KENYATAAN KHAS MINDA RAKYAT
Hari ini (14 April 1999) adalah hari penting dalam sejarah politik negara kita. Pemimpin yang mencetuskan ide reformasi bakal diambang kejutan. Seluruh dunia akan memberikan tumpuan. Apakah semua pihak sudah besedia menerima apa yang bakal terjadi hari ini.
Rakyat akan turun beramai-ramai tanda sokongan kepada pemimpin kesayangan mereka. Usahlah pemimpin lain berasa cemburu dengan sokongan padu dan tanda kasih sayang mereka. Usah cetuskan lebih banyak kemarahan rakyat berhubung isu keadilan dan politik murahan. Apakah kita marah kepada orang yang sudah tidak menyukai kita lagi? Di manakah rasionalnya sikap kita.
Dalam perhimpunan rakyat hari ini sudah semestinya ada yang berasa kurang senang. Polis 'mesra' Pak Lah sudah turut sama berduyun-duyun dalam kelompok rakyat itu. Sama seperti hadirnya mereka dalam ceramah pemimpin yang perjuangkan keadilan. Sama seperti hadirnya mereka di jalanan bersama rakyat dalam demontrasi keadilan.
Namun apabila nafsu kuasa menguasai diri, akan timbul perasaan 'beraja dimata, bersultan dihati'. Nafsu amarah apabila sudah menguasai diri memang buruk padahnya. Kita tidak mahu lihat walau setitis darah mengalir ke bumi hari ini. Persaksikan kepada rakyat sikap polis 'mesra' ciptaan Pak Lah. Sebagai seorang Menteri Dalam Negeri yang baru memegang portfolio ini, Minda Rakyat berharap Pak Lah akan memperkemaskan imej polis dan kredebiliti mereka di mata rakyat.
Sekiranya terjadi insiden yang memalukan, Pak Lah mesti dipertanggungjawabkan. Pak Lah harus menerima hukuman rakyat disebalik kewujudan polis 'mesra'nya. Perhimpunan rakyat adalah perhimpunan aman. Sokongan rakyat bukan sekadar simpati. Sokongan rakyat juga satu pengorbanan dan satu jihad. Mengembalikan pemerintahan yang adil bukan menjadi tanggungjawab pemimpin lagi apabila mereka tidak bersedia melakukannya. Ia bukan lagi hukum 'kifayah' tapi setiap rakyat berdosa jika terus merelakan ianya terjadi. Pastikan hak rakyat dikembalikan!
HAPUSKAN PENYELEWENGAN, TEGAKKAN KEADILAN
MINDA RAKYAT