Hantarkan Komen Anda Terhadap Isu Ini!get this gear!

ISU BAHASA INGGERIS UNTUK MATA PELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK

Dengan penuh kesedaran akan pentingnya dasar-dasar kenegaraan seperti Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara dan asas jati diri bangsa dan negara Malaysia dipertahankan, dan dengan penuh pengertian jua akan keperluan bangsa dan negara kita meningkatkan upaya agar tidak ketinggalan dalam pencapaian kemajuan, kami yang menurunkan tanda tangan di sini, atas nama rakyat negara ini ingin menyatakan keprihatinan kami tentang implikasi keputusan Kerajaan melaksanakan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran Matematik dan Sains di sekolah, bermula dari darjah satu.

Kami dengan ikhlas dan tanpa dikuasai emosi yang melulu serta tanpa sikap menafikan pentingnya usaha meningkatkan penguasaan bahasa asing di kalangan rakyat negara ini, memohon Kerajaan membatalkan keputusan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk mata pelajaran Matematik dan Sains di sekolah atas alasan-alasan yang berikut :

Penggunaan bahasa Inggeris untuk mengajarkan kedua-dua mata pelajaran itu tidak akan menyelesaikan masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris pelajar, kerana masalah yang sebenarnya berkaitan dengan pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri, antaranya masalah kaedah pengajaran, kepadaan atau kesesuaian sukatan pelajaran, ketrampilan guru, kesempurnaan prasarana seperti makmal bahasa dan motivasi pada pelajar sendiri. Hakikat bahawa bukan semua pelajar gagal menguasai bahasa Inggeris, malah banyak yang cemerlang dan fasih, membuktikan bahawa isu kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar bukan masalah yang menyeluruh dan oleh itu penyelesaiannya pun mesti bersifat khusus, iaitu dengan meningkatkan mutu pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri.

Risiko pelaksanaan keputusan itu dijangka besar sekali, kerana guru Matematik dan Sains tidak semestinya guru yang mahir berbahasa Inggeris, dan dikhuatiri timbul keadaan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran, iaitu penguasaan bahasa Inggeris pelajar tidak dapat ditingkatkan dan penguasaan ilmu Matematik dan Sains pelajar pula terjejas oleh sebab masalah bahasa.

Penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik dan Sains dikhuatiri mengakibatkan berlakunya keadaan lulus jarum, luluslah kelindan, iaitu kemungkinan kemudian kelak akan diputuskan pula penggunaan bahasa Inggeris dalam mata-mata pelajaran lain yang berasaskan atau ada kaitannya dengan Matematik dan Sains, seperti perakaunan, perdagangan, ekonomi asas, geografi dan sebagainya. Jika hal ini berlaku, maka akhirnya sebahagian besar atau hampir semua mata pelajaran akan diajarkan dalam bahasa Inggeris dan ketika itu bahasa Melayu yang ditetapkan sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan di negara ini akan kehilangan fungsinya.

Apabila bahasa Melayu secara beransur-ansur mengalami pengurangan fungsi sebagai bahasa moden, terutama sebagai bahasa ilmu, kedudukan dan darjat bahasa Melayu dikhuatiri akan merosot menjadi bahasa basahan, bahasa pasar dan bahasa komunikasi tahap rendah, iaitu untuk sekadar menjadi alat perhubungan mudah. Hal ini amat besar kesannya kepada idealisme dan cita-cita membina tamadun bangsa dan negara yang berasaskan jati diri dan acuan kita sendiri sebagaimana yang digagaskan dalam Wawasan 2020. ironis juga halnya apabila di lebih kurang 30 buah negara sedunia bahasa Melayu telah diiktiraf sebagai bahasa ilmu dan bahasa tamadun tinggi, di negara kita sendiri keupayaan bahasa Melayu sebagai ilmu diragui.

Pengembangan minda dan ilmu sesuatu masyarakat atau bangsa secara fitrahnya perlu berasaskan bahasa yang telah dikurniakan oleh Tuhan kepada masyarakat atau bangsa itu, sesuai dengan sunnatullah atau peraturan yang telah ditentukan Tuhan sebagaimana yang diisyaratkan dalam Surah al-Hujurat, ayat 13, Surah Ibrahim, ayat 4, dan Surah al-Rum, ayat 22. Penjelasan tentang peranan bahasa sesutau bangsa dalam pembinaan minda dan ilmu bangsa itu telah dihuraikan juga oleh pemikir besar seperti Malek bin Nabi dan Hassan al-Banna. Banyak negara maju, malah yang bukan Islam, yang mengambil iktibar daripada fitrah itu, seperti Jerman, Switzerland, Jepun, Korea, Perancis dan sebagainya. Benar bahawa mereka tidak menolak bahasa lain, sebagaimana juga kami tidak menolak penguasaan bahasa lain, tetapi mereka tidak sampai mengorbankan dasar pemuliharaan kebangsaan masing-masing. Dalam hal ini, perlu dihayati faham nasionalisme yang digagaskan oleh Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah sebagai unsure asas yang menjamin keutuhan sesuatu bangsa dengan bangsa kebangsaan merupakan salah satu unsur utamanya.

Pelaksanaan penggunaan bahasa Inggeris untuk Matematik dan Sains dengan sendirinya menyebabkan usaha memodenkan bahasa Melayu melalui pengayaan istilah dalam kedua-dua bidang itu yang sudah dilakukan puluhan tahun oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan ratusan ahli ilmu tidak relevan lagi. Segala usaha yang melibatkan kewangan yang besar, waktu dan tenaga pakar ilmu yang menjadi asset negara secara tiba-tiba menjadi sia-sia belaka. Kekayaan khazanah ilmu yang sudah sedia ada dalam bahasa Melayu yang dihasilkan dalam bentuk buku teks dan rujukan dengan kos yang bukan kecil jumlahnya pun akan menjadi harta lupus dengan sendirinya apabila buku Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu tidak diperlukan lagi. Sebagai akibatnya, bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang kerdil apabila gersang khazanah ilmunya.

Akhirnya, kami sekali lagi dengan ikhlas dan rendah hati mohon pertimbangan Kerajaan agar menarik balik keputusan menggunakan bahasa Inggeris untuk mata pelajaran Matematik dan Sains di sekolah. Permintaan kami ini tidak ada sama sekali hubungannya dengan dakwaan palsu sesetengah kalangan bahawa golongan yang memperjuangkan bahasa Melayu menolak penguasaan bahasa-bahasa lain. Kami faham bahawa penguasaan bahasa lain penting dalam konteks membantu meningkatkan tamadun bangsa dan negara, tetapi strategi pelaksanaan untuk menguasai bahasa asing bukan dengan mengorbankan kedudukan dan fungsi bahasa Melayu sebagai tonggak pembinaan bangsa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu terpelihara dan pada waktu yang sama penguasaan bahasa asing yang pwnting dapat dicapai amat kami harapkan.

Sekian, wassalam.