Pemuda Pas Bukit Bendera
Memorandum Merayu Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-Raja Melayu
Home
MELAYU TERPINGGIR PULAU PINANG 1
Majlis Ramah Mesra &Dailog bersama Pemangku Presiden PAS
FORUM PERDANA SAR
Kuliah Agama
BN Undur BA Masuk
MENANGANI ISU TANGKAPAN POLIS
Umno kebas dewan orang ramai
MASJID DI PULAU PINANG
Memorandum SAR kepada Raja-Raja Melayu
Jangan Percaya Apa Kata BN Tentang SAR
Debat - SAR
Penerangan isu SAR anjuran Umno tidak dapat sambutan
Pemuda PAS kesal polis tangkap macam penjenayah
KOMPLEK TERMINAL BAS TANJUNG BUNGAH RM 4.38 JUTA
Pemuda PAS Pulau Pinang tubuh BARA
Memorandum Merayu Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-Raja Melayu
web info Pilihan Raya
KEHAKIMAN ( 2 )
KEHAKIMAN ( 3 )
YANG DI-PERTUAN AGONG
BAGAIMANAKAH PENYEMAKAN UNDANG-UNDANG DILAKUKAN?
KEHAKIMAN ( 1 )
EKSEKUTIF
KEM KECEMERLANGAN JATIDIRI PELAJAR
Prosuder beli hartanah / rumah
Prosedur Perhimpunan
MASJID LENGANG SELEPAS KETUA UMNO AMBIL ALIH
Hari Kelepasan Am
PAS Pulau Pinang tambah 14 cawangan baru
Penduduk bantah Umno bina bangunan atas kubur
MEMORANDUM MEMBANTAH SEKOLAH AGAMA RAKYAT
Perutusan Tahun Baru 2003
TOLAK TOL ( PORR )
JEMPUTAN MAJLIS HARI RAYA AIDILFITRI
PORR ( PROJEK ZALIM BN 1 )
PROJEK ZALIM BN ( PORR &BORR)
MASALAH MELAYU P.PINANG BUKAN SALAH KETUA MENTERI
MANTAPKAN PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN ORGANINASI PAS
TEKANAN MENTAL DAN PEKERJAAN
PROGRAM BULAN RAMADHAN
KERAJAAN BN CUBA MATIKAN KEADILAN
KERAJAAN PUSAT ANTI ISLAM
TAKWIM 1423H/2002
JANGAN PERCAYA APA BN KATA
PENIAGA MELAYU TERPINGGIR
PAS gagal dekati remaja
Penduduk Air Itam TERSEKSA
Memorandum Bantahan Dan usul Parlimen
Tanah Wakaf Malaysia
PERGGAJIAN PEKERJA WANITA
SUARA RAKYAT
Pimpinan
RESOLUSI KONVENSYEN PENDIDIKAN RAKYAT
Masjid di P.Pinang

 

Memorandum Merayu Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-Raja Melayu


Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia
Tuanku Al-Wathiqu Billah Al-Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah,

Sultan Terengganu Darul Iman,
Merangkap Timbalan Yang DiPertuan Agong Malaysia,
Istana Badariah,
20500 Kuala Terengganu,
TERENGGANU DARUL IMAN 16 JANUARI 2003

Assalamualaikum wrt wbt;

Ampun Tuanku,

Duli Yang Maha Mulia Tuanku,

MEMORANDUM MERAYU KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU RAJA-RAJA MELAYU SUPAYA MENITAHKAN KERAJAAN BN AGAR MENARIK BALIK KEPUTUSAN MENGHENTIKAN BANTUAN PERKAPITA KEPADA SEKOLAH AGAMA RAKYAT

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius dasar terbaru Kerajaan BN yang telah bertindak meminggirkan sekolah-sekolah agama rakyat (SAR) dengan cara menghentikan bantuan geran perkapita kepada sekolah-sekolah tersebut. Sekatan ekonomi ke atas SAR bukan sahaja akan memberikan kesan yang buruk ke atas pendidikan agama Islam dan masa depan umat Islam, tetapi turut memberikan kesan langsung ke atas Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu selaku Ketua Agama Islam.

Patik yang mewakili umat Islam di negara ini melahirkan rasa yang sangat bimbang dan gundah terhadap masa depan ribuan anak-anak umat Islam yang sedang menuntut di SAR. Sekatan ekonomi ke atas SAR yang berjumlah ratusan juta ringgit setahun telah menyebabkan masalah pengurusan dan pembayaran gaji guru-guru menjadi kritikal. Jika keadaan ini berterusan, semua SAR berkemungkinan akan terkubur. Turut terkubur sama adalah aqidah umat Islam yang sebelum ini dibina dan dipertahankan oleh institusi seperti SAR. Pengalaman kehancuran aqidah umat Islam di Balkan dan Asia Tengah akibat dasar Komunis yang menghalang pendidikan agama wajar dijadikan pertimbangan. Hal yang sama juga dialami oleh umat Islam Turki yang menganut sekularisme.

Pada hari ini, tindakan jahat untuk menghancurkan institusi pendidikan Islam dengan tujuan melumpuhkan aqidah, syakhsiyah dan jati diri umat Islam telah mulai merebak ke negara ini. Tindakan secara terbuka yang ditaja sendiri oleh Kerajaan BN amat berbahaya kepada masa depan umat Islam. Tuduhan-tuduhan yang dikenakan terlalu berat walaupun disedari ia merupakan fitnah semata-mata. Sedangkan SAR telah memberikan sumbangan yang besar kepada negara dalam menampung keperluan pendidikan terutama pendidikan agama Islam.

REALITI SEKOLAH AGAMA RAKYAT

Di bawah ini patik perturunkan hasil kajian yang dibuat oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan bersama Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia pada 1992 ke atas sekolah agama negeri (SAN), sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama swasta (SAS) untuk pertimbangan Tuanku. Kajian tersebut telah mendapati:

i. bahawa guru-guru di SAR terdiri daripada kalangan guru-guru yang berdedikasi, berpegang teguh dengan agama dan bersemangat tinggi untuk memajukan agama dan bangsanya;
ii. SAR telah memberikan penekanan yang tinggi terhadap usaha membenteras masalah keruntuhan moral, mewujudkan suasana kekeluargaan dan mengamalkan sifat persaudaraan yang tulen;
iii. Pengajaran-pembelajaran menekankan pembentukan sifat-sifat mulia, iman dan hukum Allah. Para pelajar diberi kebebasan memilih jurusan pengajian masing-masing terutama dalam pengajian agama;
iv. Guru menjadi contoh teladan yang baik daripada para pelajar dan didapati guru-guru sanggup berkhidmat walaupun kelengkapan sekolah tidak mencukupi;
v. Kebanyakkan SAR mengusahakan sendiri pembangunan fizikal sekolahnya berbanding SAN yang dibantu oleh kerajaan negeri dan mempunyai kemudahan fizikal yang setaraf dengan sekolah kementerian;
vi. SAR didapati amat kurang kemudahan fizikal dan tiada bantuan kewangan;
vii. Pelajar lepasan SAR mempunyai peluang yang lebih luas berbanding lepasan sekolah kebangsaan kerana mereka mempunyai pengetahuan akademik dan agama, selain mengetahui bahasa Melayu, Arab dan Inggeris; dan
viii. Kajian tersebut mencadangkan supaya kerajaan menambahkan peruntukan kepada SAR supaya ia dapat dibangunkan dengan lebih baik.

JASA SEKOLAH AGAMA RAKYAT KEPADA NEGARA

SAR telah wujud semenjak beratus tahun yang lalu dengan dikenali sebagai pengajian pondok, adalah lebih awal daripada sekolah-sekolah Inggeris dan sekolah kebangsaan. SAR telah memainkan peranan mempertahankan aqidah umat Islam ketika negara ini dijajah, dan SAR jugalah yang telah menyuburkan kesedaran politik umat Islam sehingga mereka bangkit untuk membebaskan negara ini daripada penjajah. Dan ketika Kerajaan BN menghapuskan tulisan Jawi pada penghujung 1960-an, SAR terus mempertahankan tulisan orang Melayu itu dan mengekalkan bahasa Al-Quran. Maka, pada pandangan patik, amatlah tidak wajar sekiranya pada hari ini SAR dikenakan sekatan sehingga memberikan kesan yang amat buruk kepada umat Islam terutama ketika umat Islam sedang menghadapi pelbagai tekanan daripada Barat pada hari ini.


-Untuk perhatian Tuanku, secara khusus SAR telah menaburkan jasanya untuk :

i. Memberikan ilmu dan kefahaman agama Islam juga memimpin kehidupan beragama dalam masyarakat;
ii. Melahirkan ulama dan cerdik pandai Melayu Islam yang mempunyai asas kefahaman Islam yang mantap
iii. Melahirkan pemimpin-pemimpin politik yang memperjuangkan perlaksanaan Islam yang syumul kepada masyarakat;
iv. Menjadi pelengkap kepada sistem pendidikan kebangsaan hari ini di mana pendidikan Islam yang tidak diberi tumpuan oleh sekolah kebangsaan diambil alih oleh SAR;
v. Mendidik pelajar memahami dan menghayati Islam dengan lebih sempurna serta mengurangkan gejala sosial;
vi. Menampung dan melengkapkan sistem pendidikan di negara ini; dan
vii. Membuka peluang pekerjaan kepada umat Islam dan mengurangkan pengangguran.

MASALAH DAN TEKANAN KE ATAS SEKOLAH AGAMA RAKYAT

Tuanku,

SAR yang selama ini bergantung kepada sumbangan rakyat untuk pembangunan fizikal dan pengurusannya, selain bantuan geran perkapita kerajaan telah menerima tekanan yang hebat kebelakangan ini. Walaupun SAR telah ditubuhkan sebelum merdeka lagi, bahkan lebih awal daripada sekolah kebangsaan, tetapi guru-guru SAR tidak diberikan latihan perguruan oleh kerajaan. Bahkan SAR juga tidak diberikan peruntukan untuk membina makmal komputer dan makmal sains. Kerana perhatian yang amat kurang daripada kerajaan inilah, maka sehingga hari ini sebahagian daripada SAR masih dilihat ketinggalan berbanding dengan sekolah lain walaupun telah ditubuhkan berpuluh tahun yang lalu.

Tidak cukup dengan layanan buruk tersebut, SAR telah difitnah sebagai menyelewengkan ajaran Islam, mengajar politik kepartian, menyemai sikap anti kerajaan, gagal melahirkan ilmuan Islam dan sebagainya. Bermula dengan sekatan ke atas Sijil Tinggi Ugama (STU) yang sebelum ini diiktiraf oleh Universiti Al-Azhar dan digantikan dengan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), kini geran perkapita, bantuan modal dan bantuan kemahiran hidup bersepadu (KHB) telah ditarik balik oleh kerajaan, kerajaan negeri yang dikuasai BN seperti diarah mengikut langkah yang sama, ibu bapa diugut untuk dikenakan tindakan jika menghantar anak-anak ke SAR dan mengarahkan semua pelajar SAR diserapkan ke sekolah kebangsaan. Tindakan ini dibuat atas alasan sempit iaitu pelajar SAR tidak mempunyai masa depan. Walhal, jika semua pelajar belajar di sekolah kebangsaan pun, tiada jaminan penggangguran tidak akan wujud di negara ini. Sekarang inipun lebih 40,000 siswazah telah menjadi penganggur. Hakikatnya, Kerajaan BN sedang berusaha untuk menutup SAR dengan menggunakan istilah diserapkan.

Akibat daripada tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan BN, SAR kini menghadapi masa depan yang semakin meruncing setelah adanya guru-guru tidak dapat dibayar gaji semenjak tiga bulan sebelum Aidil Fitri yang lalu yang akhirnya memungkinkan SAR terpaksa ditutup. Dari aspek yang lain, umat Islam sekali lagi akan mengalami pusingan kedua selepas buta tulisan Jawi dan tidak dapat menguasai agama Islam dengan baik sehingga memungkinkan tidak ada lagi ulama yang akan dilahirkan pada masa 20 tahun akan datang. Sekolah yang didirikan hasil daripada wakaf, zakat, sedekah dan infak orang ramai juga tidak dapat dimakmurkan.

BENARKAH TUDUHAN KE ATAS SEKOLAH AGAMA RAKYAT

Semenjak isu SAR dibangkitkan oleh Kerajaan BN sekurang-kurangnya sembilan tuduhan yang telah dilemparkan oleh pemimpin BN termasuk Perdana Menteri, iaitu:

i. SAR tidak mengajar agama Islam yang sebenar;
ii. SAR menyemai sikap membenci kerajaan;
iii. Wang SAR digunakan untuk tujuan politik pembangkang;
iv. SAR tidak dapat melahirkan ilmuan dan bijak pandai masyarakat;
v. Pelajar SAR tidak ada masa depan;
vi. Guru-guru SAR tidak terlatih;
vii. SAR sarang biak pengganas;
viii. SAR melahirkan banyak masalah sosial, dan
ix. Pelajar SAR tidak ada pemikiran antarabangsa.

Tuduhan yang mengatakan SAR tidak mengajar Islam yang sebenar adalah amat berniat jahat kerana SAR temasuk sekolah pondok telah dikenali sebagai pusat melahirkan alim ulamak semenjak ratusan tahun yang lalu. Bahkan sebahagian besar mufti yang ada di Malaysia pada hari ini adalah lulusan SAR. Pemimpin kerajaan seperti Abdullah Ahmad Badawi, Hamid Zainal Abidin, Hamid Othman, Zainal Abidin Kadir, Zainuddin Maidin dan sebagainya adalah lulusan SAR dan SAN yang dahulunya mendapat bantuan kerajaan tetapi kini dihentikan. Apakah mereka ini telah mengalami penyelewengan ilmu ketika belajar. SAR mengajar ilmu bahasa Arab, Fekah, Tasauf, Ulum Quran, Tafsir, Hadis, Ulum Hadis, Usul Fiqh, Tauhid, Nahu, Saraf, Sirah dan lain-lain sebagai teras pendidikannya. Apakah ilmu-ilmu ini dianggap sebagai ilmu yang menyeleweng? Dan adakah para mufti yang dilantik oleh Sultan juga dari kalangan mereka yang sesat dan menyeleweng kerana belajar di SAR?

SAR juga dituduh sebagai menyemai perasaan anti kerajaan. Tuduhan ini dibuat kerana sikap para guru dan pelajar yang tidak menyokong kezaliman. Islam mengajar umatnya cintakan keadilan dan anti kezaliman, maka penentangan terhadap apa-apa bentuk kezaliman yang dilakukan oleh mana-mana pihak tidak ada kaitan dengan penyemaian perasaan anti kerajaan. Islam tidak mengizinkan kezaliman termasuk cenderung kepada kezaliman. Begitu juga tuduhan SAR diperalatkan oleh pembangkang. Isu yang berbangkit ialah persamaan perasaan kebencian terhadap kezaliman. Adakah SAR dan SAN yang diselia oleh kerajaan negeri seperti sekolah YIK di Kelantan, sekolah YIT di Terengganu dan Maktab Mahmud di Kedah ketika kerajaan negeri dikuasai BN turut menyemai perasaan benci terhadap kerajaan. Sedangkan guru-guru yang mengajar sekarang masih guru yang sama, bahkan di Maktab Mahmud, sebahagian Jawatankuasa Pengelolanya adalah tokoh-tokoh politik BN. SAR tidak dipengaruhi oleh pembangkang termasuk PAS, sebaliknya perjuangan PAS menentang kezaliman memenuhi hasrat dan cita rasa keIslaman mereka. Sebaliknya Umno yang mempolitikan sekolah kebangsaan dengan menggunakan sekolah tersebut untuk kepentingan politik Umno seperti mengadakan mesyuarat agung Umno dan memperalatkan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk tujuan politik mereka. PAS tidak pernah menggunakan wang SAR untuk tujuan politiknya. Bagaimana SAR boleh menyalurkan wangnya untuk PAS, sedangkan mereka sendiri tidak mampu untuk berdiri tanpa sokongan rakyat dan kerajaan, sebaliknya patik percaya jika SAR boleh diperalatkan oleh Umno, nescaya geran perkapita tidak akan ditarik balik.

Satu lagi tuduhan liar yang dibuat oleh Kerajaan BN ialah SAR tidak melahirkan ilmuan dan cerdik pandai dalam masyarakat. Hampir keseluruhan pelajar Malaysia yang belajar di universiti-universiti Islam terkemuka samada di Mesir, India, Iraq, Arab Saudi, Pakistan, Indonesia dan juga Barat termasuk Fakulti-fakulti pengajian Islam di Malaysia adalah lepasan SAR. Bagaimana sebuah universiti terkemuka di dunia seperti al-Azhar menerima dan mengiktiraf pelajar SAR sekiranya SAR tidak mampu melahirkan ilmuan Islam. Apakah para mufti dan ahli akademik pengajian Islam hari ini bukan ilmuan yang dilahirkan oleh SAR. Adakah Perdana Menteri telah hilang keyakinan terhadap Abdullah Ahmad Badawi dan Hamid Othman kerana mereka adalah lepasan SAR. Hakikatnya cukup jelas, bahawa SAR bukan sahaja melahirkan ulama, tetapi juga tokoh korporat, profesional, sainstis dan juga ahli-ahli politik.

Kerana belajar agama, pelajar SAR dianggap tidak mempunyai masa depan. Adakah ilmu agama akan membunuh masa depan umatnya. Sejarah telah membuktikan kecemerlangan para ulama silam. Di SAR, semua mata pelajaran sekolah kebangsaan seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Matematik, Sains, Kemahiran Hidup, Sejarah, Geografi, Ekonomi, Sastera dan sebagainya diajar. Bahkan pelajar SAR juga didedahkan dengan tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Arab dan Inggeris. Mereka juga mengambil perperiksaan kerajaan seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) selain Sijil Menengah Ugama (SMU) dan Sijil Tinggi Ugama (STU). Bahkan pelajar SAR mengambil STAM yang disyaratkan oleh kerajaan untuk membolehkan pelajar melanjutkan pengajian di peringkat tinggi termasuk ke Universiti Al-Azhar. Bukankah pelajar SAR lebih terdedah kepada kepelbagaian ilmu berbanding pelajar sekolah kebangsaan.

Pelajar SAR juga dituduh bermasalah sosial dan tidak mempunyai pemikiran antarabangsa. Hal ini juga tidak benar kerana pemimpin kerajaan sendiri telah menyebutkan bahawa kerajaan akan mencontohi cara SAR dalam menangani masalah sosial di sekolah kebangsaan. Sedangkan lebih 300,000 kes salah laku telah dikesan dilakukan oleh pelajar sekolah kebangsaan. Penasihat Agama Perdana Menteri pula mendakwa 24,000 pelajar sekolah kebangsaan tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah. Sekolah kebangsaan juga turut mengalami kadar keciciran yang tinggi di mana kajian oleh Kementerian Pendidikan pada 1996 telah mendapati 7.97 peratus atau 87,410 pelajar sekolah kebangsaan telah tercicir di antara 1992 dan 1993. Peratusan pelajar yang berjaya menamatkan pelajaran hingga ke peringkat menengah (sekurang-kurangnya SPM) di sekolah menengah kebangsaan di antara 1989 hingga 1993 hanya 68.01 peratus sahaja. Ini menunjukkan hampir 38 peratus pelajar sekolah kebangsaan tidak menamatkan pelajaran menengah walaupun didapati sekolah kebangsaan serba lengkap. Tentang pemikiran antarabangsa, semenjak zaman kebangkitan Islam pada awal abad ke-20, pelajar SARlah yang mengembangkan idea Pan-Islamisme dan ketika kebangkitan semula Islam pada dekad 1970-an dan 1980-an, pelajar SAR dan pelajar pengajian Islam juga yang mempelopori gerakan WAMY dan IIFSO di peringkat antarabangsa. Sedangkan pemimpin Umno/BN lepasan sekolah kebangsaan sehingga hari ini terus tebal dengan faham kebangsaan yang sempit dan fanatik perkauman.

SAR juga telah dituduh sebagai sarang pembiakan pengganas di negara ini. Tuduhan ini amat berat dan keterlaluan kerana tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa para pengganas di negara ini dilahirkan oleh SAR. Bahkan kumpulan-kumpulan pengganas seperti Geng Mamak, Geng M16, Geng Botak Inasi, Geng 21 dan sebagainya bukan lepasan daripada SAR. Individu seperti Mat Komando, Botak Chin dan Betong Kali juga bukan dilahirkan oleh SAR. Beberapa pendukung ideologi komunis yang pernah melakukan keganasan di negara ini seperti Sidek Ghaouse, bekas setiausaha politik Dr Mahathir dan Abdullah Ahmad, Ketua Pengarang New Straits Times juga bukan lepasan SAR. Individu-individu yang ditahan ISA kerana dituduh terlibat dengan kegiatan ganas seperti KMM dan Al-Maunah adalah terdiri daripada para profesional termasuk pensyarah universiti yang pakar dalam bidang sains dan teknologi. Ini menunjukkan bahawa SAR bukanlah sarang pengganas.

KENAPA SEKOLAH AGAMA RAKYAT MESTI DIPERTAHANKAN

SAR mesti dipertahankan kerana sekolah kebangsaan sebenarnya tidak mampu dan tidak boleh mengambil alih peranan SAR dalam melahirkan ilmuan Islam disebabkan oleh sistem pendidikan di sekolah kebangsaan yang tidak memberikan tumpuan kepada pendidikan agama. Jumlah masa untuk belajar agama di sekolah kebangsaan terlalu singkat dan para pelajar tidak mempunyai ruang untuk menguasai ilmu agama dalam tempoh waktu yang terlalu pendek. Contohnya, di sekolah rendah agama, pendidikan agama diajar 15 jam (900 minit) seminggu sedangkan di sekolah rendah kebangsaan hanya 3.33 jam (200 minit) seminggu. Di sekolah menengah rendah agama, 14 jam (840 minit) seminggu berbanding sekolah menengah rendah kebangsaan selama 4 jam (240 minit) seminggu dan di sekolah menengah atas agama selama 17.66 jam (1060 minit) seminggu berbanding sekolah menengah atas kebangsaan hanya 2.66 jam (160 minit) seminggu seperti mana yang ditetapkan oleh Akta Pendidikan 1995. Ini menunjukkan bahawa sekolah kebangsaan tidak berupaya untuk melahirkan pakar-pakar dalam bidang keagamaan Islam. Bahkan daripada jumlah masa mengajar ini secara langsung telah menjawab tuduhan Perdana Menteri bahawa SAR tidak mengajar agama. Jumlah pelajar di 260 buah SAR hanya 74,000 orang sahaja, sedangkan yang anti Umno/BN adalah berjumlah jutaan orang termasuk kakitangan kerajaan, kakitangan swasta dan pelajar universiti yang sebahagian besarnya adalah lulusan sekolah kebangsaan. Apakah kerajaan bercadang untuk menutup institusi-institusi pendidikan tinggi kerana adanya unsur anti kerajaan (Umno/BN) seperti mana SAR.

SAR juga mesti dipertahankan kerana agenda meminggirkan SAR daripada umat Islam ini merupakan satu tindakan yang mempunyai rangkaian global dengan rancangan Amerika Syarikat untuk mengekang kebangkitan umat Islam dengan menutup semua institusi pendidikan Islam. Selepas tragedi 11 September 2001, Amerika Syarikat telah mengenakan tekanan yang kuat ke atas institusi-institusi pendidikan Islam di Pakistan kerana disyaki menjadi penyokong utama Kumpulan Taliban di Afghanistan. Tekanan yang serupa juga turut dikenakan ke atas Universiti al-Azhar dan Kerajaan Arab Saudi. Pada hujung 2002 pula, para bekas pelajar institusi pendidikan Islam di Turki pula telah berjaya menguasai politik negara sekular tersebut. Ini menyebabkan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Donald Rumsfeld seperti yang dilaporkan oleh Al-Jazeera telah mengisytiharkan semua institusi pengajian Islam di seluruh dunia sebagai musuh Amerika Syarikat. Patik percaya usaha mengekang SAR ini mempunyai kaitan yang rapat dengan agenda jahat Amerika Syarikat. Tindakan ke atas SAR ini menunjukkan bahawa pengaruh asing sedang menular dalam Kerajaan BN. Kerana itu, umat Islam di negara ini mesti mempertahankan SAR daripada dimusnahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Mempertahankan SAR juga bermakna mempertahankan negara ini daripada ancaman kuasa asing.

SAR juga mesti dipertahankan kerana SAR merupakan institusi pendidikan yang telah memainkan peranan besar dalam mempertahankan aqidah umat Islam selain melebarkan ilmu-ilmu Islam kepada umat Islam. SAR bukan sahaja memberikan dampak positif kepada pelajar-pelajarnya, tetapi juga kepada pelajar-pelajar sekolah kebangsaan, rakyat, negara dan institusi Raja-raja sendiri. Pelajar SAR telah berperanan mengisi tugas untuk membangunkan institusi-institusi agama seperti masjid, pejabat kadi, mahkamah syariah, jabatan agama, majlis agama, pusat zakat, pusat Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), fakulti-fakulti pengajian Islam, institusi latihan Islam, pusat dakwah dan sebagainya yang secara langsung sebenarnya memberi sumbangan terhadap usaha mempertahankan aqidah umat Islam, meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan, membangunkan negara dan mengukuhkan kedudukan Raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama. Bahkan para pelajar sekolah kebangsaan telah menikmati pelbagai kemudahan hasil daripada sumbangan pelajar-pelajar SAR dalam arus pembangunan negara ini.

HARAPAN KAMI

Setelah menghadapi pelbagai tuduhan dan fitnah, kini SAR dalam proses penutupan secara tidak langsung melalui sekatan-sekatan dikenakan dengan tujuan melumpuhkannya. Untuk menyelamatkan institusi pendidikan umat Islam yang didukungi oleh para ulama ini, patik bersama seluruh umat Islam telah berusaha dengan pelbagai cara tetapi masih belum mampu mengubah sikap dan pendirian Kerajaan BN. Sebagai langkah yang lebih proaktif, patik semua berpandangan bahawa Tuanku dan Raja-raja Melayu adalah salah satu benteng yang boleh menyelamatkan SAR yang merupakan institusi Islam yang berada di bawah bidang kuasa Tuanku. Tindakan Kerajaan BN mengenakan sekatan ekonomi ini telah menyebabkan SAR yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam Negeri-negeri dan berada di bawah bidang kuasa Tuanku hampir lumpuh. Ini secara tidak langsung telah mencabar kewibawaan Tuanku sebagai Ketua Agama dan menghina kedudukan Tuanku serta institusi Raja-raja Melayu sebagai benteng agama Islam di negara ini.

Pendidikan Islam merupakan cabang kepada hal ehwal Islam yang Tuanku adalah Ketua Agama Islam negeri. SAR selama ini adalah bernaung di bawah Majlis Agama Islam negeri yang juga berada di bawah bidang kuasa Tuanku. Hakikat Islam sebagai agama Persekutuan sewajarnya meletakkan SAR di tempat yang istimewa bukannya dipencilkan. Dan sekali lagi kepada Tuanku patik menyerahkan harapan ini untuk mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Kedudukan institusi pendidikan agama seperti SAR yang merupakan bidang kuasa Tuanku yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Tetapi pada hari ini, intitusi Raja-raja Melayu telah tercabar dengan usaha-usaha berterusan Kerajaan BN untuk merobohkan Perlembagaan Persekutuan dengan mencabul kedudukan Bahasa Melayu (Perkara 152) dan agama Islam (Perkara 3) yang kedua-duanya berada dalam bidang kuasa Tuanku.

Di atas dasar inilah, patik semua berharap Tuanku sebagai salah seorang Sultan yang memerintah dan ahli Majlis Raja-raja supaya dapat memainkan peranan untuk menggerakkan usaha bagi mempertahankan sebuah institusi Islam yang telah diasas oleh para ulama dan Raja-raja Melayu semenjak ratusan tahun yang lalu. Patik amat bimbang sekiranya gejala mempersalahkan Islam sebagai punca kemunduran, mempertikaikan unsur-unsur Islam di sekolah dan usaha meruntuhkan SAR terus membarah, pada suatu hari nanti tidak ada lagi para ulama yang akan menasihati rakyat dan kerajaan Tuanku.

Bagi menangani masalah ini, patik perturunkan beberapa tindakan segera yang perlu diambil oleh Tuanku;

i. Tuanku sebagai ahli Majlis Raja-raja hendaklah berusaha memastikan sidang khas Majlis Raja-raja diadakan dengan segera untuk membincangkan isu ini dan mengambil langkah menyelamatkan SAR;
ii. Majlis Raja-raja hendaklah mengeluarkan titah kepada kerajaan (kabinet) supaya membatalkan tindakan menghentikan geran perkapita dan bantuan modal kepada SAR;
iii. Majlis Raja-raja hendaklah mengeluarkan titah kepada kerajaan (kabinet) untuk menambahkan bayaran geran perkapita, bantuan modal dan bantuan kemahiran hidup bersepadu kepada SAR;
iv. Majlis Raja-raja hendaklah mengeluarkan titah supaya semua pihak termasuk pemimpin kerajaan, pemimpin politik dan media massa menghentikan fitnah dan laporan negatif terhadap SAR dan warganya;
v. Majlis Raja-raja hendaklah mengeluarkan titah kepada kerajaan (kabinet) supaya mengiktiraf lulusan SAR sebagai sumber manusia yang berkualiti untuk pembangunan negara dan menyediakan latihan kemahiran kepada mereka; dan
vi. Tuanku sebagai Sultan di negeri ini hendaklah bertitah kepada kerajaan negeri supaya pertahankan SAR dan meningkatkan bantuan kewangan untuk semua SAR.

Sekianlah pandangan patik semua. Harapan patik semoga ia mendapat perhatian yang serius dari Tuanku sebagai Ketua Agama Islam negeri dan ahli Majlis Raja-raja Melayu. Akhirnya patik menjunjung kasih di atas segala perhatian Tuanku.

Sekian, wassalam.

Ampun Tuanku.


Yang Menjalankan Amanah,



HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
Ahli Parlimen Pokok Sena

 

BADAN BERTINDAK SAR PULAU PINANG ( BARA )

Enter content here

Enter supporting content here