Make your own free website on Tripod.com

PENGAJARAN HIJRAH DALAM ALAF BARU

Hijrah yang telah berlaku dalam sejarah kehidupan RasullulLah lebih 1400 tahun lalu, telah membawa era baru dalam perjuangan menegakkan Islam itu sendiri. Walau pun umat Islam tahu peritiwa yang berlaku itu satu persatu, namun kemungkinan iktibar hijrah tidak dilihat dari sudut kacamata Islam.

Hijrah yang berlaku antaranya mengaitkan peristiwa bagaimana tekanan yang diterima oleh RasulLah dan para sahabat dalam usaha mereka menerangkan ugama yang mentauhidkan Allah kepada kaum musyrikin Mekah. Usaha yang dijalankan selama 10 tahun itu menerima pelbagai rintangan. Bukan sekadar 'lebam biji mata', tetapi lebih hebat daripada itu. RasululLah pernah dihempap dengan perut unta, dibaling dengan najis dan batu hingga tubuhnya berdarah.

Dalam peristiwa yang lain pula hijrah RasululLah adalah disebabkan Islam tidak dapat disempurnakan secara keseluruhannya kerana tentangan yang diterima. Kaum musyrikin Mekah amat kuat berpegang kepada ajaran jahiliyyah dan menolak semua fahaman yang lain. Justeru itu nabi mendapat perintah supaya berhijrah agar dengan hijrah, Islam itu dapat dilaksanakan secara keseluruhannya.

Hijrah juga melihat bagaimana penyatuan kaum muhajirin dan ansar. Walau pun mereka baru berkenalan selepas peristiwa hijrah, namun mereka sanggup korbankan apa yang ada pada diri mereka untuk kebaikan Islam dan penganutnya. Mereka bukan sahaja korbankan harta benda, wang ringit, masa dan tenaga tetapi ada yang berkorban isteri untuk membolehkan kaum muhajirin yang kehilangan isteri dalam peristiwa hijrah menikmati kehidupan yang lebih sempurna.

Antara pengajaran yang diambil dari peristiwa di atas ialah bahawa perjuangan menegakkan Islam itu bukan olok-olok atau kerja main-main. Sebaliknya perjuangan Islam perlu menghadapi rintangan dan tidak sekadar lebam di mata. Perjuangan ini memerlukan kepada kekuatan dan sifat tidak mudah putus asa. Kerana itu dalam memperjuangkan Islam, PAS tidak akan kenal erti jemu meskipun telah tewas selama 9 kali dalam pilihanraya umum sejak merdekanya Malaysia.

Hijrah juga membawa pengajaran kepada kita hari ini bahawa Islam perlulah dilaksanakan dalam bentuk keseluruhannya. Bukan sekadar mendirikan masjid, bank Islam, ekonomi Islam, pajak gadai Islam itu ertinya kita sudah menjalankan hukum Islam. Itu baru sebahagian dari tuntutan Islam. Hijrah membawakan maksud bahawa kita perlu laksanakan Islam secara keseluruhan, samada dari segi perundangannya, politiknya, sosialnya serta eknominya semuanya harus dalam bentuk Islam. Apa yang menjadi dakwaan parti memerintah hari ini ialah bahawa mereka sudah menjalankan Islam hanya dengan beberapa kerat badan atas nama Islam.

Selanjutnya iktibar dari peristiwa hijrah kita perlu mengorbankan apa yang kita miliki dan sayangi sebagai sandaran menegakkan perjuangan Islam. Umat Islam perlu berkorban kerana nilainya di sisi Allah amat tinggi. Sebaliknya pemimpin hari ini bukan berkorban harta mereka tetapi mereka korbankan hak rakyat untuk dimasukkan ke dalam kantung dan kocek mereka dan kroni-kron mereka. Umat Islam tidak seharusnya membenarkan kejadian ini terus berulang hingga menggadaikan negara bukan untuk menegakkan Islam tetapi 'mengenyangka'n sebahagian atau sekelompok manusia hingga yang miskin tiada pembelaan.

Demi kezaliman yang berlaku hari ini, umat Islam diseru supaya memilih PAS yang akan berjuang dengan jitu untuk menegakkan hukum Allah di bumi ini. Kewajipan berjihad kini adalah tugas dan tanggungjawab setiap umat Islam di negara tercinta. Jika bangsa lain sudah mula percaya bahawa Islam dapat memberikan perlindungan kepada mereka, mengapa kita sebagai orang Islam masih ragu-ragu untuk menyokong sebarang gerakan Islam.

Persoalan hijrah dan kebangkitan umat Islam hari ini telah dibahaskan secara panjang lebar oleh Ustaz Hisham bin Mohd Ali dalam ceramahnya di Kg. Che Zainal Tambahan 1, Chemor. Ustaz Hisham menambah, kaum bukan Islam di negara ini sudah menerima Islam, kerana ada bukti bahawa Islam tidak menindas mereka, sebaliknya mereka merasa lebih selamat berada di bawah pemerintahan dan panji-panji Islam.

Sumbangan: mr canggih