Make your own free website on Tripod.com

Peruntukan Undang-Undang Berkaitan Demonstrasi

Demonstrasi perlu ditangani dengan bijaksana dan berlandaskan undang-undang supaya tindakan yang diambil tidak dicabar oleh mana-mana pihak. Oleh yang demikian pegawai dan anggota polis mestilah memahami peruntukan undang-undang, kesalahan-kesalahan yang boleh berlaku dalam sesuatu demonstrasi serta kuasa-kuasa polis untuk bertindak terhadap mereka yang terlibat dalam satu satu tunjuk perasaan. Berikut diperturunkan pelbagai peraturan yang terdapat kuasa-kuasa dalam undang-undang negara.

Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336)

Seksyen 14 - Kelakuan Aib

Sesiapa pun yang menggunakan perkataan-perkataan yang kurang sopan, mengugut, aib atau menghina atau berkelakuan dengan cara yang mengugut atau menghina atau menampalkan atau melekatkan atau mempamerkan sebarang kertas bertulis atau lukisan yang kurang sopan mengugut aib atau menghinakan dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan atau di mana keamanan mungkin terganggu boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM100.

Seksyen 31 - Tangkapan

mana-mana pegawai polis boleh menangkap tanpa waran sesiapa pun yang melakukan kesalahan ini yang dilihatnya atau mensyaki dengan munasabah melakukan kesalahan ini melainkan orang tersebut memberi nama dan alamatnya dan memuaskan pegawai berkenaan yang ia akan mematuhi menjawab mana-mana saman atau perbicaraan yang mungkin diambil terhadapnya.

Akta Polis 1967 (Akta 344)

Seksyen 27 - Kuasa untuk mengawalselia perhimpunan, perjumpaan dan perarakan

1.     Mana-mana pegawai penjaga daerah polis atau mana-mana pegawai polis yang diberi kuasa dengan sewajarnya secara bertulis olehnya boleh mengarahkan, dengan apa-apa cara yang difikirkannya patut perjalanan di tempat-tempat awam dalam daerah polis itu semua perhimpunan, perjumpaan dan perarakan orang atau kenderaan dan boleh menetapkan jalan manakah dan waktu bilakah, perhimpunan atau perjumpaan itu boleh diadakan atau perarakan boleh lalu.

2.     Mana-mana orang yang berniat mengadakan atau mengumpukan mana-mana perhimpunan atau perjumpaan atau membentuk sesuatu perarakan di mana-mana tempat awam yang tersebut dahulu, hendaklah sebelum mengadakan, mengumpulkan atau membentuk perhimpunan, perjumpaan atau perarakan  itu, membuat kepada pegawai penjaga daerah polis di mana perhimpunan, perjumpaan perarakan itu akan diadakan suatu permohonan untuk mendapatkan lesen bagi maksud itu, dan jika pegawai polis itu berpuas hati bahawa perhimpunan, perjumpaan atau perarakan itu tidak mungkin memudaratkan kepentingan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau membangkitkan kekacauan keamanan, dia hendaklah mengeleuarkan lesen dalam bentuk yang ditetapkan dengan menyatakan nama pemegang lesen itu dan menerangkan syarat-syarat atas mana perhimpunan, perjumpaan atau perarakan dibenarkan.

3.     Kuasa Polis - Mana-mana pegawai polis boleh menghentikan mana-mana perhimpunan, perjumpaan atau perarakan yang mengenainya lesen telah tidak dikeluarkan atau setelah dikeluarkan telah kemudiannya dibatalkan di bawah sub-seksyen (2) atau yang melanggar mana-mana syarat-syarat sesuatu lesen yang telah dikeluarkan mengenainya di bawah sub-seksyen tersebut; dan mana-mana pegawai polis boleh memerintahkan orang-orang dalam perhimpunan, perjumpaan dan perarakan itu bersurai.

4.     Mana-mana orang tak mematuhi apa-apa perintah yang diberi di bawah sub-seksyen (1) atau sub-seksyen (3) adalah melakukan satu kesalahan.

5.     Apa-apa perhimpunan, perjumpaan atau perarakan

a.      yang berlaku tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah sub-seksyen (2); atau

b.     di mana tiga orang atau lebih yang mengambil bahagian mengabai atau enggan menurut apa-apa perintah yang diberi di bawah subseksyen (1) atau subseksyen (3) hendaklah disifatkan sebagai suatu perhimpunan haram, dan semua orang yang hadir, dijumpai di atau mengambil bahagian dalam perhimpunan atau perarakan itu dan, berkenaan dengan perhimpunan, perjumpaan dan perarakan yang tiada lesen telah dikeluarkan baginya, semua orang hadir, dijumpai di atau mengambil bahagian dalam atau bersangkut paut dengan mengadakan, mengumpul atau mengarah perhimpunan, perjumpaan atau perarakan itu, adalah melakukan suatu kesalahan.

6.     Hukuman - Mana-mana orang yang melakukan satu kesalahan di bawah seksyen ini boleh apabila disabitkan dikenakan denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit tetapi tidak lebih daripada RM10,000 dan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun.

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301)

Seksyen 11 - Dokumen bercetak hendaklah mengandungi nama pencetak dan penerbit

1.     Tiap-tiap hasil penerbitan yang bercetak atau diterbitkan dalam Malaysia hendaklah dicatitkan nama dan alamat pencetak dan penerbitnya dengan mudah dibaca dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris pada lembaran pertama atau akhir.

2.     Tiada seorang pun boleh menerbit, menghasilkan semula, menjual, mengelilingi atau menggeran atau menawarkan untuk menerbit, menghasil semula, menjual, mengelilingi, atau mengedar apa-apa hasil penerbitan yang tidak mempunyai nama dan alamat pencetak dan penerbit, atau berkenaan dengan rakaman suara, nama dan alamat pengeluar dicetak dengan jelasnya pada kulit atau bekas dan mana-mana orang yang bertindak dengan melanggari seksyen ini adalah melakukan satu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau kedua-duanya.

3.     Berkenaan dengan hasil penerbitan yang diimpot ke dalam Malaysia maka adalah menjadi pematuhan yang cukup akan seksyen ini kiranya nama pencetak, penerbit atau pengeluar dicetak dengan jelas pada mana-mana bahagian hasil penerbitan atau bekas itu.

Seksyen 20 - Tangkapan tanpa waran

Mana-mana pegawai polis boleh menangkap tanpa waran mana-mana orang yang didapati melakukan atau dengan munasabahnya disyaki melakukan atau cuba melakukan atau mendapatkan atau bersubahat dengan mana-mana orang untuk melakukan apa-apa kesalahan di bawah akta ini.

Kanun Keseksaan

Seksyen 147 - Seksaan kerana merusuh

Barang siapa melakukan kesalahan merusuh hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Seksyen 148 - Memiliki senjata-senjata maut dalam rusuhan

Barang siapa menghadiri, mengambil bahagian atau berada dalam apa-apa rusuhan dan memiliki apa-apa senjatapi, amunisi, bahan letupan, benda melecur, benda yang memudaratkan, kayu, batu, atau apa-apa senjata maut yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Seksyen 186 - Menghalang penjawat awam pada menjalankan kerja-kerja jawatannya

Barang siapa dengan sengaja menghalang seseorang penjawat awam pada menjalankan kerja-kerja jawatannya hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga bulan, atau dengan denda yang boleh sampai seribu ringgit atau dengan kedua-duanya.

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BUKIT BENDERA