27 September, 1999
Para pemimpin UMNO hari ini diseru supaya jangan meyanggahi 'adat ayam' dan berkokok di waktu senja. Sebaliknya mengamalkan tradisi sebenar ayam jantan iaitulah berkokok di waktu pagi dan bertindak menjadi pemangkin kepada kebangkitan umat manusia di pagi hari. Jika perkara ini mendapat reaksi para pemimpin UMNO maka mereka tidak akan melatah atau bercakap seperti orang mengingau dan mengikut sesuka hati mereka.
Perkara ini jelas kepada beberapa kenyataan yang dibuat oleh pimpinan Pergerakan Pemuda UMNO dan barisan kepimpinannya yang lain.
Semalam Tok Mat Bulat disifatkan sebagai berkata sebahagian besar daripada generasi muda di negara ini masih menerima dan menyokong kerajaan BN. Menurut Tok Mat Bulat lagi, hanya segelintir sahaja di antara mereka yang terlibat dalam gerakan anti kerajaan.
Tok Mat Bulat mendakwa bahawa perbuatan golongan yang segelintir itu seolah-olah hendak menggambarkan majoriti generasi muda di negara ini dan tidak setuju dengan perjuangan kerajaan yang diasaskan oleh UMNO.
Tok Mat Bulat dengan angkuhnya berkata kemenangan yang besar dalam pilihanraya umum akan datang akan memberikan mesej yang jelas kepada Barisan Alternatif dan rakyat keseluruhannya, bahawa selagi UMNO wujud, Malaysia tidak akan menghadapi kemusnahan dan kehancuran.
Bagaimana pun Tok Mat Bulat menyandarkan dakwaannya itu kepada kekuatan Pergerakan Pemuda UMNO di bawah pimpinan Pengampu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Hishamuddin Hussein. Minda Rakyat berpandangan bahawa sudah tentulah sandaran Tok Mat Bulat itu ibarat berpaut di dahan rapuh kerana hakikat sebenarnya Pemuda UMNO Malaysia hanyalah cakap berdekah-dekah tapi 'pengecut' dan bersifat pondan.
Bukti jelas kepondanan mereka terserlah apabila Pengampu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Hishamuddin Hussein tidak berani berdebat dengan pimpinan alternatif yang sudah hadir untuk menyahut cabaran debat di UKM bulan Jun lalu.
Peristiwa kedua Pergerakan Pemuda UMNO 'hilang' kejantanannya apabila Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak, Jamal Nassir Rashdi juga tidak hadir untuk berdebat dengan pimpinan Barisan Alternatif (PAS) yang juga hadir dalam situasi yang dipersetujui di Kg. Paya Renggam, Padang Rengas, Perak Ogos lalu.