Hantarkan Komen Anda Terhadap Isu Ini!get this gear!

Umno kebas dewan orang ramai
 
Oleh Mohd Sabri Said
TASEK GELUGOR, 20 Jan (Hrkh)- PAS Kawasan Tasek Gelugor memberi amaran kepada Pejabat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) kerana membiarkan Umno sewenang-wenangnya melebelkan dewan orang ramai sebagai bangunan milik mereka.

Pemangku Naib Yang DiPertua PAS Kawasan, Mohd Jamil Hasan berkata, isu ini terpaksa dibangkitkan semula apabila nama Umno tiba-tiba tertera di bekas Dewan Muhibbah, Merbau Kudung dan Pejabat Penghulu berdekatan Pasar Awam, Sungai Dua.

"Pejabat Daerah SPU kena prihatin dan jangan buat lupa penggunaan Bangunan Umno Merbau Kudung serta tertera nama Umno di papan tanda Pejabat Penghulu menjadi kesalahan kerana bangunan tersebut hak kerajaan bukan hak parti, " ujarnya.

Menurut beliau lagi, sekiranya Umno membeli tanah serta bangunan tersebut ia tidak menimbulkan kekeliruan kerana memang dibolehkan Umno untuk melebelkan apa sahaja perkataan parti mereka.

"Tidak menjadi masalah sekiranya Umno membeli semua harta itu. Tetapi, apa yang dimaklumkan Umno terus menguasai kemudahan kerajaan untuk kepentingan parti mereka, " ujarnya.

Jika Pejabat Daerah tidak mahu dimalukan katanya, lebih baik Pejabat Daerah SPU dengan kuasa yang ada mendesak Umno Merbau Kudung dan salah satu cawangan Umno di Sungai Dua membuang papan tanda yang seakan-akan mengatakan bangunan itu hak mereka.