Hantarkan Komen Anda Terhadap Isu Ini!get this gear!

KWSP mesti bertanggungjawab ke atas kerugian dialami- LRC

KUALA LUMPUR:- Pusat Penyelidikan Buruh (LRC) mendesak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami sehingga menyebabkan penurunan kadar dividennya.

Koordinator LRC, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin berkata, pengumuman kadar dividen sebanyak 4.25 peratus oleh KWSP baru-baru ini adalah amat mengecewakan kerana ia adalah kadar dividen terendah sepanjang tempoh 40 tahun. "Kerugian besar sebanyak RM2.14 bilion pada tahun lepas telah mengakibatkan pengurangan pendapatan bersih KWSP kepada RM7.78 bilion yang mengakibatkan penurunan kadar dividen pencarum," kata beliau.

Malahan katanya, lebih membimbangkan ialah apabila kadar dividen KWSP sentiasa dalam keadaan menurun dalam jangka masa enam hingga tujuh tahun kebelakangan ini. Selain itu, beliau turut meminta KWSP tidak menjadikan faktor kelembapan pasaran dan kemerosotan ekonomi sebagai alasan untuk mengumumkan kadar dividen yang rendah. Katanya, berdasarkan pengalaman menguruskan dana milik para pekerja itu,

KWSP seharusnya melabur dalam syarikat-syarikat yang benar-benar stabil, bukannya menjadi sebahagian daripada spekulator mata wang. Sehubungan itu tambah beliau, LRC menyeru kepada semua pihak supaya melihat kembali peranan dan fungsi sebenar KWSP sebagai sebuah organisasi keselamatan sosial kebangsaan. Katanya, KWSP adalah sebuah institusi yang diamanahkan oleh pekerja untuk melindungi sebahagian besar pendapatan mereka, justeru ia tidak boleh sewenang-wenangnya 'diperjudikan' untuk mengaut keuntungan.

Sehubungan itu, Kahirul Anwar berkata, LRC menyokong penuh rancangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengadakan piket bagi membantah pengumuman KWSP itu. "Langkah ini merupakan hak mutlak pekerja yang dijamin penuh di bawah undang-undang dalam menangani penindasan yang mereka hadapi,"kata beliau. Selain itu tambahnya, LRC juga mendesak KWSP mengeluarkan laporan terperinci mengenai pelaburan-pelaburan yang dibuat oleh badan itu. "Pekerja perlu mendapat tahu secara terperinci dalam syarikat dan saham apakah wang mereka dilaburkan," katanya.