Make your own free website on Tripod.com

GARIS PANDUAN TENTANG PELAKSANAAN URUSAN PERHENTIAN PEKERJA.

1. PENGENALAN
Garis panduan ini bertujuan untuk menerangkan cara-cara terbaik dalam melaksanakan urusan pemberhentian pekerja dan urusan-urusan yang berkaitan dengannya.

2. APAKAH MAKSUD PEMBERHENTIAN PEKERJA?
Pemberhentian bermaksud penamatan kontrak perkhidmatan akibat keadaan berlebihan pekerja yang boleh timbul daripada beberapa sebab seperti penutupan syarikat, penyusunan semula syarikat, pengurangan pengeluaran, penggabungan syarikat, perubahan teknologi pengambilalihan syarikat, kegawatan ekonomi dan lain-lain.

3. APAKAH LANGKAH-LANGKAH YANG HARUS DIAMBIL OLEH MAJIKAN UNTUK MENGELAKKAN PEMBERHENTIAN PEKERJA?
Apabila timbul keadaan berlebihan pekerja, majikan hendaklah terlebih dahulu mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengelakkan pemberhentian pekerja. Langkah-langkah seperti yang terdapat di dalam Tatacara Untuk Keharmonian Perusahaan dan langkah-langkah lain seperti berikut adalah dicadangkan:-
  3.1 Pengambilan pekerja baru hendaklah dibekukan kecuali bagi bidang-bidang yang kritikal.
  3.2 Menghadkan kerja lebih masa.
  3.3 Menghadkan kerja pada hari rehat mingguan dan cuti am.
  3.4 Mengurangkan hari-hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja giliran.
  3.5 Mengurangkan waktu bekerja harian.
  3.6 Mengadakan program latihan semula kepada pekerja.
  3.7 Mengenalpasti kerja-kerja alternatif dan pertukaran ke bahagian/ kerja lain di dalam syarikat yang sama.
  3.8 Melaksanakan pemberhentian kerja sementara (lay-off) misalnya dalam bentuk penutupan sementara (temporary shut down) dengan menawarkan gaji yang berpatutan dan membantu mereka mendapatkan kerja sementara di tempat lain sehingga operasi dapat diteruskan semula.
  3.9 Pengurangan gaji pekerja (Pay-Cut) yang dibuat secara adil di semua peringkat dan dilaksanakan sebagai langkah terakhir selepas langkah-langkah penjimatan kos lain sudah dilaksanakan.

Langkah-langkah di butiran 3.7, 3.8 dan 3.9 hendaklah dilaksanakan dengan persetujuan pekerja atau kesatuan sekerja yang mewakili mereka.

4. APAKAH LANGKAH-LANGKAH YANG PATUT DIAMBIL OLEH MAJIKAN JIKA PENGURANGAN PEKERJA TERPAKSA JUGA DILAKUKAN ?
Jika pemberhentian pekerja perlu dilakukan juga walaupun langkah-langkah di para 3 telah diambil, majikan hendaklah berusaha melaksanakan langkah-langkah seperti berikut untuk meringankan kesan negatif ke atas pekerja-pekerja yang terbabit:-
  4.1 Memaklum dan mengadakan perbincangan dengan pekerja-pekerja atau Kesatuan Sekerja yang mewakili mereka dengan secepat mungkin mengenai pemberhentian pekerja yang akan dilakukan.
  4.2 Menawarkan skim pemberhentian/persaraan secara sukarela dengan kadar bayaran pampasan yang sebaik mungkin.
  4.3 Bersarakan pekerja-pekerja yang berumur lebih dari umur persaraan biasa.
  4.4 Membantu pekerja-pekerja mencari kerja di tempat pekerjaan lain sebelum pemberhentian dibuat dengan kerjasama Jabatan Buruh dan Jabatan Tenaga Rakyat di bawah Kementerian Sumber Manusia.
  4.5 Melaksanakan pemberhentian pekerja secara berperingkat-peringkat dalam tempoh yang lebih panjang.
  4.6 Pekerja asing hendaklah diberhentikan dahulu daripada pekerja tempatan dalam kategori pekerjaan yang sama.
  4.7 Jika pemberhentian melibatkan pekerja tempatan, Prinsip 'LIFO' (last - in - first - out) hendaklah digunakan dalam kategori pekerjaan yang sama. Walau bagaimanapun majikan boleh juga melaksanakan pemberhentian pekerja menurut kriteria-kriteria tertentu setelah berunding dan mendapat persetujuan dari pihak pekerja atau kesatuan sekerja yang mewakili mereka.

5. APAKAH TANGGUNGJAWAB MAJIKAN DARI SEGI MELAPORKAN TINDAKAN PEMBERHENTIAN PEKERJA DAN TINDAKAN-TINDAKAN YANG BERKAITAN DENGANNYA?
  5.1 Majikan dikehendaki melaporkan kepada Jabatan Buruh yang terdekat sekurang-kurangnya 1 bulan sebelum mana-mana tindakan yang dinyatakan di bawah ini dilaksanakan dengan menggunakan borang-borang seperti berikut:-
     5.1.1 Pemberhentian pekerja - Borang PK1/98 (retrenchment)
     5.1.2 Pemberhentian pekerja secara - Borang PK2/98 sukarela (voluntary separation)
     5.1.3 Pemberhentian kerja sementara - Borang PK3/98 (Lay-Off)
     5.1.4 Pengurangan gaji pekerja - Borang PK4/98 (Pay-Cut)

  5.2 Borang-borang ini boleh diperolehi secara percuma dari mana-mana Pejabat Buruh di Semenanjung Malaysia.

6. APAKAH HAK-HAK PEKERJA YANG TERLIBAT DENGAN PEMBERHENTIAN PEKERJA?
  6.1 Hak-hak Pekerja Di Bawah Akta Kerja 1955.
     6.1.1 Tempoh notis hendaklah mengikut kontrak perkhidmatan tetapi tidak boleh kurang daripada yang ditetapkan dalam Akta Kerja 1955 iaitu :
         a) 4 minggu notis jika pekerja telah bekerja selama kurang daripada 2 tahun;
         b) 6 minggu notis jika pekerja telah bekerja selama 2 tahun tetapi kurang daripada 5 tahun;
         c) 8 minggu notis jika pekerja telah bekerja lebih daripada 5 tahun.
     6.1.2 Sekiranya majikan gagal memberi notis yang mencukupi, pekerja adalah layak mendapat Gaji Ganti Notis. Gaji Ganti Notis hendaklah dibayar dengan sepenuhnya selewat-lewatnya pada hari kontrak perkhidmatan ditamatkan.
     6.1.3 Kadar faedah pemberhentian kerja hendaklah mengikut kontrak perkhidmatan tetapi tidak boleh kurang daripada kadar yang ditetapkan dalam Akta Kerja 1955 iaitu:
         a) 10 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan jika pekerja telah berkhidmat kuran daripada 2 tahun;
         b) 15 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan jika pekerja telah berkhidmat selama 2 tahun tetapi kurang daripada 5 tahun;
         c) 20 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan jika pekerja telah berkhidmat 5 tahun atau lebih.
     6.1.4 Faedah pemberhentian kerja hendaklah dibayar selewat-lewatnya 7 hari dari tarikh kontrak perkhidmatan ditamatkan.
     6.1.5 Sekiranya hak-hak di atas tidak diperolehi, pekerja boleh membuat tuntutan di Pejabat Buruh yang berhampiran.

  6.2 Hak-hak Pekerja Di Bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967
     6.2.1 Jika ada Perjanjian Bersama, syarat-syarat yang berkaitan dengan Pemberhentia Pekerja dan kadar yang patut dibayar kepada pekerja hendaklah tidak kurang daripada apa yang dinyatakan di dalam Perjanjian Bersama tersebut.
     6.2.2 Sekiranya tidak berpuashati dengan tindakan pemberhentian yang dilakukan oleh majikannya, pekerja bolehlah mendapat khidmat nasihat yang sewajarnya dari Pejabat Perhubungan Perusahaan di bawah Kementerian Sumber Manusia yang berhampiran.

7. APAKAH PERKHIDMATAN YANG BOLEH DIPEROLEHI OLEH PEKERJA DAN MAJIKAN MELALUI JABATAN TENAGA RAKYAT?
  7.1 Cara-cara pekerja yang diberhentikan kerja mencari pekerjaan lain. Pekerja yang diberhentikan kerja boleh hadir sendiri ke Pejabat Tenaga Rakyat yang berhampiran untuk mendaftarkan diri secara percuma dengan membawa bersama Kad Pengenalan, Sijil-sijil dan dokumen-dokumen lain yang berkaitan. Jika pekerjaan tidak diperolehi selepas 3 bulan, pekerja berkenaan hendaklah datang semula ke Pejabat Tenaga Rakyat yang berkenaan untuk memperbaharui pendaftarannya. Bagi pekerja yang telah memperolehi pekerjaan hendaklah memaklumkan kepada Pejabat Tenaga Rakyat dengan segera.
  7.2 Cara-cara mengambil pekerja-pekerja yang diberhentikan kerja untuk berkhidmat di syarikat lain.
     7.2.1 Majikan yang ingin mengambil pekerja-pekerja yang diberhentikan kerja boleh memohon calon-calon yang sesuai daripada Pejabat Tenaga Rakyat yang berhampiran dengan menyatakan maklumat-maklumat mengenai kekosongan jawatan yang ada di syarikatnya seperti jawatan yang diperlukan, gaji yang ditawarkan, kelayakan minimum dan butir-butir lain yang berkaitan. Selepas calon-calon dibekalkan oleh Pejabat Tenaga Rakyat untuk ditemuduga, majikan hendaklah memaklumkan jumlah calon yang telah diambil bekerja.
     7.2.2 Kerajaan tidak akan mempertimbangkan permohonan majikan untuk menggaji pekerja asing jika syarikat tersebut tidak mengutamakan pekerja tempatan dalam pengisian kekosongan jawatan tersebut.

DPPNPP LAJNAH PEKERJA DAN INDUSTRI