BADAN KEHAKIMAN

Bagi memperlengkapkan pengetahuan kita berkenaan dengan perundangan di Malaysia, maka adalah wajar untuk mengetahui hierarki mahkamah yang sedia ujud di Malaysia dalam menjalankan serta memperlengkapkan sistem kehakiman yang diamalkan di Malaysia pada masa sekarang ini.

HIERARKI MAHKAMAH SIVIL DI MALAYSIA

MAHKAMAH PERSEKUTUAN
^
MAHKAMAH RAYUAN
^
MAHKAMAH TINGGI DI MALAYA / SABAH & SARAWAK
^
MAHKAMAH SESYEN
^
MAHKAMAH MAJISTRET
^
MAHKAMAH PENGHULU / ANAK NEGERI / BUMIPUTERA

MAHKAMAH PERSEKUTUAN

Menurut Perlembagaan Persekutuan[1], antara bidangkuasa Mahkamah Persekutuan di Malaysia adalah :

a. untuk memutuskan rayuan terhadap keputusan-keputusan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau seseorang hakimnya.

b. apa-apa bidangkuasa asal (original jurisdiction) atau bidangkuasa menasihat (advisory jurisdiction) sebagaimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan[2]; dan

c. apa-apa bidangkuasa lain sebagaimana yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang Persekutuan.

Selain dari itu, dengan terdapatnya pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan[3], kebenaran daripada seorang hakim Mahkamah Persekutuan mesti diperolehi terlebih dahulu sebelum memulakan apa-apa prosiding untuk mendapatkan suatu penetapan atau deklarasi (declaration) bahawa mana-mana undang-undang yang berkaitan adalah tidak sah yang berdasarkan kepada Perkara 4(3) Perlembagaan Persekutuan.

Akta Mahkamah Kehakiman 1964 juga telah dipinda oleh Seksyen 17 Akta Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 1995 yang memperuntukkan bahawa :

Apa-apa prosiding yang belum selesai di hadapan Mahkamah Agung pada 23 Jun 1994 hendaklah disambung atau diteruskan, megikut mana-mana yang berkenaan, di hadapan Mahkamah Persekutuan dan bagi maksud ini, Mahkamah Persekutuan hendaklah mempunyai dan menjalankan semua kuasa Mahkamah Agung sebelum 24 Jun 1994.

Dengan adanya pindaan tersebut menunjukkan bahawa bidangkuasa yang dipunyai oleh Mahkamah Persekuan adalah menyamai bidangkuasa Mahkamah Agung sebagaimana sebelum berkuatkuasanya pindaan tersebut. Dalam kes Tan Boon Kean v PP[4], Mohd Azmi FCJ dengan merujuk kepada ratio dalam kes Khoo Hi Chiang v PP[5] telah menyatakan bahawa :

Bagi tujuan melenyapkan sebarang keraguan (doubts), kami perlu menekankan juga bahawa kami adalah terikat dengan ratio dalam kes Khoo Hi Chiang di mana tanggungjawab mahkamah pada penutup kes pendakwa adalah untuk membuat satu penilaian maksima keterangan-keterangan yang ada.

Dalam kes Dalip Bhagwan Singh v PP, mahkamah telah memutuskan bahawa Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah agung yang lama sebelumnya boleh menyimpang (to part) daripada keputusan-keputusannya sendiri yang terdahulu (its own previous decisions). Tetapi walaubagaimanapun, kuasa tersebut hendaklah dilakukan dengan berhati-hati. Sekiranya terdapat dua keputusan Mahkamah Persekutuan yang bercanggah, maka keputusannya yang terkemudian (terkini) akan mengatasi keputusannya yang terdahulu.

MAHKAMAH RAYUAN

Mahkamah Rayuan mula diperkenalkan dalam struktur hierarki mahkamah di Malaysia pada tahun 1994. penubuhannya bertujuan untuk mewujudkan saluran tambahan bagi mendengar kes-kes rayuan daripada Mahkamah Tinggi dan juga bertujuan untuk mengurangkan beban Mahkamah Persekutuan untuk mendengar kes0kes rayuan yang dibawa di hadapannya.

Menurut Perlembagaan Persekutuan[6], bidangkuasanya adalah untuk memutuskan kes-kes rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan apa-apa bidangkuasa lain sebagaimana yang diberikan atau di bawah undang-undang Persekutuan. Dalam kes Dalip Bhagwan Singh (supra), mahkamah telah memutuskan bahawa Mahkamah Rayuan di Malaysia secara umumnya terikat dengan semua keputusannya sendiri melainkan jika terdapat pengecualian tertentu seperti yang diperuntukan dalam kes Young v Bristol Aeroplane (1994) yang membenarkan Mahkamah Rayuan di malaysia untuk menyimpang daripada keputusan sendiri yang terdahulu.

MAHKAMAH TINGGI

Mahkamah Tinggi di malaysia adalah terikat kepada keputusan-keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Walaubagaimanapun, keputusan-keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi akan mengikat mahkamah bawahan (subordinate courts). Namun begitu, hakim Mahkamah Tinggi tidak terikat dengan keputusan yang dibuat oleh hakmi Mahkmah Tinggi yang lain tetapi ia berhak mengikutinya.

Dalam kes Sundralingam v Ramanathan Chettiar[7], Azmi CJ telah menyatakan bahawa :

Dalam situasi ini kami patut mencontohi amalan di England, di mana hakim Mahkamah Tinggi tidak akan membalikkan keputusan hakim yang lain tetapi hanya boleh tidak bersetuju dengan keputusan itu dan memberi keputusannya sendiri. Ini merupakan amalan di negara ini...

MAHKAMAH BAWAHAN / RENDAH

Secara amnya, mahkamah-mahkamah bawahan di Malaysia adalah tidak terikat dengan keputusan mereka sendiri, tetapi walaubagaimanapun, ianya masih terikat dengan keputusan yang dibuat oleh mahkamah atasan (superior courts).

Di Malaysia terdapat beberapa mahkamah bawahan iaitu :

a. Mahkamah Sesyen

Akta Mahkamah Rendah 1948[1] memperuntukkan bidangkuasa Mahkamah Sesyen yang inter alia adalah :

1) membicarakan kes-kes kemalangan kenderaan bermotor, tuan rumah dan penyewa (landlord and tenant), distress; dan

2) bidangkuasa sivil bagi amaun yang tidak melebihi RM250,000-00.

3) bidangkuasa jenayah bagi membicarakan serta memutuskan kesalahan-kesalahan yang lain daripada kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman mati[2].

4) meminta rekod apa-apa prosiding yang dijalankan di hadapan Mahkamah Majistret dan Mahkamah Penghulu[3].

b. Mahkamah Majistret

Akta Mahkamah Rendah 1948[4] juga menggariskan bidangkuasa yang diperuntukkan kepada Mahkamah Majistret dalam menjalankan kuasanya. Terdapat dua bahagian yang utama iaitu :

1) Bidangkuasa Majistret Kelas Pertama

Antara tindakan guaman yang boleh dibicarakan serta diputuskan oleh Majistret Kelas Pertama adalah :

a) segala tindakan guaman sivil yang amaun dalam pertikaiannya adalah tidak melebihi RM25,000-00.

b) membicarakan serta memutuskan hukuman bagi kesalahan-kesalahan jenayah yang penghukumannya adalah tidak melebihi lima tahun penjara / denda sebanyak RM10,000-00 / sebat sehingga 12 kali[5] / gabungan mana-mana hukuman yang disebutkan tersebut / kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sahaja[6] / kesalahan-kesalahan di bawah seksyen-seksyen 392 dan 457 Kanun Keseksaan[7].

2) Bidangkuasa Majistret Kelas Kedua

Ianya termaktub dalam Akta[8] yang sama antaranya :

a) guaman asal tuntutan sivil yang tidak melebihi RM3,000-00 samada beserta faedah atau sebaliknya[9],

b) kesalahan-kesalahan jenayah yang melibatkan penghukuman yang tempoh penjara maksimumnya tidak melebihi 12 bulan penjara atau denda sahaja[10],

c) tempoh penjara tidak melebihi 6 bulan / denda tidak melebihi RM1,000-00 / gabungan kedua-dua hukuman tersebut[11].

c. Mahkamah Penghulu (bagi Malaysia Barat sahaja)

Seksyen 94[12] memperuntukkan bahawa bagi tindakan guaman sivil tuntutan yang dibenarkan adalah tidak melebihi RM50-00 serta kesemua pihak yang terbabit adalah dari bangsa Asia yang bertutur serta memahami Bahasa Melayu. Mahkamah ini juga boleh menjatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM25-00[13]. Manakala bagi bidangkuasa jenayah[14] pula, ia hanya boleh mendengar serta membicarakan seterusnya menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan kecil sahaja yang mana awardnya adalah termaktub dalam seksyen 96.


DISEDIAKAN OLEH :LAJNAH UNIT GUAMAN & UNDANG-UNDANG, DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PULAU PINANG

--------------------------------------------------------------------------------

[1] Perkara 121(2).

[2] Perkara 128 dan Perkara 130.

[3] Seksyen 2 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1994 yang meminda Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

[4] (1995) 3 MLJ 514.

[5] (1994) 1 MLJ 265.

[6] Perkara 121(1B).

[7] (1967) 2 MLJ 211.