Make your own free website on Tripod.com
Hantarkan Komen Anda Terhadap Isu Ini!get this gear!

Penduduk kecewa pemaju gagal tangani masalah perparitan
Oleh Mohd Sabri Said

JELUTONG: - Penduduk kampung di sekitar Jelutong semalam menyerbu pejabat sebuah syarikat pemaju di Jalan Mohd Taib kerana tidak berpuas hati dengan sistem perparitan yang dibina oleh pemaju berkenaan.

Lebih kurang 200 penduduk sepakat menyatakan bantahan mereka atas nama Khariah Masjid Jamek Jelutong dengan membawa sepanduk berbagai tulisan. Penduduk yang diketuai oleh Pengerusi Khairiah, Haji Yahya Jamaluddin itu berhimpun di perkarangan masjid dan seterusnya menuju ke pejabat pemaju berkenaan. Haj Yahya berkata, pihak terpaksa bertindak demikian kerana kecewa dengan pengurusan syarikat terbabit yang didakwa gagal menangani masalah mereka.

"Sebelum ini penduduk pernah meminta campurtangan badan bukan kerajaan (NGO) dan pimpinan politik tetapi tetap menemui kegagalan. "Kami terpaksa membuat keputusan ini (perhimpunan) kerana menerusi NGO dan orang politik pun masih gagal. Khariah masjid akan berusaha membantu penduduk sepertimana persetujuan dalam pertemuan pada 13 Julai lepas untuk menyampaikan memorandum, " terangnya ketika ditemui. Wakil penduduk, Ishak Husain, 40 berkata, beliau telah memaklumkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) berhubung perparitan di kawasan mereka yang tersekat menyebabkan air bertakung terlalu lama.

"Saya rasa sungguh kecewa kerana MPPP tidak prihatin walaupun saya pergi sendiri memberitahu mereka keadaan yang menimpa penduduk di sini akibat pembangunan yang berat sebelah, " tegasnya. Seorang surirumah, Faridah Ashaari 48, menambah, penduduk bimbang kerana apabila hujan lebat akan menyebabkan berlakunya banjir kilat. "Saya rasa masalah utama banjir kilat ini ialah pembinaan longkang yang tidak mengikut peraturan. Bila longkang tinggi dari kawasan kampung, air hujan mudah bertakung lebih-lebih bila air laut pasang, " jelasnya. Ahli Umno, Zarus Yusuf, 40 pula menjelaskan, kepimpinan Umno bahagian dan cawangan didakwa hanya pandai `berlakon' ketika penduduk membuat bantahan sedangkan sebelum ini tidak ada apa-apa tindakan dilakukan.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang, Abdul Rahman Kadir ketika diminta mengulas kejadian tersebut berkata, sepatutnya masalah itu tidak timbul sekiranya MPPP mengawasi dari awal pembinaan semua projek pembangunan. Pembangunan pangsapuri Idaman berharga RM80,000 dan pangsapuri Mutiara Idaman bernilai RM90,000 keatas bukan sahaja mendatangkan masalah banjir kilat kerana perparitan yang tidak sesuai bahkan menyecewakan penduduk kerana harganya yang terlalu tinggi. Kampung lain yang telah dan bakal terlibat dengan banjir kilat ini ialah Jalan Tengku, Jalan Tengah, Jalan Mohd Taib, Jalan Masjid dan Hajah Rahimah.