menteri tidak patut terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh menjatuhkan meruah Parlimen seperti skandal seks, rasuah atau salahguana kuasa. Beliau juga mestilah memantau segala perjalanan kementeriannya bagi memastikan ianya sejajar dengan kehendak yang telah ditentukan oleh perundangan dan pemerintahan negara.

2. Tanggungjawab Kabinet atau Jemaah Menteri secara kolektif atau bersesama terhadap Parlimen

Tanggungjawab ini merupakan suatu tanggungjawab yang bersifat bergerak secara berjamaah atau satu pasukan dalam memastikan kesinambungan pembangunan negara akan dapat dicapai dengan jayanya. Garis panduan tanggungjawab ini adalah merupakan suatu konvensyen yang telah dikanunkan[8].

Mereka juga bertindak dalam memberikan persetujuan dan sokongan terhadap segala dasar dan keputusan yang dibuat oleh kabinet. Sekiranya mereka tidak berpuashati terhadap dasar tau keputusan tersebut mereka hendaklah samada menerima keputusan yang dibuat atau meletakkan jawatannya sebagai menteri kabinet.

Mereka juga bertanggungjawab secara kolektif dan bersesama dalam meletakkan jawatan apabila suatu undi tidak percaya terhadap seseorang PM telah dilakukan atau keputusan PM meletakkan jawatan telah berlaku[9].

PERANAN AHLI PARLIMEN

Mereka juga bertanggunjawab dalam soal-jawab dalam Parlimen. Mereka berhak menyoal menteri yang berkenaan tentang hal-ehwal dan perjalanan dalam kementeriannya. Mereka juga berperanan dalam mengambil bahagian dalam perdebatan atas titah ucapan DiRaja mengenai belanjawan dan laporan Jawatankuasa Akaun Umum atau Awam. Seterusnya, mereka juga berhak mengemukakan suatu usul (motion) di Parlimen meminta apa-apa perkara yang menyentuh dan melibatkan pentadbiran kerajaan semasa suatu ucapan penangguhan (adjournment speech) pada akhir suatu persidangan Parlimen untu hari yang berkenaan. Namun demikian, ucapan penangguhan tidak boleh dilakukan dalam mesyuarat pertama persidangan Parlimen atau dalam mesyuarat di mana suatu rang undang-undang perbekalan (supply bill) sedang dipertimbangkan di Parlimen.

Usul (motion) yang boleh dikemukan oleh setiap ahli Parlimen untuk dibahaskan dengan segera hendaklah melibatkan kepentingan awam[10]. Walaubagaimanapun, ianya tertakluk kepada syarat-syarat berikut iaitu :

a. perkara yang hendak dibincangkan itu hendaklah suatu perkara yan perlu disegerakan

b. hanya perkara yang tertentu sahaja yang boleh dibincangkan

c. ianya mestilah perkara yang melibatkan kepentingan awam.

Walaubagaimanapun, kebenaran Yang DiPertua Dewan Rakyat hendaklah diperolehi terlebih dahulu sebelum ianya dapat diteruskan.

PERANAN PEMBANGKANG

Walaupun dalam polisi sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi adalah prinsip check and balance adalah merupakan konsep yang amat penting, namun, ianya tidaklah diamalkan secara menyeluruh di Malaysia pada masa ini. Peranan ini merupakan peranan yang dimainkan oleh pembangkang dalam memastikan jentera pentadbiran kerajaan adalah dijalankan dengan garis panduan yang ditetapkan dan demi kemajuan seluruh rakyat.

Di Malaysia, pembangkang tidak diberikan masa yang secukupnya di Parlimen dalam sessi soal-jawab yang dijalankan bagi menyoal menteri-menteri yang terbabit. Mereka juga disekat dalam banyak hal termasuklah kebebasan akhbar dan media-massa yang secara tidak langsung menyukarkan peranan pembangkang untuk membincangkan serta membahaskan isu-isu politik yang penting yang melibatkan pihak kerajaan dalam mengkritik serta mempersoalkan dasar-dasar kerajaan bagi membetulkan keadaan.

DISEDIAKAN OLEH :

LAJNAH UNIT GUAMAN & UNDANG-UNDANG
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PULAU PINANG

--------------------------------------------------------------------------------

[1] Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan.

[2] Perkara 43(1) Perlembagaan Persekutuan.

[3] Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

[4] Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

[5] Perkara 43(4) Perlembangaan Persekutuan.

[6] Perkara 40(2)(b) & 55(5) Perlembangaan Persekutuan.

[7] Menteri Pertanian, Aziz Ishak telah dipaksa meletakkan jawatannya kerana didapati tidak bersetuju dengan ahli-ahli kabinet yang lain. Juga lihat kepada kes Abdul Rahman Talib v  Seenivasagam & Anor (1966) 2 MLJ 66.

[8] Perkara 43(3) Perlembangaan Persekutuan.

[9] Perkara 43(4) Perlembangaan Persekutuan.

[10] M. Puthucheary.